Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani, mencipta sejarah apabila membawa pulang pingat perak pertama Malaysia di Kejohanan Dunia sejak 2014 selepas beraksi cemerlang dalam final kelas kumite wanita bawah 50kg di Kaherah hari ini.
Shahmalarani menampilkan persembahan hebat namun tewas 1-6 kepada atlet Uzbekistan, Gulshan Alimardanova, dalam perlawanan akhir yang mengimbau kembali final Kejuaraan Asia Tashkent pada Mei lalu, di mana Gulshan menewaskan Shahmalarani 7-1.
Walaupun tewas, pencapaian ini tetap dianggap luar biasa kerana ia adalah kali pertama seorang atlet Malaysia mara ke final dunia sejak Syakilla Salny Jefry Krishnan pada 2014, yang tewas kepada Giana Farouk dari Mesir dalam final wanita bawah 61kg.
Sebelum ini, Shahmalarani menewaskan Yuliia Palashevska dari Ukraine 2-0 pada pusingan pertama, diikuti kemenangan 5-3 ke atas Lili Alvarado dari Ecuador di suku akhir.
Dia kemudian mengejutkan bintang Iran, Sara Bahmanyar, 4-1 dalam separuh akhir untuk menempah tiket ke final.
Shahmalarani, 26 tahun, mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat kedua daripada empat atlet di Kumpulan Satu, membuktikan konsistensi dan ketahanan mentalnya di pentas dunia.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad nyata gembira dengan pencapai atlet itu yang menjadi tonik berharga menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini.
“Dia melakukan tugas dengan sangat baik. Saya gembira dengan kejayaannya dan fokus sekarang adalah Sukan Sea,” katanya.
