Majlis Sukan Negara Malaysia
Shahmalarani tamat kemarau 11 tahun

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, C Shahmalarani, mencipta sejarah apabila membawa pulang pingat perak pertama Malaysia di Kejohanan Dunia sejak 2014 selepas beraksi cemerlang dalam final kelas kumite wanita bawah 50kg di Kaherah hari ini.

Shahmalarani menampilkan persembahan hebat namun tewas 1-6 kepada atlet Uzbekistan, Gulshan Alimardanova, dalam perlawanan akhir yang mengimbau kembali final Kejuaraan Asia Tashkent pada Mei lalu, di mana Gulshan menewaskan Shahmalarani 7-1.

Walaupun tewas, pencapaian ini tetap dianggap luar biasa kerana ia adalah kali pertama seorang atlet Malaysia mara ke final dunia sejak Syakilla Salny Jefry Krishnan pada 2014, yang tewas kepada Giana Farouk dari Mesir dalam final wanita bawah 61kg.

Sebelum ini, Shahmalarani menewaskan Yuliia Palashevska dari Ukraine 2-0 pada pusingan pertama, diikuti kemenangan 5-3 ke atas Lili Alvarado dari Ecuador di suku akhir.

Dia kemudian mengejutkan bintang Iran, Sara Bahmanyar, 4-1 dalam separuh akhir untuk menempah tiket ke final.

Shahmalarani, 26 tahun, mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat kedua daripada empat atlet di Kumpulan Satu, membuktikan konsistensi dan ketahanan mentalnya di pentas dunia.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad nyata gembira dengan pencapai atlet itu yang menjadi tonik berharga menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini.

“Dia melakukan tugas dengan sangat baik. Saya gembira dengan kejayaannya dan fokus sekarang adalah Sukan Sea,” katanya.

Nor Saiful akui jurang kualiti dengan Belanda

Kuala Lumpur: Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, mengakui Belanda berada pada kelas berbeza selepas skuad negara tewas 0-6 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

Menurut Nor Saiful, Malaysia cuba memulakan perlawanan dengan pendekatan lebih bertahan bagi mengelakkan Belanda menembusi kawasan D terlalu awal, namun organisasi pertahanan negara gagal mengimbangi permainan fizikal dan teknikal lawan.

“Kita mahu tutup ruang dan elak Belanda masuk terus ke kawasan berbahaya, tetapi pertahanan kita tidak dapat naik ke hadapan dan memberi tekanan awal. Mereka bijak menggunakan kelebihan fizikal, tahan bola dan mencipta ruang untuk pukulan kilas,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kelemahan itu membuka peluang kepada Belanda menjaringkan beberapa gol pantas pada dua suku pertama, yang akhirnya menyebabkan Malaysia sukar bangkit.

“Lima gol yang mereka dapat pada suku pertama dan kedua banyak disebabkan kita tidak menemui rentak untuk mengekang gerakan mereka. Pemain kita ketika itu masih mencari cara untuk stabil dalam permainan,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Saiful memuji perubahan disiplin pemain pada separuh masa kedua apabila Malaysia lebih berani membaca pergerakan lawan dan menutup ruang dengan lebih baik.

“Pada suku ketiga dan keempat, pemain kita lebih faham apa yang perlu dibuat. Mereka berada di hadapan pemain Belanda dan berjaya mengehadkan peluang lawan kepada dua gol sahaja. Kita juga ada peluang, termasuk satu jaringan yang dibatalkan dan beberapa percubaan dari pukulan sudut penalti,” katanya.

Secara keseluruhan, Nor Saiful mengakui kualiti Belanda nyata mendahului Malaysia, namun tetap berpuas hati dengan usaha skuad muda negara untuk menyesuaikan diri di separuh masa kedua.

“Kalau dibandingkan pemain Belanda dengan pemain kita, mereka memang lebih baik dalam semua bahagian. Mereka juga antara pasukan terkuat dalam kejohanan ini,” katanya.

Speedy Tigers kena belasah, tamatkan cabaran di kedudukan keempat

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara, Speedy Tigers, menutup tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 dengan catatan mengecewakan selepas dibelasah New Zealand 1-6 dalam aksi perebutan tempat ketiga-keempat.

Skuad Black Sticks menunjukkan kehebatan sebenar mereka, apabila membuka jaringan awal pada minit kelima menerusi Sam Lane sebelum menambah gol kedua hanya dua minit kemudian.

James Hickson menambah jaringan pada minit ke-29 dan Lane terus merobek gawang Malaysia dengan dua gol daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-33 dan ke-34, sebelum menutup tirai jaringan pada minit ke-41.

Malaysia hanya mampu menghasilkan satu jaringan sepanjang perlawanan menerusi Faizal Saari, jelas menunjukkan kelemahan pasukan yang gagal mengekang serangan pantas lawan.

Kekalahan ini menutup tirai PSAS buat Malaysia di tempat keempat, dengan catatan empat mata keseluruhan selepas menang 3-2 ke atas Kanada, seri 2-2 menentang New Zealand, tewas 3-4 kepada India dan dihentam 1-9 oleh Belgium.

Prestasi ini memperlihatkan jurang jelas antara Speedy Tigers dengan pasukan elit antarabangsa, terutamanya apabila berdepan lawan yang lebih berpengalaman dan agresif.

Kekalahan 1-6 menentang Black Sticks menjadi penutup yang pahit untuk pasukan negara di kejohanan berprestij ini yang mana tahun lalu Malaysia turut berada di kedudukan keempat selepas tewas 3-2 juga kepada New Zealand.

Belanda bedal Malaysia 6-0, jalan ke suku akhir semakin sempit

Kuala Lumpur: Malaysia melalui petang yang perit apabila tewas 0-6 kepada Belanda dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

Belanda membuka rentak seawal minit kesembilan menerusi jaringan padang Casper van der Veen, yang turut menambah satu lagi gol hanya seminit kemudian.

Tekanan semakin memuncak apabila Joppe Wolbert meledak dua gol berturut-turut pukulan sudut penalti (20′) dan penalti stroke (21′), sebelum Thies Bakker (28′) serta Tjeerd Boermans (42′) melengkapkan dominasi wakil Eropah itu.

Malaysia, yang mencatat kemenangan meyakinkan 5-1 ke atas Austria semalam, gagal menemui intensiti sama ketika berdepan ketepatan gerakan dan organisasi Belanda di setiap zon permainan.

Barisan muda negara di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin bergelut mengimbangi tempo tinggi lawan, khususnya pada transisi bertahan yang beberapa kali membuka ruang luas di dalam kawasan sendiri.

Aksi ini juga memperlihatkan keperluan Malaysia lebih tajam dalam pengurusan bola di tengah padang, selain memastikan pertahanan kekal kompak ketika mengekang gerakan serangan Belanda yang bertenaga.

Malaysia kini berdepan tugasan wajib menang ke atas England Selasa ini bagi memastikan peluang mara ke suku akhir terus hidup dalam saingan terakhir peringkat kumpulan.

Jika menang sekali pun Malaysia perlu menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik tempat kedua daripada lima kumpulan, atau hanya beraksi di penentuan kesembilan hingga ke-16.

Dua pingat jadi sasaran, MABA janji bonus buat pemain

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) optimis boleh mendapatkan dua pingat di Sukan Sea Thailand yang akan bermula bulan hadapan.

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock melihat ketiadaan pemain naturalisasi pada temasya dwitahunan kali ini membuka ruang buat wakil negara tampil untuk mencabar kedudukan podium dan mara sejauh mungkin.

Malah Tian Hock turut mengumumkan ada bonus istimewa menentang pemain sekiranya berjaya merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

“Ada bonus. Kita akan umumkan pada 3 Disember ini, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan mengadakan majlis penyerahan bendera pada pukul 3 petang. Selepas itu, saya akan mengadakan makan malam bersama pemain.

“Kita sasar sekurang-kurangnya dua pingat. Sebelum ini, sasaran satu pingat pun kita capai, jadi kali ini kita sasarkan dua pingat. Kami yakin kerana pemain-pemain sekarang menunjukkan semangat yang tinggi.

“Setiap kategori ada tiga pingat, emas, perak dan gangsa. Jadi jumlah keseluruhan pingat adalah 12. Harapan saya, sekurang-kurangnya dua pingat dapat diperoleh. Dua gangsa pun sudah memadai,” katanya.

Katanya, bola keranjang kali ini mempertandingkan dua acara iaitu 5×5 (lelaki dan perempuan) dan 3×3 (lelaki dan perempuan) dan beliau berharap pemain negara boleh mengambil kesempatan untuk mendapatkan pingat.

Untuk rekod, bagi acara 5×5, kali terakhir Malaysia muncul juara adalah pada 1989 ketika menjadi tuan rumah dan selepas ini, Filipina terus menunjukkan mereka raja bola keranjang yang sukar digugat oleh negara serantau.

Khai Xing-Aaron rangkul gelaran sulung Jelajah Dunia di India

Kuala Lumpur: Juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka apabila menundukkan rakan senegara, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Akademi Badminton Babu Banarasi Das, beregu muda pilihan keenam itu mengejutkan lawan yang juga pilihan ketiga dengan 21-9, 21-19 dalam masa 32 minit sekali gus merangkul gelaran kedua mereka musim ini.

Pencapaian dalam kejohanan Super 300 itu hari ini turut membantu pasangan ranking ke-57 dunia itu menggandakan jurang kemenangan ke atas gandingan profesional yang menduduki ranking ke-45 dunia itu, dalam rekod pertemuan mereka.

Khai Xing-Aaron sebelum ini menewaskan Weijie-Sheng Hao, 21-18, 21-7, untuk menjuarai Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri, Johor bulan lalu.

Sebagai juara, Khai Xing-Aaron membawa pulang hadiah AS$18,760 (kira-kira RM78,352.16) manakala Weijie-Sheng Hao meraih AS$ 9,120 (kira-kira RM37688.38).

Zaiful mahu Fakrul jadikan tekanan sebagai pemangkin

Kuala Lumpur: Bekas pelari 400 meter kebangsaan, Mohd Zaiful Zainal Abidin berharap pelari 400m berpagar negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir dapat meningkatkan motivasi ke tahap tertinggi menjelang Sukan Sea Thailand bulan hadapan.

Menurutnya, atlet berusia 21 tahun itu pastinya berasa lega selepas berjaya melepasi ujian kecergasan yang dijalankan Jumaat lalu dan disahkan terpilih mewakili negara dalam acara kegemarannya itu.

Dengan masa yang singkat ini, Fakrul perlu bijak menggunakan peluang serta ruang dan memberi tumpuan khusus kepada beberapa teknik agar pada hari kejadian nanti, dia dapat berlari dalam kondisi terbaik.

“Selepas apa yang dilaluinya sebelum ini, saya yakin dia akan menghadapi bebanan yang lebih berat di Thailand nanti. Apa jua keputusan, terutama jika kalah, pasti akan memberi impak kepadanya.

“Namun, saya yakin Fakrul dan jurulatihnya akan bekerjasama untuk memastikan segala tekanan yang dihadapi sekarang ditukar menjadi motivasi, agar di Thailand nanti dia dapat memberikan larian terbaik dan mencatat masa terpantas untuk dirinya,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap pemegang rekod kebangsaan itu tidak terpengaruh dengan aura negatif sebaliknya melihat dari sudut positif supaya minda dan fizikalnya berada dalam keadaan bersedia.

Untuk makluman, Olahraga Malaysia (MA) mengesahkan bahawa Fakrul berjaya melepasi penilaian prestasi dan kecergasan menyeluruh yang dijalankan pada Jumaat lalu oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Muaythai intai satu emas di Bangkok

KUALA LUMPUR: Skuad muaythai negara kembali mengintai kegemilangan di pentas Sukan SEA apabila menetapkan sasaran meraih satu pingat emas pada edisi Bangkok, Thailand, kali ini.

Keyakinan itu dilihat realistik berdasarkan pencapaian di Hanoi tiga tahun lalu yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu emas dan satu perak.

Pemenang emas edisi 2021, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, menjadi sandaran utama untuk mengetuai barisan 13 atlet negara, dibantu beberapa nama yang semakin meningkat naik seperti Rifdean Masdor, adik kepada bintang ONE Championship, Johan Ghazali; Muhammad Mikail (Miki) serta jaguh BYON, Ammarul Shafiq.

Pengurus pasukan, Saifulnizam Mohd Shahar, ketika dihubungi berkata, persiapan skuad kebangsaan berada pada landasan tepat selepas menjalani kem latihan pusat di Bangkok sejak sebulan lalu.

“Sebelum ini di Kemboja (2023) muaythai tidak dipertandingkan. Di Hanoi, kita raih satu emas dan satu perak. Jadi, sasaran satu emas masih kekal, manakala kategori lain diharap turut mampu menyumbang pingat tanpa mengira warna,” katanya.

Saifulnizam menegaskan skuad negara tidak menetapkan acara tertentu sebagai sandaran utama, namun kategori seni (wai kru) dilihat antara medan terbaik untuk menghadirkan pingat emas.

Secara keseluruhan, muaythai menawarkan 18 pingat emas – 16 menerusi acara muay dan dua bagi kategori wai kru.

Di Hanoi, Aliff mencuri tumpuan apabila memenangi emas selepas menewaskan wakil tuan rumah, Huynh Hoang Phi, dalam kategori 54 kilogram (kg).

Pingat perak negara pula disumbangkan Nur Amisha Azrilrizal yang tewas kepada atlet Thailand, Wansawang Srila-or, dalam final 51kg.

“Aliff masih beraksi, tetapi pencapaian itu sudah tiga atau empat tahun lalu. Fokusnya kini lebih kepada perlawanan profesional. Kita harap dia mampu tampil cemerlang, tetapi itu bukan KPI utama kerana situasi semasa sudah berbeza,” katanya.

INFO

Sukan: Muaythai

Sasaran: 1 emas

Pencapaian terakhir (Vietnam 2021): 1 emas, 1 perak

Jumlah emas ditawarkan di Bangkok: 18

Amaran untuk Pang Ron-Su Yin

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin perlu segera mempamerkan prestasi sebenar dan cuba menambat hati jurulatih, Nova Widianto sekiranya tidak ingin sesuatu terjadi kepada gandingan mereka selepas ini.

Jelas Nova, Pang Ron-Su Yin adalah pasangan yang berbakat tetapi tahun ini persembahan mereka jatuh merudum dan hanya mampu mara paling jauh sehingga ke suku akhir sahaja.

Justeru, dengan masa yang ada, beliau berharap beregu ke-21 dunia itu dapat mengambil peluang sebaik mungkin sebelum barisan jurulatih memikirkan langkah seterusnya.

“Selepas keputusan yang kurang baik (sepanjang musim ini), sudah tentu keyakinan mereka menurun. Tapi mereka masih ada kualiti. Kadang-kadang kita lihat mereka berlatih dengan baik, tetapi apabila bertanding, mereka tewas kepada lawan yang ranking dia lebih rendah.

“Namun, kami masih berharap mereka sekurang-kurangnya boleh membawa pulang pingat gangsa di Sukan Sea. Dari segi prestasi, kita akan lihat sehingga ke Terbuka Malaysia sebelum memutuskan perjalanan kedua-dua pemain ini,” katanya.

Untuk makluman, Pang Ron-Su Yin sudah menyertai 17 pertandingan sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu, hanya empat kali sahaja berjaya mara ke pusingan lapan terbaik selain selebihnya tewas di pusingan pertama atau kedua.

Ketika ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih menjadi gandingan utama negara dan Pang Ron-Su Yin sebelum ini diletakkan harapan untuk berada sebaris dengan senior mereka.

Jonah sasar rekod baharu Sukan Sea

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menyasarkan ingin mencipta rekod baharu kejohanan dengan lontaran sejauh 19 meter (m) pada Sukan Sea Thailand, bulan hadapan.

Jelasnya, dia tetap yakin mampu mencapai jarak itu di temasya dwitahunan berkenaan kerana prestasi lontarannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini menunjukkan peningkatan yang lebih baik.

“Saya sasar untuk pecahkan rekod kebangsaan tetapi kalau dapat 19m, ia bonus untuk saya dan itu akan jadi sejarah untuk Sukan Sea.

“Saya dengar rekod semasa ketika ini 18m lebih dan rekod kebangsaan saya lebih jauh. Sebab itu saya optimis boleh pecah rekod kejohanan. Jadi, saya harap boleh lakukan yang terbaik di Sukan Sea nanti,” katanya.

Rekod kebangsaan miliknya adalah 18.66m yang dilakukan di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada September lalu sementara rekod temasya pula, 18.14m yang dilakukan oleh atlet Filipina, William Morrison pada 2022.

Namun begitu, atlet kelahiran Sarawak itu tetap berasa gementar, tetapi sokongan dari rakan sepasukan serta barisan jurulatih, membuatkan Jonah semakin bersemangat selain harus berhati-hati dengan pesaing dari Filipina.

“Untuk Sukan Sea nanti, sasaran saya sudah tentu pingat emas. Saya akan buat yang terbaik kerana ketika ini saya bersaing rapat dengan atlet dari Filipina kerana rekod musim kami pun hampir sama.

“Setakat ini latihan semuanya berjalan baik. Bila tarikh makin dekat, memang datang rasa gementar itu. Tapi dengan sokongan kawan-kawan dan keluarga, saya rasa lebih yakin. Harap semuanya dipermudahkan dan saya boleh beri yang terbaik,” katanya.

Pada perkembangan sama, ketika ditanya mengenai keyakinan rakan sepasukan, Irfan Shamsuddin untuk memenangi emas dan perak dalam acara lempar cakera, Jonah lebih memilih kekal tenang agar boleh merealisasikan perkara itu.

“Irfan memang suka bagi tekanan. Kita tak tahu apa akan jadi di Sukan Sea nanti. Ini juga kali pertama saya ambil dua acara di temasya sebesar ini kerana sebelum ini pun hanya di SUKMA atau kejohanan biasa,” katanya.