Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA Selangor senarai 474 acara

Shah Alam: Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 Ogos sehingga 24 Ogos tahun hadapan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, jumlah acara berkenaan adalah tertinggi dalam sejarah penganjuran temasya itu.

“Jumlah ini sekali gus melebihi lima acara berbanding 469 acara sukan ketika penganjuran SUKMA Sarawak pada 2024.

“Berdasarkan pecahan mengikut jantina pula sejumlah 239 acara sukan membabitkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran.

“Pendaftaran penyertaan setiap sukan oleh setiap negeri atau kontinjen untuk temasya SUKMA XXII 2026 akan dibuka pada awal November ini untuk tempoh dua minggu,” katanya dalam sidang media di Seksyen 7, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 berkata, sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.

“Saya juga ingin mengumumkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 akan bekerjasama dengan Konvensyen Belia Selangor yang dijadualkan akan berlangsung pada 30 September ini di Dewan Raja Muda Musa di sini untuk membuka prapendaftaran sukarelawan SUKMA 2026.

“Pada konvensyen itu, kita juga akan melancarkan kempen menamakan Maskot SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 secara rasmi,” katanya.

Mengulas perkembangan naik taraf beberapa venue, katanya, di peringkat PBT, semua bergerak namun dua venue penting yang belum selesai iaitu Pusat Akuatik Shah Alam dan lapang sasar menembak Subang.

“Jadi kita perlu melalui peraturan dan juga tapisan tertentu di peringkat kerajaan negeri untuk memastikan proses pemilihan syarikat ataupun kontraktor untuk naik taraf itu dipatuhi dengan baik,” katanya.

Umar waspada ancaman Tuong

Kuala Lumpur: Juara bertahan 400 meter lelaki, Umar Osman menegaskan dia tidak akan leka selepas pelari muda Vietnam, Ta Ngoc Tuong kini muncul pencabar utama susulan memecahkan rekod kebangsaan negaranya menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Ngoc Tuong, 20, dari Phu Thọ mencipta sensasi apabila mencatat 45.59 saat (s) di Kejohanan Olahraga Vietnam 2025, sekali gus memadam rekod lama 45.99s milik Quach Cong Lich yang bertahan sejak 2015.

Lebih menarik, catatan itu dilakukan dengan menewaskan nama-nama besar Vietnam seperti Tran Dinh Son, Le Ngoc Phu dan Tran Nhat Hoang.

Pencapaian itu pantas mencuri perhatian kerana jauh meninggalkan rekod peribadi Umar yang masih terbaik dengan catatan 46s.

Bagaimanapun, Umar menganggap perkembangan itu sebagai motivasi tambahan sebelum menyertai temasya dwi tahunan yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember nanti.

“Bagi saya, saya anggap saja itu rasmi sebab saya tak nak bagi diri saya rasa selesa. Mungkin di Sukan SEA nanti, saya akan berikan saingan sengit pada dia dan cuba buat masa lebih baik daripada dia,” kata Umar.

Menurut Umar, dia pernah menentang Ngoc Tuong pada Kejohanan Asia di Gumi sebelum ini namun ketika itu pencabar dari Vietnam itu hanya berlari dengan catatan 47.5s.

“Saya terkejut juga bila tiba-tiba dia catat 45s. Memang sangat melonjak prestasinya,” jelas Umar.

Atlet berusia 22 tahun dari Johor itu ketika ini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09s yang dilakukannya ketika temasya Sukan Universiti Dunia 2023 di China.

Terbuka Mesir 2025: Perjuangan Sivasangari berakhir di suku akhir

Kuala Lumpur: Perjuangan Malaysia dalam Terbuka Mesir 2025 berakhir selepas wakil tunggal S Sivasangari tewas kepada pemain tuan rumah pada aksi suku akhir di Giza, semalam.

Pada Kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf Berlian itu, Sivasangari pilihan ketujuh sukar menewaskan pilihan keempat Amina Orfi apabila tewas 6-11, 8-11, 11-4, 9-11.

Kekalahan itu adalah kali keenam Sivasangari dalam tujuh perlawanan menentang Amina, sejak bertemu kali pertama pada Terbuka On Fire 2023 di Washington, Amerika Syarikat.

Amina akan berdepan rakan senegara Fayrouz Aboelkheir pada separuh akhir hari ini.

Fayrouz mencipta kejutan terbesar dalam kejohanan itu apabila menewaskan juara bertahan yang juga pemain Mesir Nour El Sherbini dengan keputusan 11-8, 8-11, 9-11, 11-8, 11-5.

MPC sedia gegar LTDL 2025- Sayuti

Kuala Lumpur: Malaysia Pro Cycling (MPC) dilihat semakin menemui rentak dan bersedia memberi cabaran utama kepada pasukan elit yang bertanding di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Pengurus pasukan MPC, Sayuti Zahit melihat prestasi pelumba di Tour de Entete di Indonesia semakin meningkat apabila Ariff Danial Noor Roseidi berjaya mencatat kemenangan di Peringkat 4 pada Ahad lalu.

“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan Ariff mampu melakukan perkara ini. Kami baru sahaja mula mendedahkan Ariff kepada perlumbaan antarabangsa jadi dia masih mempunyai pengalaman yang terhad pada tahap ini.

“Tapi dia membuktikan bahawa dirinya seorang pelumba serba boleh. Dia mampu mengikuti kumpulan pemecah dan memecut menewaskan pelumba lain di penghujung.

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak persembahan positif daripadanya pada baki peringkat akan datang,” katanya.

Pada perlumbaan Peringkat 4, Ariff Danial mempamerkan kayuhan yang cukup bertenaga untuk menamatkan cabaran di tempat pertama yang bermula dari Tanarara dan berakhir di Waingapu sejauh 110.2 kilometer (km) dengan catatan masa satu jam, 35 minit dan 12 saat.

Tynan Shannon (Cycling Development Foundation) dan John Pagtalunan (7Eleven Cliqq Roadbike Philippines) masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Selain Ariff Danial, MPC turut mempertaruhkan pelumba pendaki, Syawal Mazlin, pakar pecut Ahmad Syazrin Awang Ilah serta Faheem Razen Zaini dan Zulfikri Zulkifli.

Mereka akan mengharungi 10 peringkat perlumbaan yang akan berakhir pada 21 September ini.

Zaiful yakin potensi Umar

Kuala Lumpur: Bekas pelari 400 meter (m) kebangsaan, Mohd Zaiful Zainal Abidin yakin atlet muda, Umar Osman mempunyai potensi cukup besar untuk mencatat masa di bawah 46 saat (s) pada kejohanan akan datang, meskipun kini berdepan sedikit kesukaran dalam prestasi.

Menurut Zaiful, beliau sudah lama mengikuti rapat perkembangan pelari muda termasuk sebelum dia memecahkan rekod miliknya.

Malah, jika Umar terus diberikan pendedahan di peringkat antarabangsa, beliau yakin prestasi pelari jarak dekat negara itu boleh membina keyakinan dan mencipta sesuatu.

“Saya memang ikuti perkembangan Umar sejak dulu lagi. Untuk usia dia sekarang, boleh nampak Umar sangat konsisten. Tahun lalu saya fikir dia sudah mampu buat catatan bawah 46s, tapi nampaknya dia sedikit bergelut.

“Tapi saya yakin masanya akan tiba jika Umar mendapat jurulatih yang benar-benar dapat membimbingnya sepenuhnya.

“Berdasarkan pengalaman saya, Umar perlukan lebih banyak pendedahan saingan di luar negara. Itu penting untuk bantu dia tingkatkan tahap larian,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, dirinya meluahkan kebimbangan selepas jurulatih asal Umar, Simon Lau kini berkhidmat di Singapura, menyebabkan atlet kelahiran Johor itu hanya mengikuti program latihan yang diberikan tanpa ada jurulatih tetap di sisinya.

Bekas pemegang rekod 400m negara itu juga tidak menolak kemungkinan prestasi Umar sedikit terjejas kerana perkara sedemikian dan itu membuatkan dia perlukan lebih masa bagi mendapatkan rekod masa yang lebih baik.

Mengulas peluang di Sukan SEA yang semakin hampir, Zaiful mengakui cabaran kali ini lebih getir dengan pelari dari Filipina dan Vietnam dilihat antara pencabar utama, dan mereka juga kini sudah melakukan catatan masa bawah 46s musim ini.

“Untuk Umar kekalkan pingat emas 400m, dia perlu buat sesuatu kerana saingan kali ini pasti lebih sengit. Tapi jika semua berjalan lancar, InsyaAllah dia boleh capai bawah 46s di Sukan SEA nanti,” katanya.

Sze Fei-Izzuddin mara ke pusingan kedua Masters China

Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati ramalan untuk melangkah ke pusingan kedua Masters China selepas mengalahkan gandingan baharu Indonesia, hari ini.

Pada pusingan pertama yang berlangsung di Shenzhen Arena, Sze Fei-Izzuddin turun selaku pilihan ketiga kejohanan tetapi kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas Rian Ardianto-Yeremia Rambitan dalam pertarungan tiga set 12-21, 21-11, 22-20 dalam masa 43 minit.

Di set pertama, permainan beregu ketiga dunia itu dilihat serba tidak menjadi dan itu memberi ruang buat Rian-Yeremia mengambil kesempatan untuk menang sebelum Sze Fei-Izzuddin kembali memperkemaskan rentak permainan di set kedua dengan lebih meyakinkan sekali gus mengheret perlawanan ke rubber set.

Di set penentuan, kedua-dua pasangan itu dilihat lebih bersedia dan mempamerkan permainan lebih baik tetapi juara Terbuka India itu terus bermain pantas dengan corak menyerang untuk berada di mata ke-20 terlebih dahulu.

Namun ketika kedudukan 20-14, Sze Fei-Izzuddin hampir dikejutkan lawan apabila mereka bangkit untuk mendapatkan enam mata berturut-turut bagi mengikat 20-20 sebelum mengesahkan kemenangan, 22-20.

Menanti mereka di pusingan seterusnya sama ada Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan atau wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Hasrat satu lagi beregu profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong untuk melangkah ke pusingan kedua tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dalam permainan tiga set 12-21, 21-18, 12-21.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai bermula langkah kanan untuk menempah tiket ke pusingan 16 terbaik selepas menang straight set 21-17, 21-12 ke atas rakan senegara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien hanya dalam masa 30 minit.

Di pusingan kedua nanti, Soon Huat-Shevon akan bertemu wakil tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying yang turut layak selepas mengalahkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan 21-15, 21-16.

Pasukan renang sirip raih tempat ketiga di Kejohanan Dunia

Seremban: Atlet renang sirip negara mencipta sejarah tersendiri di pentas antarabangsa apabila meraih kutipan dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan pada Piala Dunia Renang Sirip CMAS 2025, di Kaohsiung, Taiwan yang berakhir kelmarin.

Presiden Persatuan Finswimming Malaysia (MFSA) S Ravivarma berkata, kontinjen negara terdiri daripada 32 orang atlet.

Menurutnya, dua pingat emas diraih masing-masing menerusi Regina Cheong Xuan Yun dalam acara 200m immersion wanita dan Louis Chin Teng Aun, dalam acara 200m immersion lelaki.

“Pingat perak tunggal diperolehi menerusi acara 4 X 100m surface relay wanita membabitkan gandingan Valery Thye, Alisha Irdina, Abigail Lim dan Jun Hsuen.

“Teng Aun dan Xuan Yun, masing-masing turut menyumbang satu pingat gangsa dalam acara 100m immersion lelaki dan wanita manakala pingat gangsa terakhir diraih melalui Rayyan Haaziq Nasrul Hafiz dalam acara 50m bifin lelaki.

Menurut beliau, kejayaan kontinjen negara menduduki tempat ketiga keseluruhan mencerminkan kebangkitan dalam sukan berkenaan serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus mengejar kecemerlangan dalam sukan ini.

Arab Saudi sedia jadi tuan rumah Sukan Solidariti Islam 2025

Kuala Lumpur: Arab Saudi sedang bersiap sedia untuk menganjurkan edisi keenam Sukan Solidariti Islam yang akan berlangsung dari 7 hingga 21 November depan.

Acara pelbagai sukan itu akan menghimpunkan atlet elit dari 57 negara dunia Islam, yang akan bersaing dalam 23 acara bertaraf dunia di pelbagai venue sekitar Riyadh.

Sukan Solidariti Islam adalah acara pelbagai sukan ketiga terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia, sekali gus menekankan kepentingannya dalam menyatukan bakat-bakat sukan dari dunia Islam.

Arab Saudi juga berbangga kerana menjadi tempat kelahiran acara ini, selepas menganjurkan edisi sulungnya pada tahun 2005.

Malaysia turut mempunyai rekod membanggakan di Sukan Solidariti Islam, apabila berada di kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan pungutan pingat.

Atlet negara meraih sebanyak 91 pingat, termasuk 33 emas, 23 perak, dan 41 gangsa, sekali gus memperlihatkan kekuatan sukan Malaysia di pentas ini.

Dengan venue yang sudah siap dan persiapan akhir sedang dijalankan, Sukan Solidariti Islam Riyadh 2025 menjanjikan sebuah perayaan acara pelbagai sukan dan budaya yang tidak dapat dilupakan, menghimpunkan kecemerlangan atlet dan perpaduan umat Islam.

Speedy Tigers berpeluh sebelum benam China 2-0

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara bermula baik pada pusingan Super 4 Piala Asia 2025 di Bihar, India, selepas mengatasi China 2-0, hari ini.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Sarjit Singh bergelut untuk mencipta jaringan terutama pada separuh masa pertama dan hanya memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Selang dua minit kemudian, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengukuhkan kedudukan Speedy Tigers dengan menjaringkan gol padang dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara akan berdepan ujian getir bertemu pasukan tuan rumah yang menduduki ranking ketujuh dunia ketika ini, malam esok.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada skuad negara dengan pertemuan kali terakhir semasa Trofi Juara-Juara Asia di China tahun lalu menyaksikan India membelasah Speedy Tigers 8-1.

Kemudian skuad negara akan menamatkan aksi round robin bertemu Korea Selatan, Sabtu ini.

Malaysia perlu memburu sekurang-kurangnya tempat kedua bagi menempah tiket ke final, yang secara automatik menawarkan slot ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda, jika muncul juara.

Jun Hao, Zii Jia berentap di pusingan pertama Terbuka Hong Kong

Kuala Lumpur: Siapa lebih layak digelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara?

Persoalan itu bakal terjawab apabila dua pemain terbaik negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao diundi bertemu seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.

Berdasarkan ranking semasa, Jun Hao kini berada di kedudukan ke-23 dunia, sekali gus mengatasi Zii Jia yang menghuni tangga ke-47.

Namun, rekod pertemuan jelas memihak kepada Zii Jia yang juga bekas juara Asia apabila memenangi semua tiga perlawanan menentang Jun Hao termasuk di suku akhir Terbuka Artik 2023 sebelum muncul juara.

Kedua-dua pemain itu sedang memburu kebangkitan selepas kempen hambar di Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu.

Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan buku lali terkandas di pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin manakala Jun Hao pula tewas di pusingan kedua kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil selaku pilihan pertama dan akan membuka tirai menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.

Mereka berpotensi bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang diletakkan sebagai pilihan kedua di pentas final.

Sze Fei-Izzuddin akan membuka kempen menentang Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China.

Beregu wanita negara yang juga juara bertahan dan masih segar dengan gelaran naib juara dunia, Pearly Tan-M Thinaah akan menentang Chang Chin Hui-Yang Ching Tun dari Taiwan pada aksi pembukaan.

Manakala juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu pasangan England, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen.

Bagaimanapun, status penyertaan Tang Jie-Ee Wei di Hong Kong masih menjadi tanda tanya selepas kejayaan bersejarah mereka di Paris.

“Kita memang daftar untuk Terbuka Hong Kong, tetapi kita akan lihat keadaan mereka. Jika tidak bersedia, mereka akan tarik diri,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.

Majlis Sukan Negara Malaysia