Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Mereka juga gentar dengan penembak kita’

Kuala Lumpur: Skuad menembak negara berjanji tidak akan tunduk dengan reputasi hebat dimiliki beberapa atlet bertaraf Olimpik yang bakal menjadi pencabar utama pada Sukan Sea Thailand 2025, Disember ini.

Pengurus pasukan, Mejar Jasni Shaari menegaskan keyakinan tetap tinggi dalam kem negara meskipun saingan dijangka sengit, malah beliau percaya skuad Malaysia juga memiliki kekuatan tersendiri untuk mencipta kejutan di pentas dwitahunan itu.

“Negara lain pun ada Olimpian mereka, tapi mereka pun sebenarnya takut dengan kita. Bukan kita saja yang rasa ‘cuak’ dengan mereka, mereka juga gentar dengan kemampuan penembak kita,” katanya ketika ditemui bersempena lawatan ketua kontinjen, Nurul Huda Abdullah d Majlis Sukan Negara.

Jasni menjelaskan, sukan menembak bukan sekadar bergantung kepada nama besar atau pengalaman, sebaliknya menuntut kekuatan mental dan ketenangan luar biasa setiap atlet ketika beraksi.

“Dalam menembak, tiada siapa boleh halang seseorang untuk mengenai sasaran tepat jika dia berada pada prestasi terbaik. Semuanya bergantung kepada fokus dan ketenangan pada hari pertandingan,” tegasnya.

Skuad negara kali ini dibarisi 29 atlet yang akan beraksi dalam tiga disiplin utama, rifle, pistol dan shotgun, merangkumi lebih 15 acara individu dan berpasukan.

Antara sandaran utama negara ialah penembak berpengalaman seperti Nur Suryani Taibi, Jonathan Wong dan Alia Sazana Azahari, selain kemunculan beberapa muka baharu yang menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan.

Edisi 2025 bukan Sukan Sea terakhir buat Syafiq

Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh belum bersedia untuk mengakhiri perjuangannya di pentas Sukan Sea meskipun sudah lebih sedekad mewakili Malaysia dalam acara berprestij itu.

Masih bersemangat selepas membawa pulang dua pingat perak dari Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India baru-baru ini, Syafiq memberi bayangan temasya Sukan Sea 2027 di Kuala Lumpur mungkin menjadi pentas terakhirnya.

“Selagi saya mampu, saya akan terus berjuang dan buat yang terbaik untuk Malaysia. Mungkin Sukan Sea 2027 nanti akan jadi yang terakhir untuk saya, tapi bergantung juga pada keadaan badan ketika itu,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan Ketua Kontinjen Sukan Sea 2025, Nurul Huda Abdullah di venue latihan skuad terjun kebangsaan, hari ini.

Pada kejohanan di India, atlet berusia 30 tahun itu menyumbang dua perak masing-masing dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu lelaki serta 3m papan anjal seirama bersama rakan gandingannya, Elvis Priestly Clement.

Mengulas mengenai sasaran di Sukan Sea 2025 di Thailand, Syafiq yang bakal membuat penampilan keenam sejak edisi 2015 di Singapura menegaskan fokusnya kini memburu hatrik emas dalam acara 3m papan anjal lelaki selepas meraih kejayaan sama di Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023.

“Kalau boleh saya nak pertahankan emas untuk kali ketiga berturut-turut. Itu sasaran utama saya di Thailand nanti,” tegasnya.

Sukan Sea 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini di tiga wilayah Thailand, Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Tang Jie-Ee Wei mara, Pearly-Thinaah sangkut

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan langkah bergaya apabila mara ke suku akhir Terbuka Denmark 2025 selepas menundukkan pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Yin, sebentar tadi.

Gandingan pilihan keempat kejohanan itu tidak berdepan banyak masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-11 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Jyske Bank, Odense.

Kemenangan itu sekali gus memastikan satu slot separuh akhir bakal menjadi milik Malaysia apabila Chen-Ee Wei dijadual berdepan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, di suku akhir esok.

Sebelum itu Soon Huat-Shevon berjaya menumpaskan beregu campuran Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-18, 21-13.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk meneruskan rentak cemerlang tidak kesampaian selepas tersingkir di pusingan kedua.

Gandingan pilihan kedua kejohanan itu tewas kepada pasangan Jepun, Arisa Higashino-Chiharu Shida, 18-21, 9-21 dalam aksi selama 35 minit.

Kekalahan itu menamatkan momentum positif Pearly-Thinaah yang baru sahaja menjuarai Terbuka Artik di Finland, Ahad lalu.

Dua pemain negara itu kini akan mengalihkan fokus ke Terbuka Perancis yang dijadual berlangsung minggu depan, dengan pertemuan menentang pasangan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun, di pusingan pertama.

Skuad kuadran sedia pelan B

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara bersedia dengan pelan B sekiranya beberapa tonggak utama bagi acara kuadran tidak sempat pulih untuk beraksi pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Ketua Jurulatih Ahmad Jais Baharun memaklumkan pemain seperti Mohamad Azlan Alias, Farhan Adam dan Norfaizzul Abd Razak kini sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN), sekali gus memberi sedikit tekanan kepada persiapan akhir pasukan itu.

“Jika dilihat pada ketika ini, beberapa pemain kita sedang menjalani rawatan dan ada yang masih belum pulih sepenuhnya. Itu yang memberi sedikit tekanan kepada pemain-pemain kita khususnya.

“Kami masih meneruskan latihan persiapan memantapkan pemain dari segi serangan dan pertahanan. Cuma dari segi persiapan akhir, kami harap pemain terus fokus dan tidak berlaku kecederaan kepada mereka,” katanya ketika kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah di lokasi latihan skuad sepak takraw di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pelan B yang dimaksudkan ialah dengan memulakan latihan simulasi untuk pemain baharu bagi acara kuadran.

“Selain itu, sebagai persiapan akhir, pemain akan berangkat ke Ratchaburi, Thailand pada 19 hingga 24 November untuk mengadakan perlawanan ujian menentang bekas pemain kebangsaan Thailand,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pada Sukan SEA 2025, Ahmad Jais sedia maklum akan sasaran ditetapkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mahu dua emas menerusi acara regu lelaki dan kuadran lelaki dibawa pulang dari Thailand.

Dhuha lega duduki SPM selepas tamat misi Sukan Sea 2025

Kuala Lumpur: Perenang muda negara, Muhammad Dhuha Zulfikry menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada atlet yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengambil peperiksaan selepas tamat tugasan di Sukan Sea Thailand 2025, Disember depan.

Dhuha, 18, mengakui pengumuman dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu sedikit sebanyak melegakan fikirannya yang sebelum ini ‘berserabut’ memikirkan pertembungan antara tanggungjawab akademik dan sukan.

“Lega juga (dengan pengumuman YB Hannah), tetapi cabarannya tetap ada. Kertas peperiksaan terakhir saya selepas Sukan Se ialah Matematik Tambahan, jadi ia agak mencabar,” katanya ketika ditemui pada sesi pertemuan atlet renang bersama Ketua Kontinjen Negara, Nurul Huda Abdullah hari ini.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu bakal menduduki sembilan subjek termasuk Sains Komputer, Kimia dan Fizik, namun buat masa ini mahu mengetepikan tekanan peperiksaan bagi memberi fokus penuh kepada persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Secara peribadi, sasaran saya ialah untuk melakukan yang terbaik. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan cuba dapatkan pingat. Tak kisah warna apa pun, saya akan cuba,” katanya.

Dhuha dijangka beraksi dalam dua acara utama, 400 meter (m) dan 1500m gaya bebas — dengan 1500m menjadi sandaran utama untuk memburu podium.

“Secara realistik, acara 1500m paling dekat untuk raih pingat kerana itu acara utama saya,” jelasnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum ini mencipta sensasi apabila memadam rekod kebangsaan 1500m gaya bebas lelaki berusia 35 tahun milik Jeffrey Ong ketika beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik 2024 di Shanghai, China.

Momentum luar biasa itu diteruskan di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 apabila Dhuha menyapu bersih enam pingat emas dan mencipta lima rekod baharu, sekali gus muncul antara atlet paling cemerlang temasya berkenaan.

Sivasangari kandas aksi final

Kuala Lumpur: Bintang skuasy wanita negara S Sivasangari gagal merampas kejuaraan Terbuka Silicon Valley daripada pemain tuan rumah, Olivia Weaver dalam aksi di Redwood City, California, hari ini.

Pilihan ketiga kejohanan itu gagal menyaingi ketepatan dan kepantasan pemain Amerika Syarikat berusia 30 tahun yang menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan 12-10, 4-11, 11-4, 11-4 dalam masa 47 minit.

Pemain nombor lapan dunia itu turut melakukan beberapa kesilapan terutama dalam set pertama dan ketiga, sebelum Olivia terus menguasai permainan dan mendominasi gelanggang pada set keempat.

Setelah menewaskan pemain Amerika Syarikat Amanda Sobhy yang menduduki ranking nombor sembilan dunia dan pemain Mesir Salma Hany (nombor 15 dunia) dalam dua pusingan sebelumnya, harapan tinggi disandarkan kepada Sivasangari untuk merampas kejuaraan daripada Olivia.

Bagaimanapun, harapan berkenaan tidak kesampaian apabila juara bertahan itu yang merupakan pemain nombor lima dunia berjaya merangkul gelaran ke-11 dalam kariernya di Kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

KBS tetap bantu Harimau Malaya

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak menghentikan sebarang bentuk bantuan atau peruntukan kepada skuad Harimau Malaya meskipun berdepan isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sokongan kerajaan terhadap skuad kebangsaan tetap diteruskan terutama bagi memastikan persiapan pasukan senior menjelang pusingan kelayakan Piala Asia berjalan lancar.

“Setakat ini, dana tambahan diumumkan Perdana Menteri adalah untuk pasukan kebangsaan, Harimau Malaya, khusus bagi persiapan ke Piala Asia. Selain itu, sebelum ini juga ada RM5 juta diperuntukkan kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam Arab Saudi 2025.

Menurutnya, isu penggantungan dikenakan hanya membabitkan tujuh pemain dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala pemain tempatan lain seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi masih mewakili negara dan wajar terus dibantu.

“Ramai sudah lupa pasukan Harimau Malaya masih ada. Takkan kita tak nak bantu atlet bola sepak lain yang masih berjuang untuk Malaysia.

“Hukuman itu terhadap tujuh pemain dan FAM, tapi selagi kita ada pasukan dan pemain tempatan yang memerlukan sokongan, kita akan cari usaha membantu mereka,” katanya.

Hannah menjelaskan, bantuan kerajaan bukan sepenuhnya menampung keperluan kewangan skuad kebangsaan, sebaliknya FAM masih perlu mencari sumber dana tambahan bagi menampung perbelanjaan besar yang diperlukan dalam ekosistem bola sepak negara.

“Dana kerajaan sebenarnya bukan besar kalau dibandingkan dengan kos keseluruhan untuk mengurus pasukan bola sepak. Jadi FAM perlu juga berusaha mencari dana sendiri,” katanya.

FAM dikenakan denda selain tujuh pemain terbabit, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal dikenakan penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak bermula tarikh yang dimaklumkan.

Jika semua langkah undang-undang diambil masih gagal termasuk hingga ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) gagal mencabar keputusan FIFA, seperti sedia maklum, pembatalan kemenangan serta penolakan mata berpotensi dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada skuad negara.

Azriyn, Wee Kiong ‘smash’ beregu nombor satu dunia

Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melakar kejutan di Terbuka Denmark selepas menumbangkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Dalam aksi pusingan kedua di Odense itu, Azriyn-Wee Kiong berjaya mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-14 untuk mara ke suku akhir esok.

Mereka akan menentang pemenang di antara Liang Weikeng-Wang Chang dari China atau Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi (Indonesia) esok untuk aksi suku akhir ketiga mereka tahun ini.

Penampilan suku akhir mereka sebelum ini ialah di Terbuka Jepun dan Macau.

“Sudah tentu kami gembira, gembira kerana berjaya menang hari ini. Untuk perlawanan kali ini, kami hanya mahu menikmati permainan dan saling mengingatkan supaya fokus serta berikan yang terbaik di gelanggang.”

“Kami anggap tekanan lebih kepada mereka. Kami pula hanya bermain secara santai dan ikut rentak sendiri.”

“Semua orang tahu mereka laju dan kuat, jadi perkara pertama yang kami bincangkan ialah untuk cuba ikut tempo permainan mereka dahulu. Bila dah dapat rentak, mungkin masa itu mereka mula hilang fokus,” kata Wee Kiong selepas kali pertama berdepan Won Ho-Seung Jae.

Dalam pada itu Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara ke suku akhir selepas mengalahkan beregu campuran Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-18, 21-13.

Menanti mereka adalah pemenang di antara rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei atau Gao Jia Xuan-Wu Meng Yin dari China.

‘Kalau hantar pelapis untuk lawan pemain elit, kita sebenarnya hantar mereka untuk kalah’

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyokong keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menurunkan barisan pemain terbaik negara ke Sukan Sea 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan.

Menurut Hannah, langkah itu wajar dan selari dengan pendekatan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang turut menurunkan skuad elit masing-masing bagi mempertahankan dominasi dalam temasya dwitahunan itu.

“Semasa kita di Kemboja (Sukan Sea 2023), Malaysia membawa kontinjen pelapis untuk diberi pendedahan. Tapi bila badminton tidak menang pingat, rakyat tidak puas hati kerana badminton adalah sukan utama negara.

“Kali ini, Thailand dan Indonesia sudah umum akan hantar pasukan terbaik mereka. Jadi kalau kita hantar pelapis untuk lawan pemain elit, kita sebenarnya menghantar mereka untuk kalah. Sebab itu BAM buat keputusan menghantar barisan elit supaya saingan itu lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam Arab Saudi 2025, hari ini.

Pada temasya di Kemboja tahun lalu, skuad badminton negara yang dibarisi pemain pelapis gagal meraih sebarang pingat emas apabila hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa, selain skuad wanita tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Filipina.

Tambah Hannah, keputusan BAM itu menunjukkan pendekatan strategik lebih menyeluruh dalam memastikan skuad negara bersaing di tahap setara dengan kekuatan lawan.

“Kita mahu beri pendedahan kepada atlet muda, tetapi ia mesti bersesuaian dengan tahap pertandingan dan kemampuan mereka,” katanya.

Semalam, BAM memberi isyarat jelas bahawa mereka serius memburu emas apabila mengumumkan senarai pemain bintang untuk menghadapi cabaran di Bangkok.

Antara yang disenaraikan termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; serta naib juara dunia beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Sebagai tuan rumah, Thailand turut mempertaruhkan barisan terbaik mereka termasuk bekas juara dunia perseorangan lelaki, Kunlavut Vitidsarn, dan gandingan beregu campuran elit, Dechapol Puavaranukroh.

Mengulas kebimbangan mengenai isu keletihan pemain kerana jadual Sukan Sea yang hampir bertembung dengan Jelajah Akhir Dunia BWF (17 hingga 21 Disember), Hannah berkata perkara itu akan diuruskan sepenuhnya oleh BAM dan barisan kejurulatihan.

“Untuk isu keletihan, saya percaya BAM dan jurulatih akan membuat penyesuaian sewajarnya kerana mereka lebih tahu jadual dan keperluan pemain,” katanya.

Bagi acara berpasukan badminton, ia akan berlangsung dari 7 hingga 10 Disember manakala saingan individu 11 hingga 14 Disember.

Misi wajib menang Young Tigers lawan India

Johor Bahru: Skuad remaja negara perlu menang ke atas India sekirannya ingin mengintai peluang untuk melayakkan diri ke penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, petang esok.

Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menuntut barisan pemainnya agar lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan corak permainan skuad kendalian Sreejesh P Parattu yang turut memburu kemenangan untuk melayakkan diri ke pentasi final.

“Bagi pertembungan menentang India, kita akan menggunakan pendekatan taktikal permainan yang sama dan tidak akan memandang remeh kelebihan yang mereka ada. Kita kena fokus dan bermain secara berhati-hati kerana lawan ada kekuatan yang hebat

“Kami perlu berman dengan kemampuan kami dan akan meningkatkan intensiti permainan dan kemungkinan India juga akan menggunakan kepantasan mereka, jadi kita tidak boleh beraksi terlalu ke bawah kerana ia cukup berbahaya,” katanya.

Young Tigers kini berada di tangga kelima selepas mengharungi empat perlawanan berjaya mengutip empat mata manakala India selaku juara 2022 yang tewas 2-4 kepada Australia, malam tadi kini mengumpul tujuh mata.

Nor Saiful Zaini juga mengingkat pemain supaya tidak melakukan kesilapan ketika tewas 1-4 kepada Britain biarpun satu pada awalnya mampu mengikat skuad kendalian Jon Bleby 1-1 namun kesilapan berterusan apabila gagal mengekal konsistensi permainan.