Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong ‘dihantui’ kecederaan baharu

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terus berdepan cabaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dihimpit kecederaan baharu pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang ber­akhir Ahad lalu.

Ketua Pegawai Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ooi Yu Hang mengesahkan, pemain ranking No.15 dunia itu mengalami kecederaan tulang belakang ketika menentang pemain Brunei pada aksi pertama BATC.

Tegas Yu Hang, masalah pemain berusia 24 tahun itu bukan kecederaan berulang seperti dialaminya pada Terbuka Malaysia bulan lalu iaitu koyak otot di bahagian ­belakang.

“Tze Yong mengambil suntikan sejak kecederaan tersebut. Untuk tempoh 10 hari ini kita perlu memantau keadaannya ke­rana doktor dari ISN (Institut Sukan Negara) menyarankan kita perlukan 10 hari untuk melihat bagaimana dia bertindak terhadap suntikan tersebut.

“Selama 10 hari ini, kami hanya membenarkan Tze Yong melakukan beberapa latihan ringan dan fokus utama adalah memperkuat otot bagi melindungi daripada kecederaan.

“Apapun, kecederaan ini berbeza dan tidak sama sewaktu menimpa Tze Yong di Terbuka Malaysia, lagipun kecederaan itu telah pulih.

“Kecederaan baharu ini berhubung dengan tulang belakang ‘spine’ dan juga terdapat masalah dengan disc. Selepas ini, Tze Yong akan menjalani rehabilitasi di ABM (Akademi Badminton Malaysia),” katanya.

Mengikut perancangan, Tze Yong sepatutnya beraksi pada Terbuka Perancis bermula 5 Mac ini dan seterusnya Seluruh England yang membuka tirai dari 12 hingga 17 Mac nanti.-Kosmo

Wee Wern umum gantung raket

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern akhirnya mengumumkan menggantung raket selepas dua dekad berbakti kepada negara dalam sukan tersebut.

Pemain berusia 32 tahun itu yang pernah menduduki ranking kelima dunia sebelum ini pernah menyuarakan hasrat tersebut tahun lalu selepas bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya.

“Dengan emosi yang bercampur-campur saya mengumumkan persaraan saya daripada skuasy profesional pada hari ini tidak dapat dielakkan tetapi betapa perjalanannya!

“Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang menyokong saya, penaja saya dan semua orang sepanjang perjalanan.

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi yang saya terima telah menjadi penggerak di sebalik perjalanan yang tidak dapat dilupakan ini,” katanya.

Biarpun tidak lagi aktif di gelanggang Wee Wern selepas ini, namun dia bertekad menyumbang kepada pembangunan pelapis baharu sukan itu.

“Walaupun bab ini berakhir, semangat saya untuk sukan ini dan memberi inspirasi kepada orang lain tetap kekal.

“Inilah permulaan baru, perjalanan baru yang penuh dorongan, keazaman dan motivasi.

“Saya teruja dengan peluang yang akan datang. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini! Saya diberkati tidak terkata,” katanya.-Sinar

Malaysia akan kembali kuasai lompat tinggi Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei meramalkan Malaysia akan kembali menguasai sukan itu di peringkat Sukan SEA dalam tempoh lima tahun lagi.

Hup Wei yang kini menggalas tugas selaku jurulatih pelapis kebangsaan, berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mencari bakat-bakat baharu dari seluruh negara untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebelum ini memang kita tiada atlet pelapis, jadi saya perlukan masa untuk menggilap bakat-bakat baharu.

“Sekarang kita sudah ada seorang atlet (Kuan Jhy Yunn) yang diserapkan dalam program pelapis di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) tahun ini dan ada 10 atlet remaja di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

“Ketika ini saya sedang menggiatkan usaha untuk mencari lebih ramai atlet berbakat dengan kerjasama MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia).

“Untuk kita menjadi kuasa besar semula di peringkat Asia Tenggara, kita perlu kumpulan bakat baharu yang besar,” kata Hup Wei yang mengumumkan persaraannya pada 2022.

Menurut Hup Wei, pelan jangka pendek ketika ini adalah untuk mempersiapkan dua atlet lelaki dan wanita bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Bangkok 2025.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk bawa atlet ke Sukan SEA Bangkok 2025. Buat masa ini, saya harap kita mampu cari dua atlet lelaki dan dua wanita untuk temasya itu,” katanya.

Malaysia sebelum ini adalah kuasa besar lompat tinggi di Sukan SEA dengan Hup Wei dan seorang lagi bekas atlet negara, Nauraj Singh Randhawa berjaya menguasai acara itu sejak 2007.

Hup Wei memenanginya sebanyak empat kali bermula 2007 di Manila, 2009 (Vientiane), 2011 (Palembang) dan 2019 (Filipina) manakala Nauraj merekodkan kejuaraan pada 2013 (Napyidaw), 2015 (Singapura) dan 2017 (Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, penguasaan Malaysia berakhir selepas Nauraj sekadar meraih perak di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.

Pada edisi terakhir di Kemboja, tahun lalu, emas menjadi milik atlet Thailand, Tawan Kaeodam.-Berita Harian

Badang Pahang mahu cipta nama di pentas antarabangsa

KUANTAN: Badang Pahang, Rahimi Sulaiman berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan selepas dipilih berada dalam kem angkat berat negara.

Bukan janji manis bulan dan bintang tetapi memadai untuk berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam kategori 55 kilogram (kg) acara snatch.

Menurut atlet kelahiran Rompin itu, dia mula dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan bulan lalu dan kini sedang mengikuti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, dia kini bersama MSN sepenuh masa sehingga 2025, selain mengikuti latihan setiap hari menerusi pelbagai program diadakan termasuk menyertai pertandingan di pentas antarabangsa.

“Peluang menyertai pasukan angkat berat negara seolah membuka peluang kepada saya untuk melangkah lebih jauh dan melakar kejayaan dalam sukan angkat berat di peringkat antarabangsa.

“Saya meletakkan bekas atlet angkat berat negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim sebagai idola yang perlu dijadikan contoh sekiranya ingin mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau menambah, selepas empat tahun sebagai atlet angkat berat Pahang, akhirnya impian berada dalam pasukan kebangsaan kini menjadi kenyataan.

Tumpuannya kini lebih kepada usaha melakukan angkatan yang terbaik.

Mengenai peluang merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, Rahimi berkata, dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan lebih dua tahun.-Berita Harian

36 pasukan bakal berentap kejohanan boling Sarawak Hornbill Team Cup 2024

KUCHING, 20 Feb: Sebanyak 36 pasukan termasuk satu pasukan dari Jakarta, Indonesia bakal berentap dalam kejohanan boling kebangsaan Sarawak Hornbill Team Cup 2024 pada 4 hingga 9 Mac 2024 di Megalanes Sarawak, E-Mart Batu Kawa.

Naib Presiden ABAS Robert Lu Nam Min berkata, penganjuran kejohanan itu menjadi platform terbaik serta peluang bagi atlet-atlet boling melakukan persediaan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, selain menjadi gelanggang latihan untuk persiapan temasya berkenaan.

“Tahun ini kita menerima banyak penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Selangor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan sebagainya.

“Lebih menarik tahun ini, kebanyakan negeri-negeri di seluruh Malaysia bertindak untuk menghantar atlet SUKMA bagi merasai sendiri suasana dan gelanggang untuk persiapan SUKMA yang akan diadakan pada Ogos,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Hornbill Team Cup 2023 di Pusat Akuatik Pandelela di sini, hari ini.

Selain memberi kesan kepada industri sukan boling Sarawak, kejohanan itu katanya, dapat menberi impak kepada industri pelancongan negeri Bumi Kenyalang.

“Sebagai persatuan sukan yang bertanggungjawab dalam memenuhi kerangka tanggungjawab sosial, kami akan terus menganjurkan pelbagai jenis acara kejohanan bagi menyokong pelancongan domestik.

“Selain acara kejohanan di peringkat antarabangsa, terdapat acara-acara kecil yang akan kami teruskan sehingga Disember tahun ini,” ujarnya.

Kejohanan anjuran Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu bakal mempertandingkan sembilan acara.

Kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM70,000 di mana johan keseluruhan bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala dan medal, tempat kedua bakal merangkul RM7,000 beserta medal dan tempat ketiga sebanyak RM5,000 beserta medal.  -TVS

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MSN FEBRUARI 2024

Majlis Perhimpunan Bulanan MSN bagi bulan Februari 2024 telah dihadiri oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

Pada perhimpunan pada kali ini YBrs. Encik Ariffin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN) mewakili Bahagian Korporat menyerahkan Sijil Pemilik Hakcipta Lagu Demi Malaysia kepada KP MSN.

Lagu Nyanyian Dato’ Awie, Jaclyn Victor dan Naim Daniel ini adalah ciptaan Zimi Sofarz dan Lirik oleh Jerry, telah dilancarkan pada 14 April 2021 merupakan lagu yg asalnya dicipta sebagai sokongan kontinjen negara ke Sukan Olimpik serta Paralimpik Tokyo 2020 dan didaftarkan dibawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 11 September 2023.

Penganjuran SUKMA penanda aras Sarawak bida Sukan SEA 2027

KUCHING : Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ogos ini menjadi penanda aras untuk Sarawak menawarkan diri sebagai tuan rumah Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.

Ia susulan keputusan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia sebagai penganjur Sukan SEA bagi edisi ke-34 pada 2027.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berikutan itu Sarawak menetapkan dua matlamat utama pada temasya dwi tahunan itu yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.

Menurutnya, pertamanya semua venue sedia ada dinaik taraf sesuai dengan standard antarabangsa dan keduanya menjadi penganjur terbaik dalam semua aspek pada temasya SUKMA.

“Apabila kita berjaya menganjurkan SUKMA terbesar dengan penilaian terbaik dalam semua aspek barulah kita membawa cadangan kepada Kerajaan Pusat untuk membida penganjuran Sukan SEA di Sarawak pula.

“Ini bermakna SUKMA kali ini amat penting bagi Sarawak kerana ia menjadi penanda aras untuk Kerajaan Pusat memberi kira ruang dan peluang untuk menganjurkan acara sukan terbesar Asia Tenggara pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ‘Road to Runaway Champion SUKMA XXI 2024 di Auditorium Borneo Cultures Museum, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, bagi memastikan semua venue menepati standard yang ditetapkan, kerajaan Sarawak berbelanja besar untuk melaksanakan kerja menaik taraf selain membina venue yang belum dimiliki.

“Sekarang kita menyediakan lebih RM100 juta untuk menaik taraf venue semua acara sedia ada dan membina venue baharu untuk acara seperti ragbi, wushu dan kriket.

“Selain itu, peruntukan lebih RM100 juta lagi disediakan bagi membina velodrom walaupun tiada acara berbasikal trek pada SUKMA 2024 nanti, tetapi ia adalah persediaan untuk kita membida penganjuran Sukan SEA kerana velodrom satu-satu kemudahan sukan yang belum ada di Sarawak,” katanya.

Pada 7 Jun 2022, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya terbuka dengan idea penganjuran secara bersama dengan negeri-negeri yang berminat pada Sukan SEA 2027.

Pada 21 Oktober tahun lalu pula, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg memberi bayangan Sarawak mungkin akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 apabila temasya itu diadakan di Malaysia.-Berita Harian

Norza yakin skuad negara mampu bawa pulang Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Peluang untuk membawa pulang Piala Thomas kembali ke Malaysia selepas 1992 tampak cerah berdasarkan prestasi dipamerkan skuad lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), minggu lalu.

Meskipun tidak berupaya mengekalkan gelaran di BATC dan menamatkan kempen 2024 sekali naib juara namun bagi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, ada sinar buat Malaysia di saingan Piala Thomas 2024 yang dijadual berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei nanti.

Baginya, pasukan sudah menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun terpaksa berdepan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan di BATC 2024 termasuk kecederaan dan kesihatan dialami Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia.

Norza turut meluahkan rasa bangganya terhadap barisan pemain lain seperti Leong Jun Hao dan gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menunjukkan semangat juang tinggi dalam pasukan.

“Walaupun pelbagai masalah dihadapi, yang pertama sekali hakikatnya di peringkat kumpulan kita kalahkan Taiwan, di suku akhir kita kalahkan Singapura dan paling besar apabila kalahkan Jepun di separuh akhir.

“Kalau kita lihat persediaan ke arah Piala Thomas… sekiranya kita buat persediaan lebih baik, saya yakin dan percaya kita dapat menyaingi kuasa besar untuk rampas semula Piala Thomas.

“Kita juga dapat lihat, sebagai contoh Sze Fei dan Nur Izzuddin… ini gandingan yang rujuk kembali dan kita dapat lihat komitmen diberikan sangat tinggi dan menunjukkan prestasi sangat baik.

“Jun Hao menunjukkan kemampuannya menjadi perseorangan ketiga yang sangat kuat dan dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin-Sze Fei, kita mempunyai pasukan yang sangat baik.

“Jadi kita sudah nampak jalan ke Piala Thomas dan harap Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia) dan yang lain dapat membina momentum berkenaan untuk ke Chengdu – tempat kita akan bersaing di Piala Thomas akan datang.

“Apa yang kita perlu, lakukan ‘post mortem’… tengok apa yang kita perlukan kerana Piala Thomas hanya dua tiga bulan sahaja lagi. Jadi kita hanya (perlu) fokus untuk menentukan pasukan yang sangat baik dengan menilai keupayaan pasukan yang lain.

“Saya fikir kita tahu, seperti China… mereka adalah calon lawan yang kuat dan kita perlu cari jalan bagaimana nak tewaskan China apabila kita bertemu nanti,” kata Norza.

Di final BATC yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City, Shah Alam semalam, pasukan lelaki negara tewas 0-3 di tangan China sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Malaysia tidak menurunkan tonggak utama perseorangan, Lee Zii Jia kerana mengalami masalah resdung dan kesukaran bernafas di final selain pasukan turut dilihat tempang tanpa kelibat Ng Tze Yong yang kembali dihantui isu kecederaan belakang pada suku akhir.-Berita Harian

Sonny Bill Williams kongsi ilmu ragbi

KUALA LUMPUR: Bekas pemain All Blacks, Sonny Bill Williams berbesar hati menjalin kerjasama dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sekiranya diberikan ruang pada satu hari nanti.

Williams yang meluangkan masa hampir satu jam bersama 60 peserta Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil hari ini secara berseloroh berkata, dia amat terbuka sekiranya diberikan peluang sedemikian.

“Sudah pasti Insya-Allah. Tapi mungkin lutut saya tidak bersetuju. Apapun, saya suka untuk datang semula dan menjadi sebahagian daripada (keluarga) ragbi di Malaysia… tapi dalam kapasiti yang berbeza,” katanya kepada media selepas sesi bersama peserta NRDP, hari ini.

Dalam program berkenaan, seramai 60 peserta yang masing-masing terdiri daripada 30 lelaki dan 30 wanita berpeluang menimba pengalaman berharga bersama Williams yang diberikan jolokan ‘The Offload King’ terutama dari sudut kemahiran.

Turut hadir meluangkan masa pada program berkenaan adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

“Masa tidak cukup panjang. Tapi saya amat berbesar hati dengan program NRDP ini dan melihat langkah pertamanya… ada bakat di sana. Mungkin daripada sudut dana itu kecil tetapi bakat yang menyukai ragbi sangat kuat di Malaysia.

“Insya-Allah saya akan datang (semula ke Malaysia). Kalau saya datang, saya nak lihat perlawanan sebenar, ke sekolah, kolej dan menyaksikan perlawanan di tahap tinggi,” kata Williams yang memeluk Islam pada 2009 itu.-Berita Harian

LAWATAN KE KLSC DAN KLINIK RAGBI BERSAMA SONNY BILL WILLIAMS

Kunjungan hormat daripada Bekas Pemain All Black New Zealand, Sonny Bill Williams ke Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil pada 19 Februari 2024.

King of Offloads itu sempat berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil serta Institut Sukan Negara bagi meninjau pengurusan fasiliti serta kemudahan yang disediakan.

MSN juga menerusi Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) hari ini menganjurkan Klinik Ragbi bersama bekas Pemain Ragbi Ternama Dunia itu yang berlangsung di Mini Stadium, Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur.

Klinik Ragbi ini turut disertai oleh seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pelatih-pelatih Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dari seluruh negara.

Turut hadir dalam program ini adalah YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Encik Amir Amri Mohamad, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) serta Encik Safrushahar Yusoff, Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia