PAHANG PERKEMAS PERSIAPAN KE SUKMA SARAWAK 2024

KUANTAN, 4 APRIL 2024 : Kerajaan Pahang sedang memperkemas persiapan kontinjen Pahang yang akan berentap pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada Ogos nanti.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Pahang optimis untuk memperbaiki kedudukan negeri itu pada SUKMA sebelum ini.

“Sekarang masa untuk persatuan sukan buktikan kemampuan mereka melalui penetapan pingat yang telah dipersetujui pada hari ini dan Pahang serius untuk memperbaiki kedudukan dari tangga kesembilan pada SUKMA sebelum ini ke kedudukan yang lebih baik.

“Saya menyatakan tadi hasrat tersebut kepada semua pengurus dan jurulatih dan mereka faham kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang dan saya optimis bahawa sasaran untuk menduduki sekurang-kurangnya empat ke lima pada SUKMA kali ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Perjumpaan YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang bersama Pengurus Dan Jurulatih Pasukan SUKMA Pahang 2024 di Hotel Swissbel, Kuantan.

Pada SUKMA Sarawak kali ini, Pahang menghantar seramai 796 kontinjen terdiri daripada 327 atlet lelaki manakala 276 atlet wanita.

Beliau berharap segala keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan Pahang dalam memartabatkan sukan tanahair akan dapat memberikan kemenangan dan mengharumkan nama Pahang di SUKMA Sarawak 2024 nanti. – PAHANGMEDIA