Nilai: Kem pecut berpasukan lelaki negara menerima tamparan hebat apabila Muhammad Ridwan Sahrom disahkan tidak dapat berlumba pada Pusingan Akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai, bermula Jumaat ini.
Ia berikutan Ridwan mengalami kecederaan bahu kiri membabitkan sendi acromioclavicular (AC) ketika perlumbaan Siri Piala Dunia di Hong Kong, hujung minggu lalu.
Pengarah teknikal program berbasikal negara, John Beasley berkata, Ridwan didapati mengalami kecederaan agak serius dan difahamkan berada pada tahap antara gred tiga hingga empat yang berkemungkinan memerlukan pembedahan.
Justeru, Beasley terpaksa melakukan pertukaran strategi dan perancangan bagi mencari pengganti sesuai agar dapat membentuk keserasian lebih baik, sekali gus memastikan momentum pasukan dapat dibawa ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.
“Ia kecederaan sendi AC, gred tiga ke gred empat dan kemungkinan besar memerlukan pembedahan, jadi kita kena tunggu penilaian lanjut daripada doktor.
“Untuk kembali ke kekuatan penuh mungkin mengambil masa tiga hingga enam bulan, tetapi untuk memegang ‘handlebar’ dan memulakan latihan asas mungkin dalam tempoh sebulan atau sedikit lebih,” katanya dalam sidang media memperkenalkan penaja utama Pusingan Akhir Piala Dunia Trek yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai bermula Jumaat ini.
Kemalangan berlaku ketika Ridwan bersaing dalam acara keirin pada saringan keempat repechage dan dia tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan, sekali gus menyaksikan pelumba Perancis, Tom Derache dan Nikita Kiriltsev dari Rusia melangkah ke pusingan kedua.
Selain itu, Beasley tidak menolak kemungkinan pelumba muda, Adib Andhar Adnan bakal berada dalam pasukan pecut lelaki bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena bagi menggantikan Ridwan.
Menurut beliau, Adib antara calon utama yang bersesuaian untuk dipilih berdasarkan situasi semasa kerana Ridwan dijangka memerlukan tempoh rehat panjang.
“Harapnya begitu, dialah (Adib) yang kami beri rehat beberapa minggu, jadi saya mahu lihat bagaimana dia kembali dahulu dan menilai di mana kedudukannya dalam pasukan.
“Untuk jangka masa panjang terutama ke Sukan Asia, pelumba ini boleh menjadi faktor besar untuk kita menempatkan diri dalam pasukan jika dia kembali ke tahap yang kita perlukan,” katanya.
Namun, nama rasmi masih belum diputuskan kerana perbincangan perlu dilakukan bersama barisan kejurulatihan bagi menilai dari pelbagai aspek.
Untuk rekod, pelumba berusia 20 tahun itu pernah menyertai kem latihan di Tagaytay, Filipina bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), namun gagal mencatat masa meyakinkan untuk menembusi skuad utama.