Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives May 1, 2024

Rexy kecewa pemain wanita tiada semangat juang

CHENGDU, China: Kem perseorangan wanita negara perlu memiliki semangat juang tinggi sekiranya mahu mencabar pemain lain dalam saingan antarabangsa selepas ini.

Berdasarkan prestasi mereka di Piala Uber 2024 di sini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata beliau kesal melihat pemain seolah-olah tidak mempunyai daya melawan tinggi sehingga gagal memberi tentangan diharapkan sewaktu berdepan pemain ranking lebih tinggi.

Malah, Rexy mendedahkan terdapat sebilangan pemain yang ‘lega’ terlepas daripada menjalani sesi latihan sebelum ini dengan alasan kecederaan.

“Cara fikir mereka sekiranya sakit rasa gembira, padahal orang lain kita lihat sehingga menangis dan menyesal tak main namun pemain kita rasa selamat boleh ponteng latihan.

“Jika tak boleh lawan diri sendiri, macam mana mahu cabar pemain lain,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia menumpaskan Australia 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, hari ini.

Justeru, Rexy menggesa pemain wanita negara untuk mencontohi jaguh Sepanyol dan pemenang emas Olimpik Carolina Marin yang sebelum ini bergelut susulan pembedahan lutut sebanyak dua kali, sebelum kembali ke puncak dengan merangkul gelaran All England 2024, Mac lepas.

Pakar beregu dari Indonesia itu juga kecewa dengan persembahan Siti Nurshuhaini Azman yang banyak melepaskan mata mudah dalam perlawanan menentang pemain nombor 20 dunia Busanan Ongbamrungphan 15-21, 8-21 sewaktu pasukan negara dibenam naib juara 2018, Thailand, 0-5, Isnin lepas.

“Saya perlu jujur kerana Siti Nurshuhaini tiada usaha untuk mengangkat semula pukulan lawannya, kita memang jangka dia kalah namun usaha itu mana,” katanya.

Selain Siti Nurshuhaini, turut beraksi pada saingan kali ini pemain profesional Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha Muhammad Azmi.

Jin Wei, Ling Ching dan Siti Zulaikha menang sekali dalam perlawanan masing-masing di Chengdu, iaitu ketika membantu skuad negara mengatasi Australia, 4-1, awal hari ini.

Dalam pada itu, bekas juara Olimpik berusia 56 tahun itu berkata skuad Piala Uber negara menyajikan aksi positif biarpun tumpas 1-4 kepada Taiwan dalam aksi pembukaan, namun merumuskan mereka terlalu ‘menghormati’ Thailand sehingga dibelasah 0-5, Isnin lepas.

“Kita mengharapkan cara fikiran mereka sebaik melangkah ke gelanggang lebih kepada ‘tak rugi apa-apa’ (nothing to lose) tapi jangkaan (itu) nampak lebih ditunjukkan pada aksi lawan Taiwan namun sangat berlawanan dengan lawan Thailand,” katanya.

Malaysia gagal layak ke suku akhir edisi kali ini selepas tumpas kepada Taiwan dan Australia. Kali terakhir skuad negara layak ke suku akhir adalah pada 2010.

Dalam pada itu, Rexy menyifatkan pemain perseorangan ketiga negara Justin Hoh menampilkan aksi mengagumkan sehingga berjaya mengheret pemain di ranking ke-26 dunia dari Denmark, Rasmus Gemke, ke set penentuan dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Thomas, malam tadi.

Justin, yang berada di kedudukan ke-233, tidak memberikan laluan mudah kepada Gemke sepanjang 76 minit permainan berlangsung sebelum pemain berusia 20 tahun itu dijinakkan 13-21, 21-19, 13-21, sekali gus menyaksikan Denmark mengatasi skuad negara 3-2 untuk muncul johan kumpulan.

Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir, memulakan kempen dengan dua kemenangan 5-0 mengatasi Hong Kong pada Sabtu diikuti Algeria, Isnin lepas. – BERNAMA

Piala Thomas: Siapa kita harap sumbang mata?

KUALA LUMPUR: Kem pemain perseorangan skuad Piala Thomas negara tiada pilihan, sebaliknya perlu segera bangkit memperkemaskan aksi menjelang saingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China esok dan Jumaat ini.

Jelas kegagalan kem perseorangan menyumbang mata, menjadi punca skuad negara tumbang 2-3 ketika aksi penentuan juara Kumpulan D menentang Denmark malam tadi.

Apatah lagi, laluan di suku akhir jelas sukar kerana skuad negara yang muncul naib juara Kumpulan D akan bertemu sama ada juara Kumpulan A, B atau C dalam undian yang dijalankan sejurus aksi peringkat kumpulan berakhir, malam ini.

China sudah muncul juara kumpulan A dengan Jepun dan Taiwan berentap menentukan juara Kumpulan B manakala Indonesia dan India bertembung menentukan juara Kumpulan C.

Justeru, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh perlu segera meningkatkan prestasi dan menunjukkan bukti mereka bukan sekadar ‘penumpang’ dalam pasukan pada aksi peringkat kalah mati.

Malah, Zii Jia yang terpaksa akur tewas di tangan Viktor Axelsen 16-21, 22-24 dalam acara perseorangan pertama menentang Denmark mengakui perlu tampil dengan prestasi lebih baik di suku akhir.

“Perlawanan hari ini (semalam) banyak kena perbaiki lagi. Saya juga letak sasaran peribadi terlalu tinggi dan menjangkakan saya bermain lebih bagus.

“Semua tahu dua tiga tahun kebelakangan ini, saya mengalami prestasi yang turun naik dan bergelut mencari rentak diri. Saya tidak berpuas hati dan masih banyak boleh diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, walaupun kem beregu sudah memenuhi jangkaan ditetapkan, mereka diingatkan supaya tidak mendabik dada, sebaliknya mengekalkan prestasi bagi terus menyumbang mata.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian perlu lebih tenang dan mengurangkan kesilapan ketika beraksi.

Jika tidak misi untuk menamatkan kemarau 32 tahun akan terhenti di suku akhir.-Berita Harian

488 acara dipertandingkan di SUKMA Sarawak 2024 – MSN

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) secara rasmi bersetuju menawarkan sejumlah 488 acara dipertandingkan pada temasya SUKMA Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan jumlah acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang akan dipertandingkan dan telah diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Menurut kenyataan itu, setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk membolehkan ia dipertandingkan, dan akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan diikuti Miri (enam jenis) diikuti Sibu, Mukah dan Bintulu masing-masing tiga jenis sukan.

Selain itu, Samarahan akan mempertandingkan dua jenis sukan, Serian dan Sri Aman masing-masing satu jenis bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.

“Penganjur telah mengenal pasti lima Perkampungan Sukan utama bagi menempatkan atlet daripada 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri,” menurut kenyataan itu.

MSN memaklumkan antara isu lain yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma ialah sejumlah 108 pertindihan pendaftaran atlet telah diselesaikan MSN dan Sekretariat SUKMA Sarawak 2024 menerusi persetujuan bersama di antara Kontinjen Negeri yang terlibat.

Sekretariat Sarawak turut menetapkan Detik 100 Hari menjelang SUKMA Sarawak 2024 akan dilangsungkan pada 9 Mei dan disempurnakan oleh Premier Sarawak.

— BERNAMA

YAKEB masih ‘rasai’ semangat Khalid

KUALA LUMPUR: ‘Kehadiran’ Allahyarham Khalid Ali seakan masih dapat dirasai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) walaupun legenda bola sepak itu sudah hampir tiga bulan meninggal dunia.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, Allahyarham sering memberikan motivasi serta sokongan kepada usaha ataupun program dilaksanakan YAKEB dan ia masih dapat dirasai badan berkenaan sehingga hari ini.

“Bagi kami di YAKEB, sehingga hari ini kami dapat rasakan beliau masih bersama kita. Pada beberapa majlis dianjurkan sebelum ini, kita masih merasakan beliau bersama dengan kita kerana semangat yang diberikannya kepada YAKEB dan warga kerja serta ahli.

“Beliau memberi semangat yang bagi saya, begitu tinggi dan dia ini pandai berjenaka dan daripada aspek bola sepak pula, pandangan diberikannya begitu kritis,” kata Noorul Ariffin selepas menyerahkan inisiatif khairat kematian YAKEB kepada isteri Allahyarham, Siti Norkhanah Mohammed Yatim, hari ini.

Khairat kematian adalah salah satu daripada 12 inisiatif di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB selain bantuan rawatan perubatan, bantuan alat sokongan perubatan dan bantuan melanjutkan pelajaran.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6 Februari lalu pada usia 66 tahun selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Sewaktu beliau sedar daripada koma, beliau masih bercakap dengan saya mengenai bola sepak. Beliau bercakap dengan saya yang pemain bola sekarang ini perlu ada tempoh masa yang lama… tidak boleh setahun atau dua tahun untuk layak ke Olimpik.

“Kena ada program lima ke enam tahun untuk mereka pergi ke Olimpik. Saya katakan kepada beliau, Khalid… rileks, biar sembuh dulu dan biar FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menguruskan hal itu.

“Masa beliau sakit pun tetap bersemangat (dengan bola sepak). Beliau kalau boleh nak bola sepak sekarang ini jadi seperti waktu gemilang disertainya sebelum ini,” kata Noorul Ariffin.

Allahyarham yang juga bekas pemain Selangor pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985 dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Russia.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia