Piala Thomas: Siapa kita harap sumbang mata?

KUALA LUMPUR: Kem pemain perseorangan skuad Piala Thomas negara tiada pilihan, sebaliknya perlu segera bangkit memperkemaskan aksi menjelang saingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China esok dan Jumaat ini.

Jelas kegagalan kem perseorangan menyumbang mata, menjadi punca skuad negara tumbang 2-3 ketika aksi penentuan juara Kumpulan D menentang Denmark malam tadi.

Apatah lagi, laluan di suku akhir jelas sukar kerana skuad negara yang muncul naib juara Kumpulan D akan bertemu sama ada juara Kumpulan A, B atau C dalam undian yang dijalankan sejurus aksi peringkat kumpulan berakhir, malam ini.

China sudah muncul juara kumpulan A dengan Jepun dan Taiwan berentap menentukan juara Kumpulan B manakala Indonesia dan India bertembung menentukan juara Kumpulan C.

Justeru, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh perlu segera meningkatkan prestasi dan menunjukkan bukti mereka bukan sekadar ‘penumpang’ dalam pasukan pada aksi peringkat kalah mati.

Malah, Zii Jia yang terpaksa akur tewas di tangan Viktor Axelsen 16-21, 22-24 dalam acara perseorangan pertama menentang Denmark mengakui perlu tampil dengan prestasi lebih baik di suku akhir.

“Perlawanan hari ini (semalam) banyak kena perbaiki lagi. Saya juga letak sasaran peribadi terlalu tinggi dan menjangkakan saya bermain lebih bagus.

“Semua tahu dua tiga tahun kebelakangan ini, saya mengalami prestasi yang turun naik dan bergelut mencari rentak diri. Saya tidak berpuas hati dan masih banyak boleh diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, walaupun kem beregu sudah memenuhi jangkaan ditetapkan, mereka diingatkan supaya tidak mendabik dada, sebaliknya mengekalkan prestasi bagi terus menyumbang mata.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian perlu lebih tenang dan mengurangkan kesilapan ketika beraksi.

Jika tidak misi untuk menamatkan kemarau 32 tahun akan terhenti di suku akhir.-Berita Harian