YAKEB masih ‘rasai’ semangat Khalid

KUALA LUMPUR: ‘Kehadiran’ Allahyarham Khalid Ali seakan masih dapat dirasai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) walaupun legenda bola sepak itu sudah hampir tiga bulan meninggal dunia.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, Allahyarham sering memberikan motivasi serta sokongan kepada usaha ataupun program dilaksanakan YAKEB dan ia masih dapat dirasai badan berkenaan sehingga hari ini.

“Bagi kami di YAKEB, sehingga hari ini kami dapat rasakan beliau masih bersama kita. Pada beberapa majlis dianjurkan sebelum ini, kita masih merasakan beliau bersama dengan kita kerana semangat yang diberikannya kepada YAKEB dan warga kerja serta ahli.

“Beliau memberi semangat yang bagi saya, begitu tinggi dan dia ini pandai berjenaka dan daripada aspek bola sepak pula, pandangan diberikannya begitu kritis,” kata Noorul Ariffin selepas menyerahkan inisiatif khairat kematian YAKEB kepada isteri Allahyarham, Siti Norkhanah Mohammed Yatim, hari ini.

Khairat kematian adalah salah satu daripada 12 inisiatif di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB selain bantuan rawatan perubatan, bantuan alat sokongan perubatan dan bantuan melanjutkan pelajaran.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6 Februari lalu pada usia 66 tahun selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Sewaktu beliau sedar daripada koma, beliau masih bercakap dengan saya mengenai bola sepak. Beliau bercakap dengan saya yang pemain bola sekarang ini perlu ada tempoh masa yang lama… tidak boleh setahun atau dua tahun untuk layak ke Olimpik.

“Kena ada program lima ke enam tahun untuk mereka pergi ke Olimpik. Saya katakan kepada beliau, Khalid… rileks, biar sembuh dulu dan biar FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menguruskan hal itu.

“Masa beliau sakit pun tetap bersemangat (dengan bola sepak). Beliau kalau boleh nak bola sepak sekarang ini jadi seperti waktu gemilang disertainya sebelum ini,” kata Noorul Ariffin.

Allahyarham yang juga bekas pemain Selangor pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985 dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Russia.-Berita Harian