Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 12, 2024

Zii Jia tak sabar gegar BATC

JAGUH badminton negara, Lee Zii Jia dilihat bersedia untuk turun membantu skuad negara terutama dalam misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam esok.

Pemain ranking No. 10 dunia itu mengakui dia kini menerima tonik terbaik untuk membuat kemunculan di BATC bersama pasukan negara apabila baru pulang ‘berguru’ dengan menjalani kem latihan di Persatuan Badminton Korea (BKA), di Jincheon, Seoul kira-kira 10 hari.

“Sememangnya, saya tidak sabar untuk beraksi di BATC selepas menjalani latihan yang menakjubkan di Korea. Pasti ramai tahu bahawa BKA telah melahirkan dua juara dunia, jadi saya dapat menjalani latihan bersama mereka.

“Selain itu, mereka mempunyai fasiliti berkelas dunia dan saya gembira kerana mereka mengalu-alukan kehadiran saya,” kata Zii Jia.

Biarpun masih belum mengetahui siapa yang akan terlebih dahulu diturunkan namun, Zii Jia berharap dia dapat diturunkan lebih awal.

“Bagi orang lain saya tak tahu, tetapi bagi saya, saya nak main pada perlawanan menentang pasukan lebih mudah terlebih dahulu.

“Taiwan mungkin tidak membawa barisan terkuat mereka, tetapi mereka masih membawa Lin Chun Yi dan Lee Yang-Wang Chi Lin sebagai perseorangan pertama dan beregu pertama mereka. Tekanan tetap ada tetapi kita perlu atasinya,” katanya.

Menjelang perlawanan esok, Malaysia diundi dalam kumpulan B menentang pasukan Brunei, sebelum berdepan Kazakhstan dan Taiwan.

Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan lawan kerana hanya dua pasukan teratas kumpulan akan melangkah ke pusingan kalah mat. -KOSMO! Online.

Ada yang tak kena – Pandelela

KUALA LUMPUR: Isu kegagalan ke Sukan Olimpik Paris 2024 susulan Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu terus berpanjangan apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem negara.

Pandelela gagal menempah tiket ke Paris 2024 dalam acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Nur Dhabitah Sabri di Doha, namun enggan mendedahkan isu berkenaan secara lebih terperinci.

Justeru itu, Pandelela, 30, akan memanjangkan masalah berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi mencari jalan penyelesaian terbaik memandangkan ia turut mengganggu penerjun senior dan remaja.

“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu sudah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku,” kata Pandelela.

“Ada yang berlaku berada di luar kawalan kami, yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya.

“Ada bendalah yang berlaku di luar jangkaan kami, hendak dijelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami.

“Boleh dikatakan hampir semua (penerjun) terkesan dengan perkara ini. Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, juga penerjun junior.

“Jadi lebih baik bincang perkara ini secara dalaman.”

Kegagalan di Doha menyaksikan Pandelela tidak berupaya melangkah ke Olimpik kelimanya sejak mula membuat penampilan sulung pada Beijing 2008.

Untuk rekod, Pandelela pernah mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara meraih pingat di Sukan Olimpik apabila membawa pulang gangsa dalam acara 10m platform individu di London 2012.-Berita Harian

Lela, Bitah sedia akur keputusan RTG

KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri berkata mereka akan akur dengan apa juga keputusan termasuk digugurkan daripada program Road To Gold (RTG).

Dua penerjun berpengalaman itu gagal menepati sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu dan keputusan itu menyaksikan mereka berada dalam situasi berbahaya dan boleh digugurkan daripada RTG.

Begitupun, Pandelela dan Nur Dhabitah sedar akan nasib yang akan dihadapi mereka dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan mesyuarat RTG dijadual diadakan pada hujung bulan ini, turut akan membincangkan mengenai kedudukan mereka.

“Saya memang sudah tahu, RTG adalah satu keistimewaan tetapi ia tak bermakna atlet berada dalam zon selesa. Anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu.

“Saya terima sahaja apa juga keputusan yang akan diputuskan dan saya ingin berterima kasih kepada pihak RTG yang selama ini menyokong dan membantu saya, sebagai contoh, bantuan yang diberikan ketika Sukan Asia Hangzhou.

“Cuma tuah tidak memihak kepada saya untuk layak ke Sukan Olimpik kali ini,” kata Pandelela yang sebelum ini membuat kemunculan pertama di pentas temasya terbesar itu pada Beijing 2008.

Di Doha, Pandelela gagal menempah tiket ke Paris 2024 apabila terkandas pada pusingan kelayakan acara 10 meter platform individu dan juga dalam acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah selepas menduduki tempat ke-12 keseluruhan.

Dalam pada itu, Nur Dhabitah yang beraksi dalam kesakitan sepanjang kejohanan, turut senada dengan Pandelela.

“Saya tidak kisah. Seperti saya katakan, saya tahu saya tidak beraksi seperti dimahukan. Saya memilih untuk menunggu sebelum membuat sebarang perancangan untuk diri saya, kerana saya sudah kecewa,” katanya.

Nur Dhabitah terlepas peluang ke Paris 2024 apabila berada di kedudukan ke-24 dalam acara kegemarannya 3m papan anjal individu selain terkandas dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng.

Sebelum ini, Jawatankuasa RTG pernah menggugurkan skuad hoki lelaki pada November tahun lalu selepas gagal meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou.

Turut disingkirkan daripada program berkenaan dua beregu campuran badminton negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas kedua-dua pasangan mengalami penurunan mendadak dalam ranking kelayakan Olimpik.-Berita Harian

Kami boleh bersara jika atlet pelapis kalahkan kami – Pandelela

SEPANG: Datuk Pandelela Rinong hari ini berkata penerjun senior sepertinya boleh bersara, jika ada atlet pelapis yang boleh mengatasi mereka.

Namun demikian beliau berkata sehingga kini, Malaysia masih belum mempunyai kumpulan pelapis yang mampu menyaingi mereka serta atlet antarabangsa, dan beliau masih mahu memikul tanggungjawab sebagai penerjun negara.

“Bagi kami, hendak bersara boleh, tetapi atlet pelapis kena berjaya menang mengatasi kami, baru mereka ada peluang untuk lawan dengan penerjun luar negara.

“Saya boleh kata untuk acara saya (10 meter (m) platform), jurangnya masih jauh. Sekarang ini saya kena tengok atlet pelapis dahulu, peranan saya sekarang ialah mengisi kekosongan dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pandelela, 30, berkata atas sebab itu, walaupun gagal untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia, Doha baru-baru ini, beliau masih belum berhasrat menamatkan karier sebagai penerjun negara meskipun gagal menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, gagal menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, setelah terkandas awal dalam acara 10m platform individu wanita dan menamatkan acara 10m platform seirama di tempat ke-12 bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri.

Dalam pada itu, Pandelela berkata program pembangunan sukan terjun perlu diperkuat, bagi mencari kumpulan pelapis yang ‘ampuh’ untuk mewakili negara pada masa depan.

Beliau berkata sebelum ini, dia telah memberi amaran apabila acara terjun wanita dibatalkan di Sukan Malaysia (Sukma), namun ia seolah-olah tidak didengari pihak berkenaan.

Sementara itu, Nur Dhabitah mengakui kecederaan triseps yang dialami menjadi punca utama beliau tidak beraksi cemerlang di Doha baru-baru ini.

“Saya mengalami triseps tertarik, nak peluk kaki pun tak boleh. Ia terjadi semasa hari pertama latihan di Doha. Apatah lagi air sejuk, mereka tidak sediakan air panas untuk penerjun,” katanya.

Selain tidak beraksi cemerlang bersama Pandelela, Nur Dhabitah turut menampilkan aksi hambar apabila gagal menyerlah dalam acara kegemarannya 3m papan anjal, setelah berada di kedudukan ke-24 dengan 238.15 mata.

Bagi acara 3m papan anjal seirama, Nur Dhabitah yang bergandingan bersama Wendy Ng hanya meraih 258.30 mata untuk berada di tempat kesembilan, sekali gus gagal mara ke pentas final. – BERNAMA

Aaron-Wooi Yik pendam ‘senjata rahsia’

SHAH ALAM: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan mendedahkan rejim latihan baharu dalam menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Aaron, juara dunia 2022 bersama Wooi Yik berkata, corak latihan baharu yang diperkenalkan adalah bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Aaron-Wooi Yik ketika ini berada di kedudukan kelima dalam ranking dunia dan ‘Race to Paris’.

“Saya rasa semuanya berjalan lancar ketika kami menjalani program latihan untuk persediaan Sukan Olimpik, jadi kami sedang menyesuaikan diri dengan program latihan baharu… tetapi kami tidak boleh ceritakan.

“Ini mungkin kejohanan berpasukan kali ke-10 atau lebih yang kami sertai. Saya rasa bahagian beregu lebih seronok, sebab kami boleh main scratch pair dan rakan sepasukan ada di belakang untuk beri sokongan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

BATC akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bermula esok hingga 18 Februari.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata mereka masih berbincang mengenai pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan pertama Kumpulan B esok.

Beliau berkata, perancangan rapi perlu memandangkan Malaysia terlebih dahulu akan bertemu dua negara mudah iaitu Brunei (esok), Kazakhstan (14 Februari), sebelum bertemu lawan sebenar Taiwan (15 Februari).

“Tadi ada perbincangan dari kumpulan perseorangan siapa yang akan diturunkan. Kami tengok dulu kalau Lee Zii Jia mahu main dan uji gelanggang, jadi kami akan turunkan.

“Pemain beregu pula mungkin kami akan bincang petang ini, sebab mungkin mahu sesuaikan diri dengan gelanggang… lagipun kami bukan cakap Kazakhstan dan Brunei itu mudah, tapi kalau boleh menang 5-0 pasti mahu yang terbaik,” katanya.

Cabaran Malaysia yang turun sebagai juara bertahan digalas empat pemain perseorangan – Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe – manakala Aaron-Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri bagi saingan beregu. – BERNAMA

Ervin dapat tonik

KUALA LUMPUR: Menjelang Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Mines Golf Club, Seri Kembangan Khamis ini, pemain golf profesional negara, Ervin Chang menerima suntikan semangat apabila menerima tajaan daripada CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) hari ini.

Tajaan itu secara tidak langsung meletakkan namanya sebaris atlet ternama lain seperti jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan bekas ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David yang ditaja bank berkenaan.

“Menjadi sebahagian daripada keluarga CIMB ternyata sesuatu yang mengujakan. Mereka hadir untuk memberikan sokongan kepada saya. Dalam masa sama, saya akan cuba memberikan penampilan berbeza ketika membawa nama mereka.

“Apapun, saya amat gembira dengan kerjasama ini.

“Saya sudah berusaha dengan gigih ketika pramusim. Saya akan cuba yang terbaik dan memberikan fokus sebaik mungkin dalam kejohanan ini (Terbuka Malaysia).

“Saya bakal bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman dan saya sudah bersedia,” kata Ervin dalam sidang media pada Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad yang disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Untuk rekod, Terbuka Malaysia kembali dianjurkan selepas empat tahun dengan kali terakhir dimenangi pemain dari Amerika Syarikat, Trevor Simsby pada 2020 di Kota Permai Golf & Country Club.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia