Ervin dapat tonik

KUALA LUMPUR: Menjelang Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Mines Golf Club, Seri Kembangan Khamis ini, pemain golf profesional negara, Ervin Chang menerima suntikan semangat apabila menerima tajaan daripada CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) hari ini.

Tajaan itu secara tidak langsung meletakkan namanya sebaris atlet ternama lain seperti jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan bekas ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David yang ditaja bank berkenaan.

“Menjadi sebahagian daripada keluarga CIMB ternyata sesuatu yang mengujakan. Mereka hadir untuk memberikan sokongan kepada saya. Dalam masa sama, saya akan cuba memberikan penampilan berbeza ketika membawa nama mereka.

“Apapun, saya amat gembira dengan kerjasama ini.

“Saya sudah berusaha dengan gigih ketika pramusim. Saya akan cuba yang terbaik dan memberikan fokus sebaik mungkin dalam kejohanan ini (Terbuka Malaysia).

“Saya bakal bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman dan saya sudah bersedia,” kata Ervin dalam sidang media pada Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad yang disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Untuk rekod, Terbuka Malaysia kembali dianjurkan selepas empat tahun dengan kali terakhir dimenangi pemain dari Amerika Syarikat, Trevor Simsby pada 2020 di Kota Permai Golf & Country Club.-Berita Harian