Paralimpik 2024, lebih 20 atlet para dijangka layak ke Paris

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kira-kira 20 hingga 25 atlet daripada tujuh sukan dijangka akan menggalas cabaran ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos ini.

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R Subramaniam berkata setakat ini tujuh atlet daripada sukan olahraga, memanah dan berbasikal telah mengesahkan slot ke Paris.

“Jumlah sebenar akan diketahui dalam beberapa bulan akan datang susulan kejohanan kelayakan yang bakal disertai atlet dari beberapa sukan seperti badminton, boccia, powerlifting dan renang,” katanya.

Tambah Subramaniam, selain slot secara merit, MPM juga menjangkakan menerima slot ‘bi-partite’ dan tiket wild card untuk temasya itu menjelang Mei ini.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertai edisi pertama Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman adalah di Tokyo 2020 dengan meraih tiga pingat emas dan dua perak, mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.-RTM