Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 29, 2024

Prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin masih boleh ‘pergi’ jauh

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki badminton negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dilihat masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.

Jurulatih negara, Tan Bin Shen menegaskan dia tidak merasakan prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin sudah mencapai tahap maksimum dan yakin gandingan berkenaan mampu untuk meningkatkan lagi permainan mereka.

Sze Fei-Nur Izzuddin sebelum ini berpisah pada November 2022 sebelum bergandingan semula pada Mei tahun lalu dan prestasi mereka pada awal musim 2024 dilihat kurang memberangsangkan.

Gandingan ke-21 dunia itu memulakan kempen 2024 dengan tersingkir di pusingan kedua PETRONAS Terbuka Malaysia dan keputusan itu turut berlaku pada kejohanan seterusnya di Terbuka India.

Pada saingan Masters Indonesia minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir seawal pusingan pertama apabila tewas di tangan gandingan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-14, 14-21, 18-21.

“Untuk kata prestasi mereka sudah mencapai tahap maksimum, hanya mereka berdua sahaja yang dapat merasainya.

“Bagi saya, selepas mereka digandingkan sebelum berpisah dan digandingkan semula, mereka pasti mempunyai sasaran tertentu.

“Jadi, saya tak mahu mengatakan prestasi mereka sudah tak boleh pergi lagi. Saya rasa mereka masih ada peluang untuk meningkatkan prestasi permainan mereka. Tapi segala-galanya terpulang kepada mereka sendiri,” kata Bin Shen.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual turut mewakili skuad lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 18 Februari ini.

Turut menggalas tugas dalam usaha pasukan lelaki mempertahankan gelaran juara di BATC kali ini adalah beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Lee Zii Jia pula akan mengetuai pemain perseorangan bersama Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Owe.-Berita Harian

Piala Asia B-23: FAM sasar separuh akhir

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan untuk melihat skuad bawah 23 (B-23) negara mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar dari 15 April hingga 3 Mei depan.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagi memastikan harapan itu mampu dicapai, pihaknya akan berusaha keras menyediakan pasukan termasuk menghantar skuad Harimau Muda itu mengharungi beberapa aksi persahabatan berkualiti di luar negara.

Jelas Hamidin, sasaran ke separuh akhir itu bukan saja menempatkan pasukan selaku empat pasukan terbaik, malah berpeluang merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris pada Julai ini, di mana tiga pasukan terbaik automatik mewakili Asia manakala satu lagi pasukan akan mengharungi saingan playoff menentang Guinea dari benua Afrika.

Begitupun, Hamidin akui bukan mudah untuk merealisasikan harapan itu namun baginya dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan skuad kendalian Juan Torres Garrido berpeluang melakar sejarah.

“Kalau kita lihat kelayakan ini (Piala Asia B-23 di Qatar) makna hanya empat pasukan sahaja layak ke Olimpik, tiga tambah satu.

“Satu akan lawan playoff dengan benua lain. Jadi kalau dapat dua tempat teratas (peringkat kumpulan) akan layak ke suku akhir dan seterusnya masuk separuh akhir.

“Harapan kita memang kalau boleh kita masuk separuh akhir cantik, tapi sebelum itu kena layak dulu ke suku akhir. Jadi saya dan FAM akan tekan (berusaha) sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Doha, Qatar.

Ujarnya lagi, beliau sudah melakukan perbincangan bersama Garrido di Doha di mana jurulatih Sepanyol itu turut hadir menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon beraksi di Piala Asia baru-baru ini.

“Saya dah bermesyuarat dengan Juan Torres (Garrido) dan beliau pun memang ada di Doha dan bincang dengan saya, kita akan buat persiapan bermain di Indonesia empat penjuru terlebih dulu.

“Dan juga datang ke Doha lebih awal untuk tempuh beberapa aksi persahabatan dan latihan, itu mustahak untuk kita buat. Kita ada pilihan sama ada pergi ke Qatar, Dubai atau Arab Saudi, tapi paling baik di Qatar,” katanya.

Di Piala Asia B-23 nanti, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.-Berita Harian

PERHIMPUNAN BULANAN PROGRAM PARA

Perhimpunan Bulanan Program Para telah diadakan pada hari ini, 29 Januari 2024 bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan.

Seramai 80 orang atlet dan 22 orang jurulatih telah hadir ke perhimpunan tersebut. Tujuan perhimpunan ini diadakan adalah untuk menyampaikan beberapa perkara penting seperti Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA), Kadar gaji serta elaun latihan baharu bagi atlet Program Podium dan Pelapis Kebangsaan, Caruman KWSP dan PERKESO serta Perancangan program latihan dan kejohanan bagi tahun 2024.

PERTEMUAN KETUA PENGARAH MSN BERSAMA YBHG. TS. DR. KSU KBS

Ketua Setiausaha Kementerian. Belia dan Sukan YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), YBrs. Encik Ariffin Mohd Ghani dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), YBrs Encik Jefri Ngadirin bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Pada pertemuan tersebut telah membincangkan perancangan strategik dan program MSN bagi tahun 2024 khususnya berkenaan Temasya Sukan Olimpik Paris yang dijadualkan berlangsung pada Julai nanti.

Turut hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, YBrs. Puan Ramona Mohd Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, YBrs. Encik Abdullah Hassan.

Majlis Sukan Negara Malaysia