Piala Asia B-23: FAM sasar separuh akhir

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan untuk melihat skuad bawah 23 (B-23) negara mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar dari 15 April hingga 3 Mei depan.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagi memastikan harapan itu mampu dicapai, pihaknya akan berusaha keras menyediakan pasukan termasuk menghantar skuad Harimau Muda itu mengharungi beberapa aksi persahabatan berkualiti di luar negara.

Jelas Hamidin, sasaran ke separuh akhir itu bukan saja menempatkan pasukan selaku empat pasukan terbaik, malah berpeluang merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris pada Julai ini, di mana tiga pasukan terbaik automatik mewakili Asia manakala satu lagi pasukan akan mengharungi saingan playoff menentang Guinea dari benua Afrika.

Begitupun, Hamidin akui bukan mudah untuk merealisasikan harapan itu namun baginya dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan skuad kendalian Juan Torres Garrido berpeluang melakar sejarah.

“Kalau kita lihat kelayakan ini (Piala Asia B-23 di Qatar) makna hanya empat pasukan sahaja layak ke Olimpik, tiga tambah satu.

“Satu akan lawan playoff dengan benua lain. Jadi kalau dapat dua tempat teratas (peringkat kumpulan) akan layak ke suku akhir dan seterusnya masuk separuh akhir.

“Harapan kita memang kalau boleh kita masuk separuh akhir cantik, tapi sebelum itu kena layak dulu ke suku akhir. Jadi saya dan FAM akan tekan (berusaha) sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Doha, Qatar.

Ujarnya lagi, beliau sudah melakukan perbincangan bersama Garrido di Doha di mana jurulatih Sepanyol itu turut hadir menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon beraksi di Piala Asia baru-baru ini.

“Saya dah bermesyuarat dengan Juan Torres (Garrido) dan beliau pun memang ada di Doha dan bincang dengan saya, kita akan buat persiapan bermain di Indonesia empat penjuru terlebih dulu.

“Dan juga datang ke Doha lebih awal untuk tempuh beberapa aksi persahabatan dan latihan, itu mustahak untuk kita buat. Kita ada pilihan sama ada pergi ke Qatar, Dubai atau Arab Saudi, tapi paling baik di Qatar,” katanya.

Di Piala Asia B-23 nanti, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.-Berita Harian