Muhammad Ammar Buru Emas Di Sukan Paralimpik Paris 2024

Namanya dijulang sebagai jaguh Asia baru acara 400 meter lelaki T20 (kecatatan intelektual) apabila memenangi pingat emas di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 Oktober lalu. Kini, atlet muda berbakat luar biasa, Ammar berimpian untuk memadamkan rekod dunia acara sama yang dipegang oleh atlet Brazil Daniel Tavares Martins yang melakukan catatan 46.86s pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan diadakan Ogos depan.

Mencatat masa 47.60s, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi berjaya memecahkan rekod temasya dan Asia yang dipegang oleh Milad Ramazani Torkamari dari Iran sebelum ini dengan masa 47.80s. Bahkan Ammar juga berjaya memadam rekod temasya 49.32s milik bekas atlet negara, Nasharuddin Mohd.

“Inilah impian terbesar dalam hidup saya. Untuk berjaya, kini saya berlatih dengan gigih, dari sekarang” katanya penuh semangat.

Penganugerahan NONA Superhero Awards 2023 menemu kami dengan atlet para ini. Segak bergaya mengenakan sut tuxedo, Muhammad Ammar dilihat agak malu-malu di awal pertemuan namun sebaik beraksi di depan kamera, jelas terserlah gaya aktifnya.Kata Ammar, dia menyasarkan emas di temasya sukan utama dunia itu.

“Buat masa ini, saya nak dapatkan masa 47.0s dahulu dalam latihan, kemudian barulah saya memburu masa yang lebih baik,” katanya yang kini berada di ranking ke lima dunia selepas berjaya memecahkan rekod Sukan Para Asia.

Kerjaya sukan

Tidak menganggap kekurangan tidak mampu menulis nama sendiri atau mengisi sebarang borang semasa  sekolah rendah dan menengah sebagai satu bentuk kecatatan intelektual pada dirinya,  Muhammad Ammar yang kini berusia 21 tahun mengakui dia hanya menyenangi aktiviti sukan olahraga semasa bersekolah.

“Sejk dulu, saya suka berlari di padang sehingga saya terpilih  mewakili daerah mahupun negeri menerusi  MSSDT, MSSM, Sukma dan sebagainya.

Kalau kerja sekolah, saya tiru kawan. Semua borang ayah yang tuliskan. Yang saya tahu, saya suka berlari. Sebelum ini saya dalam acara pecut 100m dan 200m tetapi akhirnya saya tukar sendiri kepada 400m kerana nampak ramai tak berminat dalam acara ini.

Kita ramai sprinter tetapi tak ramai nak ke 400m kerana acara ini menggabungkan dua teknik iaitu pecutan dan teknik larian. Jadi saya kata pada diri sendiri, baik ambil acara ini kerana tak ramai persaingan.

Jelas atlet podium yang kini di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) sepenuh masa, semasa bersekolah,beliau dikelilingi guru-guru yang membantu mengembangkan bakatnya dalam dunia olahraga.

“Saya ada banyak guru yang melatih saya. Yang nampak bakat saya dalam olahraga dan boleh pergi jauh dalam bidang ini. Antaranya, Cikgu Darwish, Cikgu Karim masa saya bersekolah di SMK Pekan Nanas, Pontian.Waktu ini saya masih  bersekolah harian biasa lagi.

“Bila saya sertai pelbagai kejohanan, ketika itulah saya bertemu Cikgu Huda yang juga pengurus sukan di Kementerian Belia & Sukan yang mahu mencari bakat baru dalam sukan olahraga kategori para.

“Cikgu kemudian menyenaraikan nama saya kerana saya  tak tahu tulis nama sendiri. Dari situlah bakat saya dalam sukan mula menyerlah apabila tersenarai ke Sekolah Sukan Negeri Johor Tun Hussein Onn, Kluang,” kata Ammar yang pernah dinobatkan sebagai Atlet Harapan Para Sukma XX Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor tahun lalu.

Selepas tamat tingkatan lima, jelas Muhammad Ammar dirinya dilatih oleh seorang individu yang cukup berjasa dalam hidupnya.

“Ayah Mus. Bersama Ayah Muslah, dia yakinkan saya untuk berjaya dalam sukan olahraga ini. Katanya saya boleh pergi jauh. Dua tahun juga dirinya melatih saya di Kem Johor sewaktu saya berusia 18 dan 19 tahun.

“Sampailah dia nampak peluang  bila saya dapat tawaran ke MSN. Katanya, mulai hari ini dia akan lepaskan saya ke jurulatih lain pula,” katanya sambil menambah dalam tempoh dua tahun itu, pernah juga ibu ayahnya bising kenapa dirinya tak mencari kerja kerana sudah habis sekolah.

“Ayah dan ibu (Zainah Hamdan, 46) ada juga bising-bising bertanya kenapa saya tak cari kerja lepas habis sekolah.

“Saya cakap pada mereka saya nak berlari di Sukan Paralimpik yang ketika itu nampak agak asing bagi keluarga saya. Tapi saya yakinkan mereka suatu hari nanti saya  nak berlari di Sukan Paralimpik. Itu Impian utama saya.

“Dan Alhamdulillah, dari seorang budak kampung dari Taman Utama Pekan Nanas, insya Allah, Ogos ini saya akan berlari di hadapan jutaan orang di Sukan Paralimpik Paris 2024,”katanya tersipu malu.

Budak Baru

Sudah tertulis rezeki Ammar, hasil dari kerja kerasnya selama hampir setahun  akhirnya namanya terpahat sebagai atlet para yang mencatat kejayaan membanggakan.

Jelasnya,  sebagai “budak baru” di MSN, jurulatih menyenaraikan namanya dan tiga rakan lain untuk menyertai kejohanan Sukan Para Asia Hongzhou 2022.

“Sebelum ini saya menang emas dengan catatan masa  48.42s dalam Sukan Para ASEAN 2023, Jun lalu. Alhamdulilillah, peluang yang diberi itu saya gunakan sebaiknya dan berjaya meraih emas dan memecah rekod kejohanan dengan  masa 47.6s di Sukan Para.

“Daripada tiga orang “budak baru” iaitu saya, Fizzi, Ema dan Dayah, kami bertiga kecuali Dayah berjaya membawa pulang pingat. Dan saya meraih emas,” katanya yang mengucapkan syukur dengan semua kemudahan latihan diterima di MSN termasuk elaun bulanan yang mencecah RM4500 sebulan  selepas menggengam emas di Sukan Para Asia.

“Dari duit elaun itulah, saya beri mak ayah setiap bulan, beri adik-adik belanja sekolah, guna untuk diri sikit dan selebihnya saya buat simpanan,” katanya yang bercita-cita mahu membeli rumah berbanding kereta.

Bagi saya harga rumah makin lama makin mahal, kalau beli kereta susut nilai. Saya juga ada cadangan nak beli tanah kebun,” katanya yang bakal menerima insentif RM100,000 hasil kemenangan emas di Hangzhou.

Kesibukan  latihan Ammar bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan sebelah petang dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari.

“Biasa jam 6.00 saya dah bangun, mandi dan solat Subuh. Kemudian rehat sekejap sebelum turun bersarapan. Jam 8 dah ada di balapan sampai jam 11.00 pagi. Kemudian rehat, makan tengahari, solat dan tidur. Petang dah kembali ke padang semula.

“Saya bekerja keras hari ini kerana saya mahu mengumpul kejayaan dalam sukan dan mampu bawa mak ayah tunai haji dengan duit sendiri. Saya nak banggakan mak ayah saya dengan pencapaian ini walau diri saya ada banyak kekurangan. Rezeki berlari dan mewakili negara, tak semua orang ada peluang begini dalam hidup mereka.

Paling utama, saya nak banggakan mak dan ayah yang menyara kehidupan kami dengan bekerja kilang di Pekan Nanas. Sebab itu saya nak bawa mak ayah tunai haji dengan duit usaha saya sendiri.

Baru ini, saya dapat peluang balik ke rumah selepas beberapa bulan dalam latihan. Memang seronok berkumpul dengan keluarga. Dapatlah bermanja-manja dengan mak dan ayah. Ayah jenis tak banyak cakap tapi saya tahu dia bangga dengan saya. Mak pula banyak titipkan nasihat, jangan tinggal solat, main sukan elok-elok, usaha sungguh-sungguh.

“Saya selalu pegang amanah mak ini. Masa yang sama, kerjaya sebagai atlet sukan bukan seperti pekerjaan lain. Kalau kami tercedera, ambil masa lama nak pulih. Akan ada lagi atlet pengganti dilahirkan. Berbanding dengan dunia pekerjaan, umur 50 tahun pun orang masih bekerja tapi tidak pada kami.

“Paling lama orang berlari pun 30 ke 35 tahun. Selepas itu mungkin dunia atlet kami sudah berubah. Jadi kalau ada harta sedikit, ia dapat menampung kehidupan saya di masa akan datang.

“Sebab itu dalam usia muda ini saya berlatih bersungguh-sungguh dan mahu menang dalam setiap kejohanan yang saya sertai, katanya yang sudah bersedia menghadapi Kejohanan Dunia Para di Kobe, Jepun selain Paris tahun ini.

“Saya nak banggakan mak ayah saya. Walau saya tak pandai dalam pelajaran tapi saya nak berjaya dalam sukan olahraga ini,” kata Muhamad Ammar sebelum menamatkan perbualan bersama Nona.

“insentif hadiah, kemudahan dan lain termasuk penganugerahan yang diterima dari Nona Superhero Awards 2023 adalah kenangan manis dalam hidup saya,” katanya sebelum menamatkan perbualan bersama Nona. Ditanya siapa idola Ammar, anak muda ini tidak melihat orang lain tetapi “memilih” dirinya  sendiri untuk berjaya.-NONA