Menang emas tinju SUKSAR, Cherilynn mahu teruskan tumbukan padu pada SUKMA

SIBU, 17 Jan: Kejayaan meraih pingat emas acara tinju wanita pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023 ternyata memberi suntikan motivasi luar biasa kepada Cherilynn Chan.

Tanpa berselindung, atlet berusia 17 tahun ini memberitahu, dia mahu menang pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pula.

“(Sekiranya terpilih) ini merupakan kali pertama saya sertai SUKMA.

“Oleh itu, saya akan berlatih bersungguh – sungguh demi mendapatkan pingat emas yang menjadi idaman,” katanya kepada TVS.

Dalam perlawanan akhir kategori wanita 52 kilogram (kg) hari ini, Cherilynn yang mewakili Zon Selatan keluar gelanggang sebagai pemenang selepas menumpaskan Karmila Batrisyia Amani Sazali dari Zon Utara.

Berhubung persiapan sebelum sertai SUKSAR, Cherilynn memberitahu, dia perlu bijak membahagikan masa berikutan masih bergelar pelajar sekolah.

“Saya akan mula sesi latihan selama dua jam setiap hari setelah habis kelas.

“Selepas latihan saya akan siapkan kerja sekolah dan tidak melepak dengan kawan-kawan,” katanya.

Ditanya mengenai pencapaian sebelum ini, Cherilyn pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia Remaja IFMA 2022 dalam kategori remaja perempuan 51 kg di Thailand dan Bintulu.

Pada masa sama Cherilyn bersyukur kerana menikmati kemudahan yang lengkap semasa latihan sebelum datang ke Sibu.

“Kemudahan seperti gelanggang latihan yang tersedia dan membolehkan kami berlatih dengan selesa,” katanya. -TVS