Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SUKAN MALAYSIA (SUKMA) BIL 13/2025

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) Bil 13/2025 di Shah Alam.

Mesyuarat yang dihadiri Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri itu telah memutuskan sukan tinju dan sofbol dimasukkan ke dalam senarai sukan wajib bagi temasya SUKMA memandangkan kedua-dua sukan tersebut merupakan acara yang dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik. Dasar ini akan mula berkuat kuasa bermula SUKMA 2026.

Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor turut bersetuju untuk memilih empat sukan sebagai sukan pilihan iaitu catur, kriket, kabaddi dan e-sukan menjadikan keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan pada SUKMA tahun depan.

PROGRAM MSN NEXT GEN BOOTCAMP

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) telah menganjurkan Program MSN Next Gen Bootcamp pada 2 hingga 4 Ogos 2025, bertempat di Kompleks MSN Saujana Asahan, Melaka.

Seramai 30 orang pegawai muda telah menyertai program ini yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, pembentukan jati diri, serta pemantapan daya tahan sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan MSN.

Sepanjang tiga hari program, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul interaktif yang menekankan aspek nilai kepimpinan, kerjasama berpasukan, dan kecemerlangan berorganisasi, dalam suasana latihan yang mencabar dan berimpak tinggi.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, manakala majlis penutup disempurnakan oleh YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), MSN.

KAFE TIME OUT BUKIT JALIL PERKENAL MENU AUTENTIK KONTEMPORARI

BUKIT JALIL, 4 Ogos – Kafe Time Out MSN Bukit Jalil hari ini memperkenalkan tiga menu baharu menggabungkan citarasa autentik, sajian sihat dan penyediaan segar khas buat atlet negara.

Menu baharu yang mencuri perhatian terdiri daripada “Samyang Omelette” yang dimasak secara langsung di kaunter, “Baby Octopus Berempah Sitrus dengan Brokoli Rangup” serta “Claypot Tofu Cendawan ala Kantonis” setiap satunya menampilkan elemen kontemporari namun masih menepati piawaian pemakanan sukan.

Selain tiga menu utama ini, terdapat pelbagai pilihan hidangan bertema ‘hipster sihat’ turut ditawarkan, sejajar dengan gaya dan keperluan pemakanan harian atlet masakini.

KURSUS JURULATIH WANITA SUKAN LAWN BOWLS TAHAP 1, 2025

Majlis Sukan Negara menerusi Sekretariat Wanita Dalam Sukan telah mengadakan Kursus Jurulatih Wanita Sukan Lawn Bowls Tahap 1 pada 30 Julai hingga 2 Ogos 2025 bertempat di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu

Seramai 30 peserta wanita telah menyertai kursus selama 4 hari ini yang memberi penekanan kepada asas kejurulatihan, kemahiran praktikal serta pendekatan selamat dan berstruktur dalam melatih pemain baharu sukan Lawn Bowls.

Inisiatif ini adalah sebahagian usaha untuk melahirkan lebih ramai jurulatih wanita berkualiti di peringkat akar umbi.

TAHNIAH PENERIMA ANUGERAH CEMERLANG KBS 2025

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada 43 Pegawai dan Anggota Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan & Apresiasi 2025 anjuran Kementerian Belia dan Sukan.

Penyampaian anugerah berprestij ini telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, bertempat di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor, hari ini.

Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi agama, bangsa, dan negara.

BENGKEL SEMAKAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) MSN SUKU KEDUA 2025

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, telah mempengerusikan Bengkel Semakan KPI MSN Suku Kedua 2025 yang diadakan pada 28 Julai 2025 di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur.

Bengkel ini melibatkan seramai 65 peserta merangkumi barisan Pengurusan Tertinggi MSN, Ketua Cawangan dan Penyelaras KPI setiap Bahagian/Sekretariat, dengan fokus kepada penilaian pencapaian program bagi tempoh April hingga Jun 2025.

Penekanan turut diberikan kepada keperluan pemantauan teliti serta penambahbaikan berterusan untuk memastikan sasaran strategik MSN dicapai menjelang akhir tahun 2025.

KURSUS SAINS SUKAN TAHAP 2, 2025 – ZON TIMUR

Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Sekretariat Wanita Dalam Sukan dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), ISN telah menganjurkan Kursus Sains Sukan Tahap 2 Zon Timur pada 21 – 26 Julai 2025 bertempat di Swiss-BelHotel Kuantan, Pahang.

Seramai 33 jurulatih wanita telah menyertai kursus ini yang memberi tumpuan kepada ilmu kejurulatihan berasaskan sains sukan seperti biomekanik, psikologi sukan, perubatan sukan, suaian fizikal dan falsafah sukan.

KURSUS PENGURUSAN SUKAN KEBANGSAAN (KPSK) TAHAP 1 – SABAH

Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 bersama Majlis Sukan Negeri Sabah telah berlangsung pada 21–23 Julai 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC).

Seramai 30 peserta terdiri daripada pegawai Majlis Sukan Negeri Sabah, Persatuan Sukan Negeri serta kakitangan kerajaan telah menyertai kursus ini sebagai langkah persiapan ke arah penganjuran Temasya Sukan Sabah (SAGA) ke-11 2025 di Tawau pada 11 Oktober 2025.

Kursus ini diakhiri dengan ujian kelayakan bagi melayakkan peserta menerima Sijil Kursus Pengurusan Sukan Tahap 1.

MAJLIS PELANCARAN NSC GOLF CLUB

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) melalui Kelab MSN telah menganjurkan Majlis Pelancaran NSC Golf Club di Bukit Jalil Golf & Country Resort.

Majlis penuh simbolik ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN sebagai langkah menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga MSN dan komuniti sukan negara.

KUNJUNGAN KERJA DELEGASI SUMATERA UTARA KE MSN

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menerima kunjungan kerja daripada delegasi Dinas Kepemudaan dan Keolahragaan UPTD Kebakatan Olahraga, Provinsi Sumatera Utara pada 22 Julai 2025 bertempat di Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil.

Sesi ini bertujuan memperkukuh keberkesanan pembangunan sukan berprestasi tinggi serta merangka jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak demi peningkatan prestasi atlet di peringkat daerah dan nasional.

Kunjungan turut dihadiri oleh YBrs. En. Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN serta Ketua UPTD Kebakatan Olahraga, Tuan Apri Sugiato Bunasir.