Majlis Sukan Negara Malaysia
BENGKEL PENYEDIAAN JAWAPAN PARLIMEN PERINGKAT MAJLIS SUKAN NEGARA 2025

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Jawapan Parlimen bertempat di Bukit Jalil pada 19 Mei 2025, dengan ucaptama disampaikan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

Bengkel ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan kualiti penyediaan jawapan Parlimen di peringkat organisasi.

Tumpuan turut diberikan kepada penghasilan jawapan yang lebih teratur, sistematik dan selaras dengan kehendak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Langkah ini dilihat mampu memperkasakan tadbir urus serta menyokong keberkesanan penyampaian maklumat oleh Bahagian dan Sekretariat yang terlibat.

THAILAND PERTAHAN GELARAN JUARA REGU BERPASUKAN

Harapan Malaysia untuk menamatkan penantian gelaran sebagai juara acara Regu Berpasukan Lelaki di Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia ASTAF 2025 lebur apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Regu pertama negara, yang dibarisi Mohamad Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Muhamad Azlan Alias (apit kanan), tewas tipis 1-2 selepas pertarungan sengit (11-15, 15-12, 15-17).

Perlawanan regu kedua pula, gandingan Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Muhammad Noraizat Nordin, turut akur kepada kekuatan Thailand apabila tewas 1-2 dalam pertarungan tiga set (15-13, 13-15, 4-15).

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan pingat perak manakala India dan Korea Selatan berkongsi pingat gangsa di kedudukan ketiga.

PROGRAM PENGUKUHAN GOVERNANS, INTEGRITI DAN ANTIRASUAH

Unit Integriti Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Bahagian Korporat  menganjurkan Modul Pengukuhan Governans, Integriti & Antirasuah (MPGIA) khas untuk kumpulan Pengurusan Tertinggi MSN. Program yang berlangsung pada 15 Mei 2025 di Dewan Banquet, Casa 4, diadakan sempena Bengkel Semakan KPI MSN bagi Suku Pertama 2025.

Modul penting ini dikendalikan oleh pegawai-pegawai kanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur. Antara topik utama yang dibentang termasuk “Rasuah Dalam Sektor Awam Dan Inisiatif Pencegahan” serta “Kesalahan Lazim Dalam Perolehan Kerajaan Dan Langkah Pencegahan” yang disampaikan oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Irawan Khilr dan Penguasa Kanan Asrulna’im Abdullah.

Usaha ini merupakan salah satu inisiatif berterusan MSN dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, mempertingkat integriti dalaman dan membudayakan kebertanggungjawaban dalam kalangan pengurusan tertinggi.

MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGARA 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negara 2024 yang berlangsung di Hotel Dorsett Grand, Subang pada 13 Mei 2025.

Dalam majlis penuh gemilang ini, Aaron Chia/Soh Wooi Yik (Badminton) dan Nor Farah Ain Abdullah (Lawn Bowls) telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2024, dengan anugerah utama disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda.

Turut hadir, YB Hannah Yeoh, Menteri Belia & Sukan, YB Adam Adli, Timbalan Menteridan YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu Ketua Setiausaha, KBS.

Senarai Pemenang ASN 2024:

Olahragawan – Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)

Olahragawati – Nor Farah Ain Abdullah (boling padang)

Olahragawan Para – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)

Olahragawati Para – Hasmunirah Malik (boling padang)

Pasukan Lelaki – Sepak Takraw

Pasukan Wanita – Tenpin Boling

Jurulatih Lelaki – Jamil Adam (powerlifting)

Jurulatih Wanita – Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat)

Anugerah Tokoh Sukan – Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali Mohd Rustam

Anugerah Kepimpinan Sukan

1. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria

2. Sunny Si Poh Heng

Anugerah Khas –

1.⁠ ⁠YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim (Johor Motorsport Racing Team)

2.⁠ ⁠Allahyarham Dato’ Hj Hasbullah Awang

3.⁠ ⁠Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MsDeaf)

4.⁠ ⁠Selangor Red Giants eSports MLBB

KURSUS PENGADIL BOLA JARING TAHAP 1, 2025

Majlis Sukan Negara menerusi Sekretariat Wanita Dalam Sukan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Malaysia telah berjaya menganjurkan Kursus Pengadil Bola Jaring Tahap 1 pada 8–12 Mei 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Kursus selama 5 hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Wanita Dalam Sukan, yang memberi fokus kepada penglibatan wanita dalam bidang kepegawaian dan kepengadilan sukan bola jaring.

6TH FAZZA DUBAI PARA BADMINTON INTERNATIONAL 2025

Pasukan Para Badminton negara mencipta kecemerlangan di pentas antarabangsa dengan kutipan 3 Emas, 1 Perak dan 4 Gangsa.

Keputusan:

MS SU5:

Cheah Liek Hou 🥇

Muhammad Fareez Anuar 🥈

MD SU5:

Cheah Liek Hou / Muhammad Fareez Anuar 🥇

Mohamad Faris Ahmad Azri / Amyrul Yazid Ahmad Sibi 🥉

MS WH1:

Muhammad Ikhwan Ramli 🥇

WH2

Noor Azwan Noorlan 🥉

MD WH1-2

Muhammad Ikhwan + Noor Azwan 🥉

XD SH6 🥉

Muhammad Amin/Nurzammiezatul Syafiqqah

MALAM MINGGU DI KAFE ATLET TIME OUT LEBIH MERIAH!

Atlet-atlet negara ceria menikmati malam minggu santai di Kafe Atlet Time Out bukan hanya di Bukit Jalil, malah turut dirasai di Kg. Pandan dan Nilai!

Menu yang menyelarakan, suasana santai, dan karaoke spontan. Bukan sekadar tempat makan, tapi ruang untuk rehat, recharge dan real joy!

PROGRAM BERSAMA PERKESO – STRIVE 2 SUCCESS

Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah menganjurkan program Bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Strive 2 Success yang melibatkan penyertaan atlet-atlet negara bertempat di Bilik Seminar, Casa 4, MSN Bukit Jalil pada 7 Mei 2025.

Melalui kolaborasi bersama PERKESO ini, atlet-atlet telah diberi pendedahan mengenai pelbagai aspek penting bagi membantu dalam perancangan kerjaya mereka.

Antaranya perkongsian maklumat tentang kebolehpasaran pekerjaan, cara-cara membina profil diri yang menarik, penulisan resume yang efektif, serta pendaftaran di platform MyFutureJobs, iaitu portal pencarian pekerjaan kendalian PERKESO. Selain itu, para atlet turut diberi tips dan panduan menghadapi sesi temuduga, agar lebih yakin dan bersedia dalam memohon pekerjaan.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet dari segi pengetahuan dan kemahiran, malah ia juga mencerminkan komitmen MSN dalam memastikan kebajikan dan masa depan atlet terus terpelihara melalui sokongan pembangunan kerjaya yang berterusan.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK PUSAT PENYELIDIKAN PERTANIAN TUN RAZAK KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Majlis Sukan Negara Malaysia berbesar hati menerima kunjungan daripada SMK Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak ke Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Seramai 40 pelajar dan guru hadir dalam lawatan ini yang memberi peluang untuk meninjau fasiliti serta venue latihan atlet kebangsaan, di samping memahami dengan lebih mendalam peranan MSN dalam pembangunan sukan negara.

Lawatan ini turut memberi inspirasi melalui perkongsian kisah kejayaan atlet serta pendedahan kepada program-program latihan berprestasi tinggi dan pembangunan akar umbi.

PERHIMPUNAN ATLET PARA

Majlis Perhimpunan bersama atlet para dan jurulatih di bawah program MSN diadakan hari ini bersama Pengarah Bahagian Para, En. Joherman Amir dan pegawai Bahagian Para.

Pada perjumpaan yang diadakan di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan itu, En. Joherman berkongsi mengenai temasya-temasya utama yang akan disertai atlet para pada tahun ini.

Ini juga merupakan perjumpaan pertama En. Joherman bersama atlet para negara selepas dilantik sebagai Pengarah Bahagian Para.

Majlis Sukan Negara Malaysia