Majlis Sukan Negara Malaysia
Nani idam berlatih di luar negara sebelum ke Sukan Asia

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata mahu lebih banyak pendedahan termasuk menjalani latihan di Eropah bagi meningkatkan prestasi menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September nanti.

Menurut Nani, pertandingan lebih kompetitif dapat membantu dirinya meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi berbanding hanya bersaing di dalam negara sahaja.

“Sekurang-kurangnya kalau dalam negara saya tahu ranking saya, tapi saya nak persaingan yang baik.

“Maksudnya kalau dia baling 16 meter (m), saya pun 16m. Itu bagi semangat untuk saya terus bergerak ke hadapan.

“Saya nak rasa suasana baharu seperti latihan di luar negara atau bertanding di peringkat antarabangsa kerana saya perlukan pengalaman dan pendedahan untuk lawan atlet hebat,” katanya.

Pada musim lalu, Nani lebih banyak menyertai kejohanan di peringkat Asia, namun pengalaman itu membuka matanya mengenai tahap latihan dan persaingan atlet luar.

“Tahun lepas tak banyak ke mana, lebih kepada peringkat Asia. Saya nak rasai lawan dengan atlet hebat dan lihat bagaimana mereka berlatih,” katanya.

Ketika ditanya mengenai negara pilihan untuk dituju, atlet berusia 26 tahun itu melihat Jerman sebagai destinasi terbaik untuk berlatih sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia, namun masih menunggu keputusan pihak berkaitan.

“Saya ada cadang dengan jurulatih untuk ke Jerman dalam tempoh tiga bulan sebelum Sukan Asia, tapi saya tunggu keputusan daripada Olahraga Malaysia (MA) atau MSN (Majlis Sukan Negara).

“Peluang berlatih di negara maju memberi kelebihan dari segi teknik, kekuatan mental dan keyakinan untuk bersaing di pentas antarabangsa,” kata Nani yang meraih pingat emas di Sukan Sea Thailand 2025, Disember lalu dengan lontaran sejauh 16.36m.

Lebih manis, catatan itu membolehkannya mengatasi rekod kebangsaan milik sendiri iaitu 15.39m yang dilakukan di Perlis Super Series di Kangar pada 2024.

Stadium Titiwangsa ‘Home of Sepak Takraw’

Kuala Lumpur: Susulan kejayaan pasukan sepak takraw negara meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa pada tahun lepas, kini Stadium Titiwangsa dijadikan ‘Home of Sepak Takraw’ kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, untuk memastikan stadium itu berada di kelas tersendiri, hampir RM200,000 dibelanjakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kerja menaik taraf.

Oleh itu, segala pertandingan rasmi membabitkan PSM atau pasukan negara akan diadakan di stadium berkenaan.

“Prestasi cemerlang pasukan sepak takraw dalam kejohanan peringkat antarabangsa pada tahun 2025 iaitu menjadi juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia pada Mei 2025.

“Malah memenangi dua pingat emas di temasya Sukan Sea 2025 di Bangkok, Thailand, membolehkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju untuk menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’.

“Perbelanjaan kali ini, fasa pertama lebih kurang RM80,000 untuk Stadium Titiwangsa ditambah baik, dinaik taraf merangkumi perkara seperti lukisan mural di dinding dengan identiti ‘Home of Sepak Takraw’, mengecat dinding bangunan bahagian hadapan, ‘scoreboard’ ditukar kepada papan skor diod pemancar cahaya (LED).

“Ruang VIP dan VIP box di tingkat satu, surau, bilik media, bilik stor, tandas lelaki dan wanita, kelengkapan peralatan sepak takraw dan bilik persalinan serta bilik mesyuarat. Kesemua ini akan mengambil jumlah belanja lebih kurang RM200,000 dengan menggunakan bajet DBKL,” katanya selepas Majlis Pengumuman Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw di sini, hari ini.

Selain itu, Hannah turut memaklumkan bahawa sukan lain juga masih boleh menyewa Stadium Titiwangsa dan menjalankan aktiviti mahupun pertandingan.

Stadium Titiwangsa pacu pembangunan PSM

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyambut baik apabila Stadium Titiwangsa dijadikan ‘Home of Sepak Takraw’, sekali gus akan menyuntik semangat kepada pemain untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan selepas ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh itu bukan sahaja membanggakan pasukan negara tetapi juga peminat yang selama ini terus menyokong Malaysia.

“Sebenarnya ini adalah impian tahun lepas dan akhirnya hari ini diumumkan sebagai ‘Home of Sepak Takraw’. Sudah pastilah ini sangat membanggakan kepada semua peminat dan juga penggiat sukan sepak takraw.

“Dan pada saya, ini bukan sekadar namanya, tetapi sebagai satu tempat yang memang menarik ramai peminat kita ataupun masyarakat kita melihat kedudukan stadium ini yang berada di ibu kota, menjadi ikonik dan menjadi satu sumber inspirasi kepada semua pemain ataupun penggiat sukan,” katanya.

Tambah Sumali, untuk sesi latihan, PSM sudah mempunyai tempat tersendiri iaitu di Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Untuk Stadium Titiwangsa ini, pada saya kita akan fokus kejohanan besar atau pertandingan domestik selain daripada ini.

“Perkara ini juga akan memberikan satu isyarat bahawa kita akan buat lebih banyak lagi program pembangunan dan program lain yang menjurus kepada kejayaan sukan sepak takraw,” katanya.

Grace bertapa di China demi Sukan Asia

Kuala Lumpur: Ratu baling tukul besi wanita negara, Grace Wong memilih untuk ‘bertapa’ dalam tempoh jangka panjang di China sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Menurut Grace, dia memilih untuk berkampung di China kerana jurulatihnya, Gu Guan berada di sana dan itu akan memudahkan dirinya menjalani latihan berintensiti tinggi berbanding berlatih di Malaysia.

Katanya, teknik balingan sangat penting kerana ia akan membantu dirinya meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, saya tiada jurulatih khusus di Malaysia dan jurulatih saya berada di China. Bila berlatih di China, jurulatih saya boleh terus pantau dengan lebih dekat dan membetulkan teknik pada waktu itu juga.

“Kalau berlatih di sini, saya perlu hantar video atau membuat panggilan video untuk dilihat kekurangan saya sebelum mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki. Perkara ini akan jadi lambat dan pasti sukar untuk saya meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi,” katanya yang akan kekal di negara itu sehingga September depan.

Selain itu, atlet berusia 26 tahun itu juga bukan hanya menjalani latihan semata-mata, malah akan menyertai beberapa kejohanan terutama di China.

Bagi Grace, persaingan di negara itu cukup sengit kerana atlet mereka mampu melakukan balingan lebih jauh dan itu satu pendedahan awal yang cukup baik buat dirinya.

“Standard pertandingan di China jauh lebih tinggi dengan kebanyakan atlet mencatat balingan antara 70 hingga 78 meter (m).

“Di China, untuk masuk final pun sudah mencabar buat diri ini. Tapi itu bagus untuk saya kerana dapat bersaing dengan atlet terbaik dan meningkatkan prestasi,” katanya.

Untuk makluman, keputusan untuk berlatih di China bukan sesuatu yang baharu buat dirinya kerana sebelum ini dia turut pernah berlatih di sana.

Hasilnya, dia berjaya meningkatkan teknik balingan untuk meraih pelbagai kejuaraan termasuk pingat emas Sukan Sea Thailand hujung tahun lalu.

Dengan lontaran sejauh 65.41m, dia berjaya memecah rekod kebangsaan (63.53m) dan memadam rekod sendiri temasya dwitahunan itu, 61.87m yang dilakukannya di Phnom Penh 2023.

Syahir akui belum sebaris legenda Thailand

Kuala Lumpur: Tekong berpengalaman negara Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui beliau masih belum mencapai tahap untuk berdiri sebaris dengan legenda sepak takraw Thailand Suebsak Phunsueb biarpun dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia.

Muhammad Syahir yang menerima pengiktirafan itu daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bulan lepas berkata perjalanan kariernya masih panjang, mengambil kira jumlah pungutan pingat emas dimiliki idolanya itu.

“Setakat ini saya belum capai lagi kerana jumlah pingat emas yang diperoleh masih belum cukup berbanding beliau. Kami tahu tekong Thailand itu memiliki banyak koleksi pingat emas termasuk pada Sukan Asia dan Sukan Sea.

“Jadi untuk mengatakan saya sudah sebaris dengannya, itu masih belum lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tekong utama skuad kebangsaan itu dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh ISTAF sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Menurut ISTAF, tekong berketinggian 189 sentimeter itu menerima sijil berkenaan susulan prestasi luar biasa sebagai Tekong Terbaik Dunia, khususnya selepas aksi cemerlang pada Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan Sea 2025.

Muhammad Syahir mengemudi kejayaan Malaysia dalam acara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, selain memainkan peranan penting membantu skuad negara menamatkan penantian pingat emas selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan dan regu pada Sukan Sea 2025.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata sepanjang sembilan tahun bersama skuad kebangsaan, beliau berdepan pelbagai cabaran yang mematangkannya sebagai pemain.

“Saya lihat banyak cabaran yang saya dan pasukan hadapi. Untuk sampai ke tahap seperti sekarang bukan sesuatu yang mudah.

“Apabila sudah berada di tahap ini, kita perlu lebih berhati-hati, terus berusaha dan sentiasa berwaspada dengan pasukan lawan,” katanya.

Humaira buru emas di peringkat Asia, Dunia

Kuala Lumpur: Atlet poomsae taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim meletakkan sasaran tinggi bagi musim 2026 apabila akan memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Taekwondo Asia selain Kejohanan Poomsae Dunia.

Jelas Humaira, fokus tahun ini adalah kepada dua kejohanan itu dan dia memasang impian besar untuk menukar warna pingat yang dimenangi sebelum ini.

Katanya, biarpun tahun ini akan menyertai banyak pertandingan, namun dia tetap dengan misinya memburu kedudukan podium dan bersemangat untuk beraksi lebih baik dalam setiap kejohanan.

“Memang saya sasarkan kejohanan besar seperti Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia. Sepanjang saya beraksi di Kejohanan Dunia, saya ada dua pingat gangsa.

“Jadi tahun ini kalau boleh saya mahu naik podium atau capai kedudukan lebih tinggi,” katanya.

Untuk makluman, Humaira yang bergandingan bersama Jason Loo berjaya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Hong Kong pada edisi lalu.

Selain itu, penuntut Universiti Malaya itu juga optimis mereka mampu tampil dengan prestasi cemerlang biarpun akan ada perubahan dalam acara berpasukan wanita.

MAJLIS PELANCARAN KEM FASA 1 TEMASYA SUKAN SEA 2027

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari hari ini merasmikan Kem Fasa 1 Temasya Sukan Sukan SEA 2027 yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Kem 3 hari bermula 11 hingga 13 Februari 2026 itu melibatkan lebih 300 atlet dari Program Podium, Berfasa dan Pelapis dengan membabtikan 25 jenis sukan.

Kem Fasa 1 ini memberi penekanan kepada modul ketenteraan dan kenegaraan melalui kerjasama Angkatan Terntera Malaysia dan Akedemi Kenegaraan.

Pada majlis sama turut berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MSN dan UPSI yang membuka ruang kerjasama kepada pembangunan sukan negara secara menyeluruh, khususnya dalam aspek latihan, penyelidikan dan pembangunan bakat.

Turut hadir, YBrs. Encik Abdullah Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan; YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN; YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI; YBhg. Dato’ (Dr.) Chong Kim Fatt, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia , YBrs.Dr. Kamarul Hashimy Hussein, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perubatan Sukan) Institut Sukan Negara dan Laksamana Pertama Farizan Ishak, Ketua Pengarah Cawangan Sumber Manusia Markas Angkatan Tentera Malaysia.

MSN DAN HKSI METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA SUKAN BERPRESTASI TINGGI

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dan Institut Sukan Hong Kong (HKSI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi dan bidang profesional berkaitan.

MoU ini telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif HKSI, Encik Tony Choi, serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol.

MoU tiga tahun ini merangkumi kerjasama dalam sains sukan dan perubatan sukan, perkongsian kepakaran serta pendekatan terbaik latihan berprestasi tinggi, pembangunan kapasiti atlet dan jurulatih, dan perkongsian ilmu melalui platform profesional antarabangsa.

LAWATAN RASMI DELEGASI INSTITUT SUKAN HONG KONG KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Delegasi Institut Sukan Hong Kong (HKSI) telah mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) pada 9 Februari 2026.

Ketibaan delegasi yang terdiri daripada 8 orang pegawai dan 21 orang atlet ini telah disambut oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. En. Jefri Ngadirin, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), YBrs. Encik Azrul Hisyam Abdul Jalil, Pengarah Bahagian Atlet, YBrs. Encik Mohd Zaim Yusof serta Pengarah Bahagian Korporat, YBrs. Puan Puah Pei Ling.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala antara MSN dan HKSI melalui perkongsian idea, kepakaran serta kaedah dan pendekatan terbaik dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Selain itu, atlet-atlet HKSI turut berpeluang menjalani sesi latihan bersama atlet negara di Pusat Latihan MSN, Bukit Jalil sebagai sebahagian daripada pertukaran pengalaman dan pendedahan antarabangsa.

MAJLIS PENYAMPAIAN SKIM HADIAH KEMENANGAN SUKAN (SHAKAM) TEMASYA SUKAN SEA DAN SUKAN PARA ASEAN 2025

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari telah menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025.

Atlet renang, Khew Hoe Yean dan ratu wushu, Tan Cheong Min muncul penerima tertinggi kategori lelaki dan wanita bagi Temasya Sukan SEA 2025 manakala atlet para renang, Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim penerima tertinggi kategori lelaki dan wanita untuk Temasya Sukan Para ASEAN 2025.

Selain itu, Tan Cheong Min turut diumumkan sebagai atlet terbaik negara untuk Sukan SEA 2025, manakala Abdul Halim Mohammad dinobatkan sebagai atlet terbaik negara untuk Sukan Para ASEAN 2025.