Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand, Nurul Huda Abdullah, menyuarakan kebimbangan terhadap nasib 18 atlet muda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana jadual peperiksaan itu bertembung dengan temasya dwitahunan hujung Disember ini.
Menurutnya, ketiadaan keputusan muktamad daripada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menimbulkan dilema kepada atlet dan ibu bapa dalam membuat keputusan sama ada mereka boleh menyertai temasya itu atau sebaliknya.
“Bagi sukan akuatik contohnya, ada ibu bapa nyatakan kebimbangan apabila tiada jawapan muktamad, mereka sukar membuat keputusan sama ada anak mereka boleh menyertai atau tidak. Bukannya mahu tarik diri, tetapi mereka mahukan kepastian,” katanya.
Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini menyenaraikan 18 atlet terbabit dan menyerahkannya kepada KPM bagi menentukan kaedah terbaik supaya mereka tidak terlepas peluang menduduki peperiksaan.
“Daripada apa yang saya faham, dua pilihan ada sama ada mereka ambil peperiksaan lebih awal, atau mendudukinya semasa berada di Thailand dengan kehadiran pemeriksa khas yang disediakan KPM.
“Dulu ada opsyen untuk mohon periksa lewat, tapi kita tak pasti sama ada kaedah itu akan diguna semula.
“Buat masa ini, belum ada keputusan rasmi. Saya cuma berharap KPM dapat mencari penyelesaian segera supaya kita boleh memberi jaminan kepada atlet dan ibu bapa,” katanya.
Peperiksaan SPM dijadual berlangsung dari 3 November hingga 23 Disember, manakala Sukan SEA di Thailand akan diadakan dari 9 hingga 20 Disember.