Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara menutup kempen peringkat Kumpulan B dengan penuh bergaya apabila membelasah Taiwan 15-0 di Piala Asia 2025 di Bihar, India, hari ini.
Malaysia yang sudah mengesahkan tiket ke saingan Super 4 sejak Sabtu lalu tetap mempamerkan aksi bertenaga dengan Mohamad Ashran Hamsani muncul wira pasukan selepas meledak empat gol pada minit ke-8, 15, 32 dan 54.
Rakan sepasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook turut mengganas dengan lima jaringan, termasuk menerusi penalti strok pada minit ke-29 selain gol padang pada minit ke-10, 20, 45 dan 56.
Norsyafiq Sumantri pula menyumbang hatrik pada minit ke-20, 40 dan 60, manakala tiga lagi gol hadir menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (22′), Andywalfian Jeffrynus (24′) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (32′).
Kemenangan besar itu melonjakkan keyakinan anak buah Sarjit Singh menjelang aksi Super 4 yang turut disertai Korea Selatan bagi mewakili Kumpulan B.
Dalam saingan itu, Malaysia perlu menamatkan kedudukan dua teratas untuk mara ke final.
Hanya juara kejohanan akan meraih tiket automatik ke Piala Dunia di Belgium dan Belanda tahun depan, sekali gus menjadi motivasi besar buat Speedy Tigers untuk terus mengekalkan rentak cemerlang mereka.