Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Wajib deklarasi kesihatan sebelum sertai kejohanan – Hannah

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa semua kejohanan yang membabitkan warga emas perlu mematuhi prosedur keselamatan ketat termasuk mewajibkan deklarasi kesihatan peserta sebelum dibenarkan beraksi.

Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan tahap kesihatan peserta berada dalam keadaan baik serta sebarang risiko kecemasan dapat dielakkan lebih awal.

“Untuk sukan-sukan yang membabitkan veteran ataupun warga emas, saya rasa perlu ada beberapa lagi proses keselamatan yang perlu diambil oleh pihak penganjur.

“Termasuk seperti Majlis Sukan Negara dalam kejohanan Masters yang kita anjurkan, kita pastikan semua ada health declaration ya, deklarasi kesihatan sebelum mereka bertanding supaya semua aspek keselamatan dan kesihatan itu telah diambil kiralah oleh penganjur.

“Juga untuk pasukan keselamatan, kesihatan, ambulans semua kena ada, pakar-pakar doktor ada di tapak semasa pertandingan dan untuk insurans. Insurans itu penting oleh penganjur, terutamanya dalam kes-kes yang membabitkan warga emas, sukan,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Anugerah SAM-100Plus 2024, di sini, sebentar tadi.

Sebelum itu, Arena Metro menerusi laporan bersiri. Allahyarham Firos Mohamed disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi dalam Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Legend All Star, baru-baru ini.

Insiden Allahyarham Firos membuka semula perdebatan mengenai tahap kesiapsiagaan perubatan di acara sukan.

Difahamkan, ada dakwaan tidak rasmi mengatakan wujud kelewatan dalam pemberian bantuan perubatan kecemasan kepada Allahyarham, mencetus persoalan sejauh mana penganjur benar-benar bersedia apabila nyawa menjadi pertaruhan.

Walaupun Allahyarham Firos dikenal pasti sebagai individu aktif dan cergas, kejadian itu jelas menunjukkan bahawa pemeriksaan kesihatan dan saringan awal adalah satu keperluan kritikal dalam penganjuran sukan membabitkan golongan veteran.

Hannah berkata, kehadiran pasukan perubatan termasuk doktor pakar, ambulans dan paramedik juga perlu menjadi syarat wajib bagi semua kejohanan bagi mengelakkan kelewatan rawatan jika berlaku kecemasan di gelanggang.

Katanya, penyediaan insurans juga tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi perlindungan bukan sahaja kepada peserta, malah kepada penganjur dalam menangani implikasi perubatan atau kecederaan.

“Insurans adalah bentuk tanggungjawab. Kita mahu semua pihak bersedia dan tidak bertindak selepas sesuatu berlaku. Ini tentang nyawa,” katanya.

Menurutnya lagi, KBS melalui Majlis Sukan Negara akan memperketatkan lagi garis panduan dan mungkin mewajibkan dokumen deklarasi kesihatan sebagai sebahagian syarat kelulusan kejohanan mulai tahun hadapan.

Beliau turut meminta semua pihak baik badan sukan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun penganjur swasta melihat keselamatan sebagai keutamaan dan bukannya sekadar formaliti semata-mata.

“Bila kita jaga keselamatan mereka, kita bukan saja galakkan gaya hidup sihat, tapi kita juga jaga nyawa mereka,” katanya.