Kuala Lumpur: Sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mendedahkan selain acara 100 meter (m), dia akan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara 200m pada tahun depan.
Justeru itu, pelari berusia 21 tahun itu mahu menjadikan Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Rhine-Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini sebagai medan untuknya mengasah kembali teknik lariannya dalam acara 200m.
Penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) itu hampir mencetus sensasi pada April lalu di Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di AS apabila merekod catatan masa 20.79s ketika meraih kedudukan pertama dalam saringan keenam.
Catatan itu hanya 0.02 dipisahkan dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib iaitu 20.77s yang dilakukan pada 2019.
“Saya kurang bersaing dalam acara 200m, tetapi awal musim ini saya berjaya lakukan 20.79s, hanya kurang 0.02s di belakang rekod kebangsaan milik Russel. Jadi saya tahu kemampuan saya.
“Saya hanya perlu bersabar dan tak perlu tergesa-gesa mengejar sesuatu sebab tahu kemampuan diri sendiri. Untuk acara 200m (di WUG), ia umpama ‘preview’ pada tahun depan.
“Sebab saya sudah berbincang dengan jurulatih iaitu pada tahun 2026, saya akan ‘all out’ beraksi dalam acara 100m dan 200m seperti ketika zaman di sekolah menengah apabila saya sentiasa berlari dalam kedua-dua acara itu.
“Jadi di WUG nanti adalah titik perubahan untuk saya selesa semula bertanding dalam 100m dan 200m di kejohanan sama,” kata pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s itu.
Pada saingan di WUG, selain kedua-dua acara riben biru itu, Azeem akan beraksi dalam acara 4x100m.
“Untuk acara lari berganti-ganti sangat menarik kerana kita mempunyai barisan pelari yang berada pada tahap terbaik ketika ini seperti Danish Iftikhar (Muhammad Roslee).
“Saya yakin dengan pasukan dan kami mungkin mampu melakukan sesuatu di WUG.
“Pada akhirnya, ia adalah acara berpasukan, jadi kami perlu saling percaya antara satu sama lain,” katanya.