Kuala Lumpur: Jurulatih hoki Bawah 18 (B-18) negara, Mohd Sufian Mohamad menaruh harapan tinggi kepada anak didiknya untuk turun beraksi sepenuh jiwa menentang Pakistan di separuh akhir Piala Asia B-18, esok.
Jelasnya, persiapan sudah dilakukan dengan baik termasuk memberi peluang kepada barisan pemain untuk melihat sendiri aksi pasukan Pakistan beraksi menentang China dalam perlawanan terakhir Kumpulan A.
Perkara itu akan memberi peluang kepada pemain negara mengenali lawan mereka dengan lebih dekat selain boleh menyediakan beberapa perancangan untuk aksi itu.
“Nasihat saya kepada pemain adalah bermainlah dengan bersungguh-sungguh demi negara tercinta. Ini adalah bukti membawa nama Malaysia di pentas Asia. Jadi, sebagai persediaan perlawanan menentang Pakistan, saya sudah mengarahkan pemain untuk membuat analisis dari segi pemain-pemain utama pasukan Pakistan, cara mereka bermain dan teknikal yang digunakan.
“Semua itu akan dikumpulkan dan pemain akan membawa nota penting semasa sesi perbincangan bersama pasukan. Saya harap dengan adanya analisis bersama ini, pemain-pemain sendiri tahu apa yang perlu dilakukan dan dapat melaksanakannya dengan baik,” katanya.
Selain itu, beliau turut melihat bahawa kejayaan mara ke final akan membuktikan segala perancangan yang dilakukan di Malaysia berada di landasan yang tepat.
“Kejayaan ke atas Pakistan akan membuktikan program pembangunan di negara ini selama ini berkesan. Oleh itu, saya harap esok pemain akan berusaha dan bermain mengikut strategi yang telah diatur serta memberikan sepenuh kekuatan,” katanya.