Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tingkatkan kemahiran individu – Mirnawan

Kuala Lumpur: Bekas pemain hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi menyarankan agar setiap pemain dapat meningkatkan kemahiran individu kerana dari situ ia dapat membentuk sebuah pasukan yang lebih kuat pada kejohanan akan datang.

Menurut Mirnawan, kemahiran asas yang ada pada setiap pemain boleh menjadi perbezaan yang sangat besar selain menjadi faktor utama penentu kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Setiap pemain perlu melihat bagaimana mereka boleh meningkatkan kemahiran asas, sama ada secara berpasukan atau individu. Sebab dalam setiap perlawanan, sememangnya kita akan buat kesilapan. Tidak ada yang 100 peratus sempurna.

“Tetapi kalau setiap pemain boleh meminimumkan kesilapan dalam setiap perlawanan, saya pasti secara keseluruhan pasukan akan menjadi lebih mantap. Pemain muda menunjukkan peningkatan yang sangat bagus tetapi jurang antara mereka dan senior perlu dirapatkan kerana sukan ini memerlukan kerjasama semua pemain dalam satu pasukan,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau melihat skuad bimbingan Sarjit Singh ini mempunyai kekuatan dari segi menyerang untuk mendapatkan jaringan tetapi mereka juga perlu lebih bagus ketika menyerap tekanan agar keputusan akhir memihak kepada pasukan negara dan bukan sebaliknya.

“Kita mampu menjaringkan gol. Kalau kita tengok perlawanan pertama, kita seri dengan Pakistan (3-3), menjaringkan tiga gol. Kita juga mendahului 3-0 ketika menentang New Zealand, menang 2-1 ke atas Jepun dan menewaskan Afrika Selatan 4-1 sebelum tewas 1-2 kepada Wales.

“Jadi, secara keseluruhan, kita mampu menjaringkan gol menentang semua pasukan. Tetapi apa yang perlu kita tambah baik ialah aspek bertahan iaitu bagaimana kita mengawal pertahanan dan gawang gol sendiri.

“Sebenarnya dari segi ratio, jika mampu menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan, itu adalah statistik yang bagus. Namun, kita juga perlu pastikan jaringan itu mencukupi untuk muncul sebagai pemenang. Ini yang perlu dilihat oleh jurulatih dan pemain bagaimana menguruskan situasi berkenaan,” kata Mirnawan.

Tambah beliau, fokus utama selepas ini ialah memperkemas organisasi bertahan secara kolektif termasuk cara pasukan bertindak balas apabila hilang bola dan ketika berdepan situasi pukulan sudut penalti.

“Bertahan bukan sekadar tugas pemain pertahanan, tetapi seluruh pasukan perlu bergerak sebagai satu unit. Bila lawan dapat possession, kita perlu susun barisan dengan baik untuk menghadkan ruang.

“Ketika lawan mendapat pukulan sudut penalti, bagaimana kita bertahan secara efektif dan menutup peluang mereka menjaringkan gol,” katanya.