Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Empat lagi sertai RTG, fokus emas Olimpik 2028

Kuala Lumpur: Teka teki mengenai beregu nombor lelaki satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akhirnya terjawab apabila mereka secara rasmi menyertai program Road to Gold (RTG) sebagai persediaan ke temasya Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Selain itu, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mengesahkan penyertaan dalam program berkenaan selepas Menteri Belia dan Sukan, mengumumkan perkara itu menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Perkara itu menyaksikan bilangan atlet badminton paling ramai berada dalam RTG iaitu 12 orang selepas masing-masing menunjukkan persembahan yang sangat konsisten pada setiap pertandingan sehingga membolehkan mereka berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Melalui RTG, empat pemain ini akan menerima sokongan menyeluruh berkaitan prestasi dalam usaha mereka bukan sahaja untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028, tetapi juga mencipta sejarah buat negara di Los Angeles.

“RTG sentiasa menyokong atlet yang memenuhi kriteria program ini dan kami berharap sokongan tambahan ini akan menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus mencapai kecemerlangan tahun ini,” kata Hannah.

Majlis menandatangani perjanjian itu semalam turut disaksikan Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam dengan kedua-dua pasangan itu kini memperoleh sokongan untuk memastikan mereka kekal konsisten menjelang kelayakan Olimpik yang bermula pertengahan tahun depan.

Sebelum ini, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlebih dahulu mengesahkan penyertaan mereka dalam program RTG baru-baru ini.

Untuk makluman, setiap atlet yang berada dalam program itu akan mendapat layanan khas untuk memastikan prestasi atlet berada di tahap tertinggi sekali gus mencerahkan peluang mendapatkan emas pertama di LA28 nanti.