Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Menang banyak gelaran lebih penting berbanding kejar no 1 dunia – Aaron

Kuala Lumpur: Memenangi banyak gelaran lebih penting berbanding mengejar kedudukan ranking nombor satu dunia.

Itu pendirian beregu lelaki negara, Aaron Chia yang tidak meletakkan sasaran spesifik untuk memburu kedudukan nombor satu dunia selepas ketika ini berada di ranking kedua.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik berkata, takhta nombor satu dunia pasti mampu dicapai seandainya dia serta Wooi Yik memenangi banyak gelaran.

“Kedudukan ranking dunia bukanlah sasaran utama kami. Sebab kalau anda mempamer prestasi cemerlang, anda menang (kejohanan), sudah tentu ranking anda automatik akan naik.

“Jadi bagi kami gelaran juara lebih penting dan atas sebab itulah sasaran kami adalah memenangi lebih banyak kejuaraan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan semasa, Aaron-Wooi Yik hanya dibezakan 1,220 mata sahaja berbanding beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang kini menduduki ranking pertama dunia dengan meraih 91,090 mata.

Aaron-Wooi Yik dijangka mampu merampas kedudukan itu seandainya beraksi cemerlang di Terbuka Jepun dan China pada bulan depan, namun bekas juara dunia itu enggan terlalu memikirkan perkara berkenaan.

“Saya rasa kami hanya mahu fokus kepada persiapan diri sendiri dan perlu lebih konsisten daripada segi corak permainan serta perkara lain.

“Sudah tentu kami berharap dapat memenangi lebih banyak kejuaraan, tapi pada saya yang paling penting adalah konsistensi dalam permainan.

“Bagi saya kedudukan pertama, kedua, ketiga atau kelima itu hanyalah nombor sahaja,” katanya.

Aaron-Wooi Yik cemerlang pada musim ini apabila sudah merangkul tiga kejuaraan bermula di Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Mereka muncul naib juara di Masters Malaysia bulan lalu selepas tewas kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.