Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan merangka beberapa langkah gerak kerja untuk memastikan pemain perseorangan lelaki negara kembali menyengat di kejohanan kompetitif dan bukan sekadar menjadi pelengkap pertandingan sahaja.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan setiap atlet malah akan mengadakan sesi pertukaran pendapat bersama barisan jurulatih bagi mencari solusi terbaik agar pemain negara mampu tampil selaku pencabar utama.
“Bagi saya, masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan kita tahu terutamanya dalam acara perseorangan, masih banyak yang perlu diperbaiki dan kita mahu lihat perkara itu dilaksanakan,” katanya.
Untuk makluman, ketika ini, di bawah BAM, negara mempunyai beberapa pemain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh namun dua pemain ini dilihat masih belum berada di tahap terbaik untuk mencabar kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.
Sementara itu, Ng Tze Yong pula dilihat bakal menjadi sandaran utama selepas kembali daripada kecederaan belakang. Tetapi, nasib dia tidak begitu baik apabila perlu berehat sekali lagi ekoran mengalami kecederaan serius pada ligamen lutut (ACL) dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Tengku Zafrul turut gembira melihat pencapaian pemain negara dalam beberapa kejohanan terakhir terutama beregu lelaki dan wanita negara kerana berjaya meraih kejuaraan. Beliau berharap pemain dapat mengekalkan prestasi itu untuk kejohanan akan datang.
“Apa yang berlaku ini menunjukkan hasil kerja jurulatih, terutamanya bahagian beregu. Secara adilnya, memang nampak hasilnya (kejuaraan). Satu lagi ialah soal mengekalkan prestasi ini.
“Sebab kita ada empat kejohanan dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu Terbuka Kanada, Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Macau,” katanya.
Antara pencapaian terbaik skuad badminton negara pada bulan lalu adalah muncul juara di Terbuka Thailand (Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah), Masters Malaysia (Tee Kai Wun-Man Wei Chong), dan Terbuka Singapura (Aaron-Wooi Yik).