Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kehadiran Herry Iman bawa ong buat badminton negara – Chong Wei

Kuala Lumpur: Kehadiran jurulatih beregu lelaki dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi ke dalam skuad badminton Malaysia ternyata membawa ‘ong’ sangat besar selepas pemain negara meraih kejuaraan demi kejuaraan dalam tempoh singkat.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, Herry atau lebih dikenali dengan gelaran Naga Api membuktikan dirinya mempunyai sentuhan sangat bernilai apabila tidak perlu mengambil masa lama untuk melatih beregu lelaki negara dan membawa mereka berada di atas podium.

Tambahnya, permainan pasangan negara sudah berubah sejak berada di bawah kepimpinan Herry apabila mereka beraksi dengan lebih agresif dan mempunyai mood menyerang yang tinggi berbanding bertahan.

“Awak sendiri boleh nampak pemain kita terutama Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Mereka lebih konsisten dan lebih yakin, seolah-olah bukan Aaron-Wooi Yik yang kita kenal sebelum ini. Saya rasa kunci utamanya adalah komunikasi.

“Bagaimana berkesannya komunikasi antara seorang jurulatih dengan pemain boleh menerbitkan keyakinan dalam permainan.

“Bagi saya, apabila jurulatih itu dapat berkomunikasi dengan baik, pesanan mudah disampaikan dan ia mampu meningkatkan keyakinan di gelanggang.

“Jika dia jurulatih yang biasa, mungkin hanya berkongsi ilmu yang ada dalam buku sahaja,” katanya.

Sejak Herry mula bertugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu, beliau membawa perubahan yang sangat ketara antaranya membantu beregu lelaki negara meraih empat kejuaraan dalam tempoh empat bulan.

Antaranya Aaron-Wooi Yik yang meraih gelaran sulung tahun ini di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 pada April, diikuti dua kejuaraan dalam tempoh kurang sebulan iaitu Terbuka Thailand (Mei) dan Terbuka Singapura (Jun) manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula meraih kemenangan di Masters Malaysia (Mei).

Malah, perubahan dalam ranking dunia menunjukkan peningkatan ketara berbanding pada awal ketibaannya sebelum ini, seperti Aaron-Wooi Yik yang mendaki daripada kedudukan nombor lima dunia ke tempat kedua dunia dan Kai Wun-Wei Chong, daripada nombor 12 dunia kepada kedudukan ketujuh dunia.

Di samping itu, beliau turut melihat kehadiran beberapa jurulatih lain seperti Kenneth Jonassen (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan), Rosman Razak (beregu wanita) dan Nova Widianto (beregu campuran) sebagai antara gandingan yang mampu menghasilkan lebih banyak kejayaan kepada Malaysia.

Oleh itu, Chong Wei melihat kemungkinan besar menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028, lebih ramai pasangan negara akan berada dalam kelompok terbaik dunia untuk layak ke temasya empat tahun sekali itu, sekali gus mewujudkan persaingan lebih sihat buat mereka.