Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamer kebangkitan dramatik sekali gus ‘mendiamkan’ seluruh penyokong tuan rumah di Istora Senayan selepas menewaskan pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti hari ini untuk mara ke suku akhir Terbuka Indonesia.
Beraksi di pusingan kedua, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan menerusi permainan tiga set 18-21, 21-16, 21-17 dalam tempoh 59 minit.
Bagi Thinaah, bertemu lawan di gelanggang sendiri bukan sesuatu yang mudah apatah lagi menerima sorakan penuh daripada peminat, namun wakil negara itu berjaya mengubah keadaan itu untuk menghentikan kemaraan Mayasari-Ramadhanti.
“Saya rasa sedikit teruja. Sudah tentu tidak mudah untuk bermain dengan mereka. Kami sudah bertemu dengan mereka beberapa kali, tetapi saya rasa hari ini, apa yang benar-benar membantu kita berdua adalah sokongan antara satu sama lain.
“Jurulatih tidak pernah berputus asa terhadap kami. Mereka terus memberi motivasi walaupun kami ketinggalan agak jauh. Tetapi kami tidak membiarkan perkara itu menjejaskan semangat atau motivasi kami.
“Kami terus berjuang satu mata demi satu mata. Saya rasa itulah yang banyak membantu kami hari ini,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan, hari ini.
Sementara itu, Pearly mengakui mereka agak letih, namun semangat juang tinggi yang ada di dalam diri membuatkan mereka tetap memberikan persembahan terbaik untuk mendapatkan kemenangan.
“Kami memang sangat mahukan kemenangan dalam perlawanan ini dan kami benar-benar percaya antara satu sama lain, begitu juga dengan jurulatih. Jadi, saya rasa itulah faktor utama yang membawa kepada kemenangan kami hari ini,” katanya.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik selepas mencatat kemenangan ke atas rakan senegara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi 14-21, 21-11, 21-15 pada pusingan kedua, hari ini.
Tugas sukar menanti mereka esok apabila akan bertemu gandingan berpengalaman dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang turut mara selepas mengalahkan lawan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 16-21, 21-18, 22-20 dalam masa 68 minit.