KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif di bawah Impact Integrated mengumumkan pembukaan permohonan bagi Dana Esukan KBS (DEK) 2025, bermula 4 Jun hingga 31 Julai ini.
Dana yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu menawarkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, meningkat RM500,000 berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan industri esukan tanah air.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, DEK menyokong lebih 80 inisiatif sukan elektronik (e-sukan) akar umbi merangkumi penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, penghasilan kandungan digital dan pelbagai aktiviti komuniti di seluruh negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, dalam kenyataan hari ini berkata, DEK bukan sekadar skim bantuan kewangan, malah menjadi simbol kepercayaan KBS terhadap potensi besar yang dimiliki industri e-sukan tempatan.
“Dana e-sukan KBS bukan hanya sekadar satu skim bantuan kewangan semata-mata, tetapi simbol kepercayaan dan komitmen KBS terhadap potensi besar e-sukan. DEK ini adalah selari dengan hasrat untuk merakyatkan sukan temasuklah esukan melalui pendekatan ‘whole-of-nation’.
“Dengan adanya DEK, kita ingin memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri dalam memacu ekosistem e-sukan negara yang lebih progresif, inklusif, dan berdaya saing,” kata Adam Adli dalam kenyataan hari ini.
Bagi membantu pemohon menyediakan cadangan program yang berkualiti dan memahami proses penilaian, KBS menerusi ESI akan menganjurkan sesi libat urus DEK. Sesi ini termasuk pengenalan, panduan penyediaan kertas kerja dan sesi soal jawab.
Sesi ini terbuka kepada semua penggiat industri termasukinstitusi pendidikan, organisasi belia dan sukan, dan kumpulan komuniti.
Pemohon boleh melayari laman sesawang www.esportsintegrated.com/danaesukankbs atau emel ke DanaEsukanKBS@esportsintegrated.com untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan DEK 2025.
Permohonan DEK 2025 dilaksanakan secara dalam talian dan keputusan dijangka diumumkan pada 28 Ogos 2025.
Program yang diluluskan perlu dilaksanakan dalam tempoh September hingga November 2025.