BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui pendekatan santai Herry Iman Pierngadi memberi impak besar dalam kebangkitan mereka sehingga bergelar juara Terbuka Singapura.
Menurut gandingan nombor tiga dunia itu, Herry mahir mengeksploitasi psikologi pemain dengan tidak memberikan tekanan melampau sebaliknya lebih banyak melakukan dorongan selain mampu mencetuskan suasana positif di dalam dan luar gelanggang.
Bagi Aaron, kaedah jurulatih dari Indonesia yang digelar Naga Api itu telah mengubah corak permainannya dan Wooi Yik menjadi lebih konsisten serta mantap.
“Walaupun Herry baru beberapa bulan bersama kami, peningkatan prestasi sudah mula kelihatan. Dia banyak memberikan keyakinan kepada pemain tanpa meletakkan tekanan berlebihan.
“Pendekatan latihannya mungkin sedikit berbeza dan memerlukan masa untuk disesuaikan, namun impaknya jelas terhadap keseluruhan corak permainan kami,” kata Aaron.
Senada dengan Aaron, Wooi Yik turut menghargai sumbangan besar Herry yang pernah melahirkan pasangan legenda Indonesia seperti Candra Wijaya-Tony Gunawan (juara Olimpik Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (juara Olimpik Beijing 2008).
“Dia membantu menyusun semula struktur permainan kami dengan lebih tersusun, menjadikan corak permainan yang sebelum ini tidak konsisten kini lebih seimbang dan berkesan,” ujarnya.
Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian 17 tahun negara untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura selepas mereka menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae 15-21, 21-18, 21-19.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik sudah beraksi di empat pentas akhir dalam tempoh kira-kira tujuh minggu sejak pertengahan April lalu selepas mendapat sentuhan Herry pada Februari.
Antara pencapaian mereka dalam tempoh tersebut termasuk menjuarai Kejohanan Badminton Asia di China, juara Terbuka Thailand dan naib juara Malaysia Masters.
Selepas ini, Aaron-wooik Yik mengalihkan fokus mereka kepada Terbuka Indonesia yang bermula hari ini hingga Ahad di Istora Senayan, Jakarta.
Aaron-Wooi Yik akan bertemu beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Fradeik Soogard iaitu lawan yang dikalahkan mereka pada pusingan pertama di Terbuka Singapura.