Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bolehkah Aaron-Wooi Yik jadi macam robot?

KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu yang luar biasa, adakah Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu terus mengaum di Jakarta dan mengekalkan momentum kejuaraan mereka dalam aksi Terbuka Indonesia yang bermula esok?

Tiada siapa dapat menafikan ketangkasan dan konsistensi beregu utama negara itu yang berjaya mara ke final tiga kali berturut-turut, bermula dengan Terbuka Thailand, Masters Malaysia, dan paling manis, menamatkan kemarau 17 tahun negara di Terbuka Singapura, semalam.

Namun, dengan rekod 14 kemenangan daripada 15 perlawanan dan menghabiskan 727 minit di gelanggang hanya dalam tempoh tiga minggu, isu ketahanan fizikal dan mental kini menjadi topik utama menjelang kejohanan keempat berturut-turut yang bakal mereka tempuhi dan kali ini di pentas Super 1000 yang penuh ranjau.

Sebagai manusia biasa, Aaron-Wooi Yik pastinya terdedah kepada keletihan, baik dari aspek tubuh mahupun mental.

Walaupun berstatus bekas juara dunia dan kini kembali menemui rentak kemenangan, tubuh atlet bukan robot yang boleh beroperasi tanpa had.

Lebih mencabar, Terbuka Indonesia menghimpunkan hampir semua pasangan terbaik dunia termasuk daripada kelompok 10 terbaik.

Justeru, sentuhan magis Herry Iman Pierngadi – jurulatih yang digelar ‘Naga Api’ pastinya ditagih bagi memastikan anak didiknya kekal tajam dan bersemangat tinggi.

Sejak dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki negara pada Februari lalu, sentuhan Herry nyata membawa nafas baharu dalam permainan Aaron-Wooi Yik, terutama dari aspek taktikal, komunikasi serta ketahanan mental ketika berdepan tekanan.

Kini, buat pertama kali, Herry akan kembali ke tanah airnya sebagai ‘musuh’ di gelanggang, dalam misi membantu Malaysia menakluk Istora Senayan yang penuh aura.

Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen di Jakarta menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, pada pusingan pertama.

Persoalannya kini bukan sekadar kemampuan mereka menambah koleksi kejuaraan dan memburu hadiah juara AS$107,300 (RM456,593), tetapi bagaimana untuk terus konsisten dalam menghadapi batas tubuh badan sendiri, ketika tekanan dan harapan semakin meninggi.

Aaron-Wooi Yik sudah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar harapan badminton Malaysia, tetapi juga simbol ketekunan dan keberanian.

Jika sekali lagi mampu menembusi ke final minggu ini, mereka bukan sahaja mencipta sejarah, malah boleh dilabel beregu lelaki terbaik di atas ‘planet bumi’ ketika ini.

Namun, segalanya bergantung kepada bagaimana mereka mengurus keletihan dan menyalakan semula api perjuangan di tengah ribuan penyokong fanatik badminton Indonesia yang terkenal dengan sorakan membakar semangat atau provokasi yang melunturkan semangat.