Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonassen tidak gembira melihat satu persatu perseorangan lelaki tumbang

Kuala Lumpur: “Apabila berdepan hari yang sukar, secara keseluruhan sudah tentu saya tidak gembira.”

Demikian luahan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen selepas menyaksikan kesemua anak didiknya tumbang satu persatu seawal pusingan pertama Masters Malaysia, semalam.

Kesemua tiga wakil negara iaitu Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ng Tze Yong gagal melangkah lebih jauh sekali gus memberi tamparan hebat buat kem perseorangan lelaki negara.

Jun Hao sekali lagi tidak menjadi apabila tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-10, 18-21, 9-21 yang juga kekalahan kali ketujuh berturut-turut di pusingan awal sejak permulaan musim ini.

Nasib sama dialami pemain muda negara, Justin Hoh yang gagal memberikan tentangan sengit apabila tunduk 14-21, 20-22 kepada pemain pilihan kelapan dari Jepun, Kodai Naraoka.

Sementara itu, Tze Yong sekali lagi diuji masalah kecederaan lutut kanan apabila terpaksa menarik diri ketika menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long meskipun memenangi set pertama 22-20 dan sedang mendahului 4-3 di set kedua.

Mengulas pencapaian anak buahnya, Jonassen tidak berselindung menyatakan rasa tidak puas hati namun tetap melihat beberapa perkembangan positif dalam aspek semangat juang dan keberanian pemain.

“Pemain berada di sini untuk memenangi perlawanan. Mereka sudah menunjukkan semangat juang tinggi, tetapi kejohanan seperti ini juga memberi peluang untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pemain lain dan mengenal pasti segala kekurangan,” katanya.

Menurutnya, beberapa aspek perlu diperbaiki segera bagi memastikan pemain mampu bersaing di pentas antarabangsa secara konsisten.

“Saya dapati beberapa perkara yang cukup menarik, yang akan saya bincangkan secara terperinci dengan barisan pemain sebelum saya boleh berkongsi mengenainya.

“Saya suka semangat juang setiap pemain, tetapi sudah tentu fokus utama kita adalah untuk menang dalam perlawanan. Perjalanan karier mereka masih panjang, jadi kita perlu perbaiki beberapa aspek,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi Tze Yong yang disifatkan bermain dengan lebih agresif sejak kembali daripada kecederaan, biarpun nasib tidak menyebelahi pemain itu selepas mengalami kecederaan di lutut kanan.

“Dia bermain dengan lebih agresif dan pergerakannya juga baik. Cuma sayangnya dia agak tidak bernasib baik dan ia juga bukan hari terbaik buat kami,” katanya.