Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao kandas kali kelapan di pusingan awal tahun ini

Kuala Lumpur: Harapan pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk bermula positif musnah apabila tersingkir seawal pusingan pertama Masters Malaysia 2025 selepas terperangkap dengan strategi wakil Ireland, Nhat Nguyen, hari ini.

Pada pertemuan sulung antara kedua-dua pemain itu, Jun Hao yang menghuni ranking ke-25 dunia, memulakan aksi dengan cemerlang apabila memenangi set pertama 21-10.

Namun, rentaknya mula goyah di set kedua sebelum akur tewas 18-21 dan 9-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 14 minit di Axiata Arena.

Jun Hao dilihat gagal mengekalkan momentum selepas set pembukaan, selain bergelut untuk menyaingi kepantasan dan variasi pukulan lawannya di ranking ke-33 dunia itu yang kini dibimbing bekas pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Dia dilihat belum berada pada tahap terbaik selepas baru pulih daripada kecederaan lengan kanan yang turut memaksanya menarik diri daripada Terbuka Thailand, minggu lalu.

Ini adalah kali ketujuh berturut-turut Jun Hao tersingkir di pusingan awal sejak awal musim ini.

“Selepas lawan tukar strategi pada set kedua dan ketiga, ia membuatkan saya rasa tak selesa.

“Minggu lalu saya terpaksa tarik diri dan di sini barulah saya betul-betul pulih sepenuhnya. Jadi bagi saya, kalau sudah turun beraksi, saya akan beri yang terbaik dengan kemampuan yang ada hari ini.

“Ya, kalah tetap kalah, tapi saya rasa lebih baik kerana sekurang-kurangnya saya dapat habiskan perlawanan ini berbanding langsung tak dapat bermain,” katanya selepas tamat perlawanan.

Jun Hao berkata, setakat ini dia tetap akan beraksi di Terbuka Singapura pada minggu depan.

Bagaimanapun, dia perlu melihat dulu keadaannya dalam tempoh beberapa hari ini.