Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Lapan penerjun kanak-kanak diserapkan ke program ‘fast track’

Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) serius dalam usaha mencari pelapis baharu dalam sukan terjun bagi menggantikan barisan atlet senior.

Ketika ini, seramai lapan atlet muda dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan diserapkan ke dalam program ‘fast trek’ dengan sasaran jangka panjang untuk diketengahkan ke pentas Olimpik 2032 dan 2036.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, seramai 10 bakat muda dikenal pasti menerusi Program Mengenal Pasti Bakat Muda (TID), namun hanya lapan yang melaporkan diri bagi menyertai projek pembangunan itu.

“Umur tujuh hingga 12 tahun adalah peringkat terbaik untuk membentuk asas dalam sukan terjun.

“Justeru, projek ini fokus kepada pembangunan teknikal dan fizikal secara intensif, dengan sasaran jangka panjang iaitu dua Olimpik lagi,” katanya kepada Arena Metro.

Menurut Andy, mereka yang terpilih turut ditawarkan untuk bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan menjalani latihan sepenuh masa di bawah kendalian jurulatih berpengalaman MAS.

Beliau berkata, setakat ini, latihan menunjukkan kemajuan positif dan mereka turut boleh menerima latihan agak keras.

“Kita akan pantau perkembangan mereka secara berterusan dan jika berpotensi, kita akan beri ruang untuk mewakili negeri dalam temasya Sukma dan negara.

“Jika mereka terus konsisten serta menunjukkan bakat dalam sukan ini, mereka turut peluang menjalani latihan di luar negara,” jelasnya.

Tambah beliau, program ini adalah antara langkah awal MAS dalam memastikan kesinambungan prestasi sukan terjun negara, yang sebelum ini banyak bergantung kepada barisan atlet elit seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang. Kita mahu bina pelapis sejak awal supaya mereka benar-benar bersedia untuk beraksi di pentas antarabangsa satu hari nanti,” katanya.