Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Juara Terbuka Thailand ubati kekecewaan Pearly-Thinaah

Kuala Lumpur: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, menyifatkan kejayaan mereka menjuarai Terbuka Thailand sebagai sesuatu yang cukup bermakna dalam usaha memulihkan semangat selepas permulaan musim yang kurang memuaskan.

Pasangan nombor empat dunia itu tampil cemerlang dalam aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok, apabila menundukkan wakil Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dengan kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam tempoh 58 minit.

“Kemenangan ini cipta kenangan baharu buat kami. Sejujurnya, ia sangat bermakna kerana kami tidak memulakan tahun ini dengan baik, khususnya apabila tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia di laman sendiri,” kata Thinaah.

“Tapi kami tidak pernah hilang kepercayaan antara satu sama lain. Kami terus saling menyokong, bekerja keras dalam latihan dan juga ketika kejohanan. Sedikit demi sedikit, kami berjaya atasi beberapa halangan walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Hari ini, saya benar-benar ingin berterima kasih kepada rakan saya kerana kekal kuat sampai ke penghujung perlawanan. Kemenangan ini amat penting untuk kami bergerak ke depan,” katanya lagi.

Aksi set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah bermula agak perlahan sebelum bangkit mengubah rentak permainan.

“Kami saling mengingatkan untuk kekal yakin dan percaya antara satu sama lain. Saya sangat yakin sebab saya ada dia di sisi saya. Dia banyak bantu saya dalam perlawanan ini.

“Kami juga berbincang dengan jurulatih untuk atasi strategi lawan dan ternyata ia sangat membantu. Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini,” jelas Pearly.

“Minda kami sama saja – jangan benarkan shuttle jatuh ke gelanggang sendiri. Kami hanya mahu berikan segalanya dan cuba selamatkan setiap pukulan,” kata Thinaah.

Sebagai juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,191).

Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian sejak September tahun lalu, apabila mereka kali terakhir menjulang kejuaraan di Terbuka Hong Kong 2024.