Kuala Lumpur: Hasrat Akuatik Malaysia (MAS) untuk mencari perenang warisan mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkuatkan skuad negara pada kejohanan akan datang.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana negara lain turut mengambil langkah yang sama seperti Singapura dan Filipina.
“Kita rasa ini satu langkah yang baik memandangkan banyak negara sudah pun mula mencari atlet-atlet warisan mereka di negara lain.
“Negara Filipina sendiri pun memulakan program berkenaan semasa mereka menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2019,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Tambahnya, MSN masih menunggu laporan serta maklumat rasmi daripada MAS mengenai perenang yang dikenal pasti untuk mewakili negara pada masa akan datang.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh MAS tidak akan menjejaskan kewangan serta peruntukan daripada MSN kepada badan induk itu.
“Sebelum ini pun, ada atlet kita yang bermastautin ataupun berpusat di luar negara. Mereka hanya diberi bantuan sekiranya layak memasuki program Podium atau program-program lain. Tidak ada sebarang implikasi kewangan tambahan. Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka perlu melepasi kriteria yang ditetapkan oleh MSN untuk memasuki program, mahupun oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk mewakili negara,” katanya.
Untuk rekod, negara jiran seperti Singapura antara yang sangat aktif melaksanakan pendekatan ini dan hasilnya, mereka menjadi kuasa besar dalam acara berkenaan terutama di pentas Sukan SEA.
Justeru, pihak berwajib kini dilihat memberi tumpuan terhadap beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, New Zealand dan Australia yang dipercayai mempunyai perenang berdarah Malaysia, sekali gus mampu membawa negara melangkah lebih jauh.