Pelantikan dua Ahli Lembaga Pengurusan MSN yang baharu bagi penggal bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2026

KUALA LUMPUR (29 April) – Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengumumkan pelantikan dua Ahli Lembaga Pengurusan MSN yang baharu bagi penggal bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2026.

Muka baharu pertama ialah bekas pemain hoki negara yang pernah beraksi di temasya Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Encik Suriaghandi Suppiah yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Transformasi dan juga bekas Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, KPJ Healthcare Berhad. Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan kanan di beberapa syarikat besar. Antaranya ialah Khazanah Nasional Berhad, Parkway Group Healthcare di Singapura, Kumpulan Hospital Pantai, Salcon Green Energy di UK dan Shell Malaysia Retail Real Estate.

Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada University of Chicago Booth School of Business itu menggantikan Puan Nurul Huda Abdullah yang akan memikul peranan baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selamat, Kementerian Belia dan Sukan.

Seorang lagi muka baharu dalam Lembaga Pengurusan MSN ialah wakil Kementerian Kewangan iaitu Puan Hazlina Ab Aziz menggantikan Encik Idwan Ariff Abdul Rahman yang telah memberikan sumbangan bagi tiga penggal yang lepas.

Ahli-Ahli Lembaga Pengurusan MSN lainnya terus diberikan kepercayaan untuk penggal terbaru ini.

Antara beberapa keputusan penting diputuskan Lembaga Pengurusan MSN sepanjang tempoh penggal dua tahun berakhir 30 April 2024 ialah seperti berikut:

a) penubuhan Projek Road to Gold (RTG), yang memberi fokus memenangi pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik, baik pada tahun ini mahupun untuk edisi temasya pada tahun 2028;

b) memperkenalkan Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang menukar bayaran elaun kepada bayaran gaji dengan imbuhan tambahan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso);

c) kajian semula Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) yang lebih baik kepada semua jurulatih di bawah program MSN;

d) memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman bersama Nippon Sport Science University (NSSU) pada 13 Februari 2023 bagi membantu dalam kecemerlangan sukan prestasi tinggi negara;

e) mewajibkan pegawai pengiring kepada atlet Para yang menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

CAWANGAN KOMUNIKASI KORPORAT

MAJLIS SUKAN NEGARA