Pilihan utama bukan jaminan buat Tang Jie-Ee Wei

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak mahu mengambil pendekatan selesa di Masters Malaysia biarpun diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bertaraf Super 500 itu.

Tang Jie berkata, status sebagai pilihan utama tidak seharusnya menjadikan mereka selesa apatah lagi sedar akan kekuatan lawan yang menyertai edisi kali ini.

Pemain berusia 26 tahun itu juga berkata, apa yang berlaku terhadap gandingan keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang tewas kepada gandingan baharu dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di pentas final Terbuka Thailand kelmarin turut harus dijadikan iktibar.

“Itu juga satu pengajaran buat kita. Bukan nak kata yang apabila menjadi pilihan utama ini, kita ada kelebihan atau apa pun.

“Saya rasa beregu di sini semuanya kuat dan kita hanya perlu mempersiapkan diri sendiri sahaja,” kata Tang Jie ketika ditemui media selepas sesi ujian gelanggang di Arena Axiata, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei dijadual membuka tirai saingan Masters Malaysia menentang beregu ranking ke-46 dunia dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong di pusingan pertama.

Pada edisi tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Masters Malaysia dalam acara beregu campuran adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.

“Kami juga mahu (muncul juara) tetapi kami memikirkan untuk tidak terlalu meletakkan sasaran tinggi kerana bimbang ia akan bertukar kepada tekanan. Jadi kami hanya perlu terus menuju ke hadapan dan bermain dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata Ee Wei.-Berita Harian