Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 2, 2024

Poad cabar pelari pecut muda

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim melontarkan cabaran kepada atlet baharu supaya menonjolkan potensi dengan melakukan kejutan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Justeru, beliau menuntut atlet muda supaya mencatat larian sekurang-kurangnya 10.5 saat sekali gus mampu menjadi barisan pelapis pelari pecut sedia ada.

“Sebab pelari sekarang seperti Jonathan Nyepa sudah 27 tahun, Khairul Hafiz Jantan 26 tahun, harap ada pelapis yang dapat membuat catatan 10.4s atau 10.5s.

“Pada masa ini, kita masih mengharapkan Muhammad Azeem (Mohd Fahmi) tetapi dia di Amerika Syarikat. Jadi kita perlu pelapis buat catatan sebegitu untuk diketengahkan dan sebagai sandaran kepada atlet sedia ada,” katanya ketika dihubungi

Bagi kuartet 4×100 meter negara, Poad berkata beliau masih mengintai empat pelari pecut terbaik untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan akan datang.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, kuartet 4x100m dibarisi Azeem, Khairul Hafiz, Arsyad Md Saat dan Jonathan, manakala seorang lagi pelari Haiqal Hanafi mengalami kecederaan buku lali ketika itu.

Bagaimanapun, Haiqal kembali beraksi pada kejohanan Allcomers Kuala Lumpur dan membuktikan dia masih berbisa apabila meraih pingat perak 100m lelaki dengan catatan 10.59 saat pada awal bulan lalu.

Dalam pada itu, Poad berkata skuad pecut negara bakal mengharungi enam kejohanan Siri Super yang akan bermula di Johor Bahru pada 6 April depan.

Beliau berkata, skuad pecut negara turut akan berentap pada Kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong pada Mei serta Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Jun.

“Kalau ikut senarai Siri Super saya rasa sudah memadai cuma mungkin atlet perlu dua atau tiga lagi kejohanan luar. Saya harap Kesatuan Olahraga Malaysia dapat memperbanyakkan kejohanan antarabangsa kepada atlet negara,” katanya. – BERNAMA

Kalau ada rezeki ke separuh akhir

PEMAIN tengah skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yakin pasukan akan dapat melakukan kejutan pada pentas saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bulan ini.

Menurut Mukhairi, dia meletakkan sasaran peribadi untuk skuad negara mara ke suku akhir pada pentas bolas sepak tertinggi Asia itu.

“Apa yang saya sasarkan adalah untuk mara ke suku akhir dan kalau ada rezeki kita dapat mara ke separuh akhir, Alhamdulillah.

“Sebab kita pun tahu pasukan lain juga sudah melakukan persiapan rapi dan saya harap kita dapat fokus dengan persembahan ketika perlawanan,” katanya.

Kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Doha bakal membuka tirai pada 15 April hingga 3 Mei ini.

Skuad muda negara telah berlepas awal ke Doha dalam usaha untuk menyesuikan diri dan melakukan sesi latihan di negara tersebut.

Mereka juga telah mengadakan dua perlawanan persahabatan di menentang India dan bakal mengharungi dua lagi aksi persahabatan di Doha menentang China dan Qatar.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti dengan Vietnam 20 April dan Kuwait 23 April.-Sinar Harian

Sukma 2024: ADAMAS harap sifar doping, tumpuan kepada badang negeri

AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menaruh harapan tinggi agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal diadakan di Sarawak pada Ogos ini bebas daripada ‘pencemaran’ kes doping atau penyalahgunaan bahan terlarang.

Pengarah ADAMAS, Azura Abidin berkata, pihaknya menggesa agar kesemua negeri bertanding hadir secara telus dan bersih dalam temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan ujian secara rawak terhadap sukan berpotensi tinggi dengan tumpuan pastinya terarah kepada atlet angkat berat yang sering terkait dengan isu berkenaan.

“Memang hasrat kami untuk melihat sifar doping SUKMA kali ini (terutamanya dengan) Sarawak memang berhasrat menjadi penganjur paling berjaya jadi kami menggalakkan semua negeri datang dan bertanding secara bersih.

“Mesyuarat dalam jawatankuasa khas teknikal baru-baru ini setuju ADAMAS buat saringan khas atlet angkat berat sama macam di Kuala Lumpur (2022). Kita tidak boleh umum bila buat tapi pastinya sebelum SUKMA,” katanya.

Azura berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini malam tadi yang turut dihadiri menteri berkenaan Hannah Yeoh.

Beliau turut menjangkakan kira-kira 20 hingga 30 pegawai terlatih dikerahkan untuk mengawal selia kelancaran temasya itu.

Saingan Sukma Kuala Lumpur 2022 menjadi tamparan hebat buat arena sukan negara apabila lima atlet angkat berat terjerat isu doping dengan tiga daripadanya menggunakan bahan terlarang metandienone, tebutaline dan oxymetholone

Dua pemenang pingat acara angkat berat pada Sukma 2022 pula disahkan positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’.

Sukma 2024 dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini. – Bernama

Sivasangari cipta sejarah di London

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terus mencipta kejutan apabila menewaskan Hania El Hammamy dari Mesir yang juga pemain di ranking kedua dunia untuk menjuarai Klasik London 2024, sebentar tadi.

Sivasangari, 25, mempamerkan aksi penuh konsisten di sepanjang kejohanan bertaraf emas itu dengan kemuncaknya menewaskan Hania 3-2 dalam tempoh 81 minit di pentas final yang berlangsung di Alexandra Palace London.

Lebih manis, sejarah tercipta buat Sivasangari apabila melakar kejuaraan pertamanya dalam kejohanan bertaraf emas yang menyaksikan dirinya turut melakar kejutan ke atas beberapa nama tersohor seperti pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir, nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis (separuh akhir) dan Hania di pentas final.

Juara Sukan Asia 2022 itu membuka tirai pertarungan dengan memenangi set pertama 11-9 namun Hania, 24, nyata tidak menyediakan laluan mudah kepada Sivasangari apabila mengikat keputusan kepada 1-1 selepas memenangi set kedua, 11-5.

Sivasangari yang kini melonjak ke ranking ke-13 dunia kemudian bangkit memenangi set ketiga 13-11 sebelum pilihan kedua kejohanan dari Mesir itu kembali menyamakan kedudukan kepada 2-2 selepas melakar kemenangan 14-12.

Sivasangari membuktikan dirinya berada di tahap prestasi terbaik apabila meninggalkan jauh lawannya di awal set kelima namun Hania kembali menunjukkan kebangkitan pada saat akhir yang membuatkan perlawanan menjadi begitu dramatik.

Bagaimanapun, Sivasangari terus mencipta mata untuk mendahului perlawanan kepada 10-8 sebelum memuktamadkan kejuaraannya dengan 11-8 untuk melakar kemenangan muktamad 3-2.

“Tidak tahu bagaimana untuk buat menggambarkannya tetapi aksi saya sepanjang minggu ini (cukup baik), menewaskan pemain kelompok 10 teratas dunia sebanyak tiga kali. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Sivasangari selepas perlawanan.

Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia