Poad cabar pelari pecut muda

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim melontarkan cabaran kepada atlet baharu supaya menonjolkan potensi dengan melakukan kejutan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Justeru, beliau menuntut atlet muda supaya mencatat larian sekurang-kurangnya 10.5 saat sekali gus mampu menjadi barisan pelapis pelari pecut sedia ada.

“Sebab pelari sekarang seperti Jonathan Nyepa sudah 27 tahun, Khairul Hafiz Jantan 26 tahun, harap ada pelapis yang dapat membuat catatan 10.4s atau 10.5s.

“Pada masa ini, kita masih mengharapkan Muhammad Azeem (Mohd Fahmi) tetapi dia di Amerika Syarikat. Jadi kita perlu pelapis buat catatan sebegitu untuk diketengahkan dan sebagai sandaran kepada atlet sedia ada,” katanya ketika dihubungi

Bagi kuartet 4×100 meter negara, Poad berkata beliau masih mengintai empat pelari pecut terbaik untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan akan datang.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, kuartet 4x100m dibarisi Azeem, Khairul Hafiz, Arsyad Md Saat dan Jonathan, manakala seorang lagi pelari Haiqal Hanafi mengalami kecederaan buku lali ketika itu.

Bagaimanapun, Haiqal kembali beraksi pada kejohanan Allcomers Kuala Lumpur dan membuktikan dia masih berbisa apabila meraih pingat perak 100m lelaki dengan catatan 10.59 saat pada awal bulan lalu.

Dalam pada itu, Poad berkata skuad pecut negara bakal mengharungi enam kejohanan Siri Super yang akan bermula di Johor Bahru pada 6 April depan.

Beliau berkata, skuad pecut negara turut akan berentap pada Kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong pada Mei serta Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Jun.

“Kalau ikut senarai Siri Super saya rasa sudah memadai cuma mungkin atlet perlu dua atau tiga lagi kejohanan luar. Saya harap Kesatuan Olahraga Malaysia dapat memperbanyakkan kejohanan antarabangsa kepada atlet negara,” katanya. – BERNAMA