Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 2024

Persatuan sukan sokong anjur Sukan Asia 2038

ebangsaan Malaysia (PKBM) menjadi antara PSK yang menyokong cadangan berkenaan menyifatkan ia lebih realistik berbanding memilih atau menerima tawaran Sukan Komanwel 2026.

“Saya rasa kalau Sukan Asia… nak bida ia lebih munasabah dengan keupayaan kita (fasiliti dan kemudahan sedia ada) dan pada masa itu, sumber kewangan negara pun semakin kukuh. Bagi saya, seperti (tawaran) Sukan Komanwel (2026) mungkin ia sudah terlalu jauh dari jangkauan.

“Bagi saya Sukan Komanwel adalah antara temasya sukan besar, jadi kita tak nak (tidak menerima tawaran), lagi pun masa tidak mencukupi buat kita. Jadi kalau untuk Sukan Asia itu, tiada halangan untuk kita mencubanya.

“Kalau kita bersedia membida, sudah tentu kita ada masa untuk bersedia dengan program supaya kita boleh memenangi pingat di temasya berkenaan,” kata Pemangku Presiden PKBM, Mazlan Md Jail ketika dihubungi.

Sabtu lalu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa memberikan pendapat yang Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 sekiranya masih mempunyai hasrat untuk menganjurkan sukan bertemasya bertaraf tinggi.

Bagaimanapun, hasrat itu perlu diselarikan dengan penstrukturan semula sukan negara secara menyeluruh.

Sadek, berkata dengan perancangan yang teliti, penganjuran Sukan Asia dilihat mampu memberi impak yang besar dalam semua aspek termasuklah ekonomi dan pembangunan masyarakat akar umbi.

Dalam pada itu, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) turut senada PKBM dengan menyatakan tempoh masa 14 tahun untuk mempersiapkan kontinjen negara bagi memburu kilauan pingat ditawarkan.

“Apa yang baik, pastinya akan disokong sebaiknya. Kita juga dikenali sebagai penganjur yang baik di luar negara. Bagi saya, fasiliti yang ada semua OK dan kita juga mempunyai hotel yang banyak selain infrastruktur yang teratur.

“Apapun, semua itu masih jauh lagi. Ada masa kira-kira 14 tahun lagi. Kalau diikutkan kita tak ada masalah dan kita boleh melakukannya,” kata Andy.-Berita Harian

KEJOHANAN UCI 2024 PARA -CYCLING TRACK WOLRD CHAMPIONSHIP

Tarikh : 20- 24 Mac 2024

Tempat : Rio De Janeiro, Brazil

Hari Keempat (23/3/2024)

Acara : Men’s C1 1km Time Trial (Final)

Kat : MC1

Keputusan :

Emas – Li Zhangyu (CHN) – 1:10.808s

Perak – Liang Weicong (CHN) – 1:13.292S

Gangsa – Yusof Hafizi (MAS) – 1:15.572

Soon Huat-Shevon juara Terbuka Switzerland

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai akhirnya berjaya menamatkan badi kejuaraan apabila menjuarai saingan Terbuka Switzerland selepas menewaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di final, sebentar tadi.

Kemenangan Soon Huat-Shevon itu memberi tamparan hebat buat Tang Jie-Ee Wei yang juga beregu campuran nombor satu negara menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos ini.

Pastinya kejayaan itu memberi makna cukup besar buat Soon Huat-Shevon yang sebelum ini tewas dua kali pentas akhir Terbuka Switzerland pada 2022 dan 2023.

Ia adalah koleksi gelaran juara ketiga dalam saingan Jelajah Dunia BWF sepanjang karier mereka selepas mengungguli Terbuka Jerman dan Singapura pada 2018.

Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-14 menewaskan Tang Jie-Ee Wei di ranking kesembilan 21-16, 21-13 dalam tempoh 37 minit pada aksi final di St Jakobshalle, Basel.

Selaku juara Terbuka Switzerland, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,583) manakala Tang Jie-Ee Wei AS$7,980 (RM37,799).

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei gagal dalam misi untuk merekodkan gelaran sulung mereka musim ini susulan kekalahan itu.

Pencapaian terbaik mereka musim ini adalah muncul naib juara Masters Thailand bulan lalu.

Sebagai rekod, ia kali pertama gandingan Malaysia muncul juara dalam acara beregu campuran Terbuka Switzerland sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1955.-Berita Harian

Beregu campuran bertembung sesama sendiri di final

Kuala Lumpur: Dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai bakal bertembung sesama sendiri di final selepas menyingkirkan lawan masing-masing di separuh akhir Terbuka Switzerland 2024, awal pagi tadi.

Pada perlawanan berlangsung di St Jakobshalle di Basel, Tang Jie-Ee Wei selaku beregu ranking kesembilan dunia mudah melangkah ke final apabila meraih kemenangan straight set 21-16 dan 21-12 ke atas beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Kemaraan itu kemudian diteruskan Soon Huat-Shevon ranking ke-14 dunia apabila menewaskan beregu Belanda Robin Tabeling-Selena Piek, 21-18 dan 21-16 dalam tempoh 37 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pasangan negara itu selepas Terbuka Korea 2023 dan Masters Jepun 2023 dengan masing-masing pernah meraih kemenangan.

Pertemuan final membabitkan kedua-dua pasangan beregu negara itu akan berlangsung malam ini.-Berita Harian

Bertahan bukan pilihan Harimau Malaya

Petaling Jaya: Pertukaran formasi atau rentak permainan akan dilakukan bagi mempertajamkan jentera serangan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi Oman dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pertahanan skuad kebangsaan, Mohd Shahrul Mohd Saad berkata, ketika menentang Oman di tempat lawan, pasukan lebih banyak bertahan agar tidak mudah dibolosi dan kali ini di gelanggang sendiri, skuad bimbingan Kim Pan-gon itu akan lebih agresif memburu jaringan.

“Semestinya bermain di tempat kita, saya rasa akan ada pertukaran formasi terutama dari segi serangan. Kita tidak boleh hilang mata untuk perlawanan seterusnya, kita akan bagi all out untuk perlawanan di tempat kita.

“Perlawanan di Oman kita harus bertahan, di sini tidak boleh terus bertahan terlalu lama, kita mahu mata. Kita mahu lebih serangan dan berikan tekanan untuk mendapatkan kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Mohd Shahrul berkata berdasarkan perlawanan Jumaat lalu, mereka mengesan beberapa kelemahan pasukan Oman yang boleh dimanfaatkan pada perlawanan di Bukit Jalil nanti.

“Kita mampu melakukan sesuatu di tempat kita. Saya pasti kita mempunyai kekuatan sendiri bila bermain di tempat kita,” katanya.

Seorang lagi pemain pertahanan negara Corbin Ong berkata berdasarkan corak permainan Oman tempoh hari, beliau yakin skuad kebangsaan mampu melakukan sesuatu apabila berdepan pasukan di ranking ke-80 itu.

“Oman di ranking utama dalam pot (undian), jadi kita beri muka. Tapi saya yakin Malaysia boleh mencipta sesuatu menentang Oman Selasa ini. Lagipun, mereka bukan pasukan tanpa kalah atau apa-apa seperti itu,” katanya.

Pada aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Selasa lepas, skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Oman, sekali gus hilang status pendahulu Kumpulan D apabila turun ke tangga ketiga walaupun berkongsi enam mata dengan Oman yang merampas kedudukan berdasarkan perbezaan gol.

Kyrgysztan di tempat kedua juga dengan enam mata manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.-Berita Harian

Perak tetap hantar pasukan bola ke SUKMA Sarawak

KUALA KANGSAR: Perak tetap akan menghantar pasukan bola sepak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Ogos depan, meskipun Perak FC tidak bersedia untuk melepaskan pemain bawah 20 tahunnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah menegaskan sekiranya Perak FC tidak bersedia untuk menyediakan pasukan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan membuat persiapan sendiri.

Namun demikian, MSN masih menunggu kenyataan rasmi daripada Perak FC mengenai perkara itu.

“Kami hanya dengar melalui media sahaja, kami belum terima kenyataan rasmi mereka lagi.

“Jika mereka menolak, kami ada pelan A, B dan seterusnya. Apa yang penting, kami tetap akan hantar pasukan (sertai SUKMA),” katanya ketika ditemui sebelum majlis berbuka puasa di Istana Iskandariah malam tadi.

Semalam, media melaporkan Perak mungkin tidak menyertai acara bola sepak SUKMA disebabkan faktor tajaan dan kewangan yang tidak mencukupi disalurkan oleh MSN Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin dilaporkan berkata, mereka memohon peruntukan RM160,000 bagi memastikan kebajikan pemain serta jurulatih dijaga, tetapi hanya RM50,000 diluluskan.-Berita Harian

Harapan pingat di bahu Zii Jia

KUALA LUMPUR: Sandaran bagi memenangi pingat acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 kini terletak di bahu Lee Zii Jia.

Pemain profesional negara itu kemungkinan besar menjadi wakil tunggal Malaysia menggalas cabaran dalam acara itu di Paris.

Zii Jia yang kini berada di kedudukan ke-10 ranking kelayakan ke Paris bakal membuat penampilan keduanya di temasya berprestij itu selepas Olimpik Tokyo 2020.

Hasrat untuk menyaksikan dua wakil negara beraksi dalam acara itu di Paris mungkin tidak kesampaian selepas Ng Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan belakang dialaminya sejak Januari lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Tze Yong menjalani pembedahan kecil bulan lalu sekali gus menyaksikan dia terlepas beberapa kejohanan di Eropah termasuk Terbuka Perancis dan Seluruh England.

Memburukkan lagi keadaan, dia juga terpaksa melupakan saingan Masters Sepanyol di Madrid yang akan bermula Selasa ini kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Justeru, hanya keajaiban kini mampu membantu Tze Yong melayakkan diri ke Olimpik dengan dia sekurang-kurangnya perlu mara hingga ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.

Kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah kejohanan terakhir untuk kelayakan ke Olimpik Paris dengan Tze Yong perlu melonjakkan kedudukan ranking dalam kelompok 16 terbaik.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.

Bagi Zii Jia, aksi di Ningbo memberi peluang kepadanya untuk kembali merampas gelaran juara yang pernah dimenanginya pada 2022.

Dia perlu mencatat keputusan positif dalam setiap kejohanan disertai sebelum 2 Julai depan bagi melonjakkan kedudukan ranking dunianya.

Dia perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk membolehkan dia mendapat kedudukan selaku pemain pilihan di Olimpik Paris.-Berita Harian

Keputusan tepat tolak anjur Sukan Komanwel 2026

Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan menolak untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah satu keputusan tepat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya berkenaan kos yang harus ditanggung sebelum, semasa dan selepas kejohanan itu.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohammad berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira kerana dana yang diberikan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebanyak 100 juta (RM603 juta) dilihat sukar untuk menyediakan kelengkapan yang terbaik terutama persediaan kepada pasukan yang bertanding.

Jelasnya, jika Victoria, Australia yang mempunyai mata wang lebih tinggi pun menolak dan menarik diri, kenapa Malaysia perlu menawarkan diri pula.

Katanya lagi, meskipun Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib sebelum ini menyatakan akan menggunakan formula Sukan Sea 2017 seperti penginapan atlet ialah tinggal di hotel, persoalannya adakah hotel di Malaysia mampu menampung keseluruhan kontinjen.

“Idea yang diberikan itu tak dinafikan agak bagus tetapi kena ingat, bilik hotel hanya boleh tinggal dua orang sahaja. Takkan kita nak sediakan hotel kelas biasa? Itu belum masuk chef yang menyediakan makanan, pasukan perubatan seperti fisioterapi, bilik atau dewan untuk kegunaan pasukan dan sebagainya.

“Semua ini mengambil kira dan perlu dilihat secara teliti. Jika mereka tinggal di hotel, adakah hotel itu akan ditutup keseluruhannya dan macam mana pula dari segi bayaran yang dikenakan oleh hotel itu.

“Setiap pasukan sudah pasti inginkan penginapan yang agak selesa dan tidak jauh dari venue pertandingan agar ia memudahkan pergerakan pasukan. Jika jauh, ini akan menimbulkan kegusaran dan tidak seronok kepada pasukan yang bertanding dan akan memberi imej kurang baik kepada negara kita.

“Kenapa kita sanggup nak jadi (tuan rumah), lagipun ada lagi negara yang maju dari kita yang mempunyai fasiliti sukan terbaik seperti London dan beberapa negara lain. Mereka boleh jadi tuan rumah,” katanya kepada Arena Metro.

Tambahnya, itu belum mengambil kira berkenaan venue pertandingan seperti kesesakan jalan raya dan sebagainya.

“Memang setiap pasukan akan ada pengiring tetapi perkara itu harus diambil kira juga (kesesakan lalu lintas). Sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil itu terdapat beberpa acara tumpuan seperti olahraga, skuasy, akuatik dan badminton,” kata Nazmizan.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Kementerian Belia dan Sukan pada 22 Mac lalu mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada hari itu mengambil keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.-Berita Harian

SUKMA 2024: Perhalusi syarat sebelum acara futsal wanita digugurkan – Abdul Karim

KUCHING, 22 Mac: Acara futsal wanita berkemungkinan digugurkan daripada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 susulan tidak memenuhi syarat minimum penyertaan temasya sukan berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, minimum penyertaan iaitu sejumlah enam buah negeri belum dicapai setakat ini bagi membolehkan acara tersebut dipertandingkan.

“Kita ada syarat-syarat tertentu untuk SUKMA, sekiranya sesebuah acara itu tidak memenuhi syarat penyertaan daripada minimum enam buah negeri, maka ia akan digugurkan.

“Keputusan itu agak menyedihkan kerana Sarawak sedia ada mempunyai pasukan futsal wanita, dan kita mengharapkan negeri-negeri lain untuk menghantar pasukan mereka agar acara tersebut boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikikan kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pentadbiran Sukan di Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar penyertaan minimum itu diteliti semula ekoran sebelum ini pada SUKMA 2022, acara terjun wanita digugurkan atas hal yang sama.

“Saya berharap agar syarat-syarat tersebut diperhalusi lagi, agar insiden acara terjun wanita sebelum ini yang digugurkan daripada SUKMA 2022 tidak berulang lagi.

“Kita perlu mengambil kira dari sudut pandangan sukan, bagaimana kita hendak mempunyai kemajuan dalam sesebuah sukan sekiranya ia selalu digugurkan atau dibatalkan di peringkat kebangsaan?,” soalnya.

  • Ditanya mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menjadi tuan rumah pada temasya Sukan Komanwel 2026, beliau berkata Sarawak menghormati keputusan tersebut.

Ini kerana menurut beliau, dana untuk menganjur sukan berskala besar itu memerlukan dana yang tinggi, dan geran yang hendak diberi pihak penganjur tidak mencukupi, sebaliknya hanya mampu menampung kos yang sedikit. – TVS

MALAYSIA TIDAK TERIMA TAWARAN TUAN RUMAH SUKAN KOMANWEL 2026

Kementerian Belia dan Sukan hari ini mengumumkan keputusan Kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026. Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Majlis Sukan Negara Malaysia