SUKMA 2024: Perhalusi syarat sebelum acara futsal wanita digugurkan – Abdul Karim

KUCHING, 22 Mac: Acara futsal wanita berkemungkinan digugurkan daripada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 susulan tidak memenuhi syarat minimum penyertaan temasya sukan berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, minimum penyertaan iaitu sejumlah enam buah negeri belum dicapai setakat ini bagi membolehkan acara tersebut dipertandingkan.

“Kita ada syarat-syarat tertentu untuk SUKMA, sekiranya sesebuah acara itu tidak memenuhi syarat penyertaan daripada minimum enam buah negeri, maka ia akan digugurkan.

“Keputusan itu agak menyedihkan kerana Sarawak sedia ada mempunyai pasukan futsal wanita, dan kita mengharapkan negeri-negeri lain untuk menghantar pasukan mereka agar acara tersebut boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikikan kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pentadbiran Sukan di Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar penyertaan minimum itu diteliti semula ekoran sebelum ini pada SUKMA 2022, acara terjun wanita digugurkan atas hal yang sama.

“Saya berharap agar syarat-syarat tersebut diperhalusi lagi, agar insiden acara terjun wanita sebelum ini yang digugurkan daripada SUKMA 2022 tidak berulang lagi.

“Kita perlu mengambil kira dari sudut pandangan sukan, bagaimana kita hendak mempunyai kemajuan dalam sesebuah sukan sekiranya ia selalu digugurkan atau dibatalkan di peringkat kebangsaan?,” soalnya.

  • Ditanya mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menjadi tuan rumah pada temasya Sukan Komanwel 2026, beliau berkata Sarawak menghormati keputusan tersebut.

Ini kerana menurut beliau, dana untuk menganjur sukan berskala besar itu memerlukan dana yang tinggi, dan geran yang hendak diberi pihak penganjur tidak mencukupi, sebaliknya hanya mampu menampung kos yang sedikit. – TVS