Dua sasaran Ziyad

KUALA LUMPUR: Merampas semula status pemegang rekod dunia dan beraksi cemerlang di Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi dua misi utama jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tahun ini.

Pada tahun lalu, Ziyad terpaksa akur apabila rekod dunia dipegangnya iaitu 17.29 meter (m) dalam acara lontar peluru F20 dipadamkan pesaing dari Ukraine, Maksym Koval yang melakukan 17.57m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Paris.

Peluang itu boleh ditebus Ziyad di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei depan bagi membolehkan dirinya memperoleh suntikan semangat sebelum melangkah ke temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Sudah tentu saya mahu cipta semula rekod dunia yang pernah saya pegang dulu kerana ia sudah dipecahkan. Saya perlu bekerja keras pada setiap sesi latihan untuk mencapai sasaran itu.

“Kalau boleh saya mahu berada di puncak prestasi tahun ini. Yang pertama di Kejohanan Olahraga Para Dunia… di sini saya letak sasaran untuk pecahkan rekod dunia dan keduanya di Paralimpik Paris,” kata Ziyad.

Ziyad adalah antara prospek pingat di Paris 2024 dan atlet berusia 33 tahun itu sendiri pernah membanggakan kontinjen negara dengan meraih emas di Rio 2016 dan gangsa (London 2012).

Ziyad pernah melakukan 17.94m di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 namun penyertaannya dibatalkan susulan lewat tiba ke bilik panggilan sebelum turun beraksi di Stadium Olimpik Tokyo.-Berita Harian