Penganjuran Sukan Komanwel 2026 disyor ikut model Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesyorkan penganjuran Sukan Komanwel 2026 mengikut model pengelolaan Sukan SEA yang menyaksikan tidak perlu membina perkampungan sukan bagi penginapan atlet dan pegawai bertanding.

Sambil mengakui kos penganjuran yang tinggi menjadi kebimbangan ramai, penaung badan sukan kebangsaan itu turut mencadangkan supaya gelanggang sedia ada di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil digunakan.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan dalam menganjurkan temasya itu buat kali kedua memandangkan negara mempunyai pelbagai fasiliti yang boleh meringankan beban kewangan penganjuran.

“Bagi saya, orang ramai bimbangkan mengenai kosnya. Kita juga mungkin boleh ikut model seperti (penganjuran) Sukan SEA sahaja… guna hotel mengikut venue. Jadi perkara seperti ini tidak diterangkan secara mendalam kepada rakyat.

“Kalau dulu kita kena buat perkampungan sukan… ini semua memerlukan tiga tahun dan kosnya pasti tinggi. Victoria menarik diri atas pelbagai faktor antaranya jarak ke satu venue ke venue lain sangat jauh selain penggunaan sistem keselamatan yang canggih, jadi sudah tentu kosnya akan meningkat.

“Tetapi kita buat yang memadai sahaja. Kita boleh gunakan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun tentera… sekiranya mereka boleh hulurkan bantuan, sudah tentu kita dapat kurangkan kos.

“Jadi ia sama seperti kita nak jadi hos bagi Sukan SEA… kita ikut model yang memadai, tak perlu bangunan baharu ataupun perbelanjaan luar biasa. Kita memang nak gunakan apa yang sudah sedia ada,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia merangkap Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Tawaran itu disifatkan beliau sebagai peluang terbaik apatah lagi ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Julai lalu, Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah menarik diri bagi menganjurkan edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Nazifuddin berkata, kos penganjuran mungkin boleh dikurangkan lagi apatah lagi Malaysia kini dalam persiapan menjelang penganjuran Sukan SEA 2027.

“Kita akan mempunyai bajet juga untuk Sukan SEA 2027. Semua venue antarabangsa (yang ada), kita kena kekalkan dan harus disediakan untuk Sukan SEA 2027.

“Jadi bajet Sukan SEA 2027 itu sekali jalan dengan Komanwel 2026 dan diawalkan lagi supaya boleh bersedia untuk Komanwel dan juga Sukan SEA tahun berikutnya.

“Venue masih sama (untuk kedua-dua temasya), seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata, Pusat Akuatik Nasional dan olahraga,” katanya.

Justeru, Nazifuddin menyarankan kerajaan supaya mempertimbangkan sebaik mungkin tawaran CGF itu kerana menganggapnya sebagai peluang keemasan.

“Mungkin tak ada peluang lagi yang kita boleh dapat temasya sukan sebesar ini tanpa ‘sanction fee’ dan mereka juga berikan satu geran yang besar 100 juta pound. Harap kerajaan pertimbangkan dengan baik kerana perkara seperti ini boleh janakan ekonomi, pelancongan dan semangat kenegaraan.

“Mungkin ramai sudah lupa 1998 tapi apabila kita berjaya melaksanakannya, orang ramai masih ingat temasya sebesar itu (1998),” kata Nazifuddin.-Berita Harian