Nepal mampu tingkatkan keyakinan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Meskipun skuad Harimau Malaya hanya sekadar ‘memanaskan badan’ berdepan Nepal, aksi berdepan pasukan di tangga ke-175 dunia itu dianggap sebagai pilihan tepat sebagai persiapan menghadapi Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin beranggapan aksi menentang Nepal secara tertutup Jumaat ini akan menjadi medan terbaik untuk skuad bimbingan Kim Pan Gon mendapatkan keyakinan yang diperlukan sebelum turun menentang Oman yang ketika ini berada di tangga ke-80 dunia.

Justeru, Sulaiman mengharapkan barisan pemain akan memanfaatkan peluang ini untuk memperagakan aksi yang terbaik sebagai bekalan sebelum berkunjung ke Muscat bagi aksi pertama pada 22 Mac sebelum pulang beraksi di laman sendiri pada 26 Mac.

“Dengan tempoh singkat seperti ini, tak banyak pasukan yang boleh kita dapatkan dan pasukan lain pun tidak mahu menentang pasukan yang kuat. Kita perlu mencari pasukan yang kita boleh ‘makan’ sebab kita sekadar nak kemaskan pasukan, bukan hendak cari kelemahan.

“Saya lihat Nepal sebagai lawan yang sesuai sebab pemain boleh dapatkan keyakinan khususnya pemain di bahagian serangan untuk kemaskan lagi penyudah dan dapatkan seberapa banyak motivasi yang boleh sebelum berdepan Oman.

“Cuma harus diingat perlawanan yang kita anggap mudah seperti ini pun ada kesan buruknya kalau kita gagal memberikan aksi yang terbaik. Jika lawan Nepal pun kita bergelut, bagaimana nak lawan Oman nanti?,” kata Sulaiman.

Dalam masa sama, bekas pengendali UKM FC itu mengharapkan anak buah Pan Gon masih mengingati ‘detik manis’ susulan kejayaan mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.

“Saya harap semangat dan keghairahan kita apabila seri dengan Korea Selatan sebelum ini masih ada dalam sanubari setiap pemain. Ini boleh jadi motivasi terbaik apabila menentang Oman nanti.

“Di sebalik persiapan yang kita lihat agak tidak mencukupi, Pan Gon pasti ada jalan untuk memotivasikan pemainnya dan dia ada magis untuk memastikan barisan pemainnya benar-benar bersedia.

“Kita tidak mahu skuad kebangsaan ke Oman sekadar untuk pergi bermain semata-mata dan semoga mereka dapat membawa pulang keputusan yang memberangsangkan dari sana,” kata Sulaiman.-Berita Harian