Sivasangari mara, Eain Yow kandas

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, S Sivasangari berjaya mara ke separuh akhir Skuasy Terbuka Cleveland di Amerika Syarikat (AS) ketika pemain lelaki negara yang juga pilihan utama kejohanan, Ng Eain Yow dikejutkan pemain Mexico di suku akhir.

Sivasangari menghadiahkan khabar gembira apabila terus konsisten melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia yang ketiga musim ini apabila mengatasi pemain England, Alicia Mead.

Sivasangari membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu tidak berdepan masalah untuk menyaingi lawan biarpun pada satu ketika Alicia mengatasinya 5-6 sebelum bangkit melakar kemenangan 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 23 minit.

Mengulas mengenai kemenangannya itu Sivasangari berkata, kerja keras dan tidak mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaannya hari ini.

“Kunci kemenangan saya hari ini adalah kerja keras. Paling penting mara ke peringkat seterusnya. Saya rasa kami berdua memanaskan badan lima ke enam kali kerana perlawanan sebelum kami mengambil masa terlalu lama.

“Jadi kami mahu memulakan perlawanan dengan positif dan saya gembira bermula cemerlang dan akhirnya memenangi perlawanan,” katanya.

Sivasangari seterusnya bakal berdepan sama sama ada pilihan utama Gina Kennedy atau Lucy Beecroft, kedua-duanya dari England.

Sementara itu hasrat melihat Eain Yow mara lebih jauh tidak kesampaian apabila dikejutkan Leonel Cardenas dari Mexico, dalam pertarungan epik berlanjutan selama 92 minit.

Eain Yow yang juga pilihan utama kejohanan, tewas dua set awal 7-11, 8-11, sebelum bangkit memenangi dua set selepas itu 13-11, 12-10, namun Cardenas lebih bertenaga pada set penentuan mara ke separuh akhir dengan 11-6.-Harian Metro