Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 20, 2024

Malaysia akan kembali kuasai lompat tinggi Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei meramalkan Malaysia akan kembali menguasai sukan itu di peringkat Sukan SEA dalam tempoh lima tahun lagi.

Hup Wei yang kini menggalas tugas selaku jurulatih pelapis kebangsaan, berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mencari bakat-bakat baharu dari seluruh negara untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebelum ini memang kita tiada atlet pelapis, jadi saya perlukan masa untuk menggilap bakat-bakat baharu.

“Sekarang kita sudah ada seorang atlet (Kuan Jhy Yunn) yang diserapkan dalam program pelapis di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) tahun ini dan ada 10 atlet remaja di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

“Ketika ini saya sedang menggiatkan usaha untuk mencari lebih ramai atlet berbakat dengan kerjasama MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia).

“Untuk kita menjadi kuasa besar semula di peringkat Asia Tenggara, kita perlu kumpulan bakat baharu yang besar,” kata Hup Wei yang mengumumkan persaraannya pada 2022.

Menurut Hup Wei, pelan jangka pendek ketika ini adalah untuk mempersiapkan dua atlet lelaki dan wanita bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Bangkok 2025.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk bawa atlet ke Sukan SEA Bangkok 2025. Buat masa ini, saya harap kita mampu cari dua atlet lelaki dan dua wanita untuk temasya itu,” katanya.

Malaysia sebelum ini adalah kuasa besar lompat tinggi di Sukan SEA dengan Hup Wei dan seorang lagi bekas atlet negara, Nauraj Singh Randhawa berjaya menguasai acara itu sejak 2007.

Hup Wei memenanginya sebanyak empat kali bermula 2007 di Manila, 2009 (Vientiane), 2011 (Palembang) dan 2019 (Filipina) manakala Nauraj merekodkan kejuaraan pada 2013 (Napyidaw), 2015 (Singapura) dan 2017 (Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, penguasaan Malaysia berakhir selepas Nauraj sekadar meraih perak di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.

Pada edisi terakhir di Kemboja, tahun lalu, emas menjadi milik atlet Thailand, Tawan Kaeodam.-Berita Harian

Badang Pahang mahu cipta nama di pentas antarabangsa

KUANTAN: Badang Pahang, Rahimi Sulaiman berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan selepas dipilih berada dalam kem angkat berat negara.

Bukan janji manis bulan dan bintang tetapi memadai untuk berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam kategori 55 kilogram (kg) acara snatch.

Menurut atlet kelahiran Rompin itu, dia mula dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan bulan lalu dan kini sedang mengikuti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, dia kini bersama MSN sepenuh masa sehingga 2025, selain mengikuti latihan setiap hari menerusi pelbagai program diadakan termasuk menyertai pertandingan di pentas antarabangsa.

“Peluang menyertai pasukan angkat berat negara seolah membuka peluang kepada saya untuk melangkah lebih jauh dan melakar kejayaan dalam sukan angkat berat di peringkat antarabangsa.

“Saya meletakkan bekas atlet angkat berat negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim sebagai idola yang perlu dijadikan contoh sekiranya ingin mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau menambah, selepas empat tahun sebagai atlet angkat berat Pahang, akhirnya impian berada dalam pasukan kebangsaan kini menjadi kenyataan.

Tumpuannya kini lebih kepada usaha melakukan angkatan yang terbaik.

Mengenai peluang merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, Rahimi berkata, dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan lebih dua tahun.-Berita Harian

36 pasukan bakal berentap kejohanan boling Sarawak Hornbill Team Cup 2024

KUCHING, 20 Feb: Sebanyak 36 pasukan termasuk satu pasukan dari Jakarta, Indonesia bakal berentap dalam kejohanan boling kebangsaan Sarawak Hornbill Team Cup 2024 pada 4 hingga 9 Mac 2024 di Megalanes Sarawak, E-Mart Batu Kawa.

Naib Presiden ABAS Robert Lu Nam Min berkata, penganjuran kejohanan itu menjadi platform terbaik serta peluang bagi atlet-atlet boling melakukan persediaan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, selain menjadi gelanggang latihan untuk persiapan temasya berkenaan.

“Tahun ini kita menerima banyak penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Selangor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan sebagainya.

“Lebih menarik tahun ini, kebanyakan negeri-negeri di seluruh Malaysia bertindak untuk menghantar atlet SUKMA bagi merasai sendiri suasana dan gelanggang untuk persiapan SUKMA yang akan diadakan pada Ogos,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Hornbill Team Cup 2023 di Pusat Akuatik Pandelela di sini, hari ini.

Selain memberi kesan kepada industri sukan boling Sarawak, kejohanan itu katanya, dapat menberi impak kepada industri pelancongan negeri Bumi Kenyalang.

“Sebagai persatuan sukan yang bertanggungjawab dalam memenuhi kerangka tanggungjawab sosial, kami akan terus menganjurkan pelbagai jenis acara kejohanan bagi menyokong pelancongan domestik.

“Selain acara kejohanan di peringkat antarabangsa, terdapat acara-acara kecil yang akan kami teruskan sehingga Disember tahun ini,” ujarnya.

Kejohanan anjuran Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu bakal mempertandingkan sembilan acara.

Kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul sebanyak RM70,000 di mana johan keseluruhan bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala dan medal, tempat kedua bakal merangkul RM7,000 beserta medal dan tempat ketiga sebanyak RM5,000 beserta medal.  -TVS

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MSN FEBRUARI 2024

Majlis Perhimpunan Bulanan MSN bagi bulan Februari 2024 telah dihadiri oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

Pada perhimpunan pada kali ini YBrs. Encik Ariffin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN) mewakili Bahagian Korporat menyerahkan Sijil Pemilik Hakcipta Lagu Demi Malaysia kepada KP MSN.

Lagu Nyanyian Dato’ Awie, Jaclyn Victor dan Naim Daniel ini adalah ciptaan Zimi Sofarz dan Lirik oleh Jerry, telah dilancarkan pada 14 April 2021 merupakan lagu yg asalnya dicipta sebagai sokongan kontinjen negara ke Sukan Olimpik serta Paralimpik Tokyo 2020 dan didaftarkan dibawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 11 September 2023.

PEMBELIAN IQ FOIL MENS SET BAGI SUKAN PELAYARAN 2024-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030501– PERALATAN SUKAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/008/2024 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN IQ FOIL MENS SET BAGI SUKAN PELAYARAN 2024
TARIKH BUKA : 20 FEBRUARI 2024 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 27 FEBRUARI 2024 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang)
Bangunan Pentadbiran
Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Sukan Negara
57000 Bukit Jalil
Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Ahmad Johari Wahab (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929936

Mut Turun : <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Majlis Sukan Negara Malaysia